BEBERAPA insiden kecelakaan pesawat yang berlaku secara berturut-turut sejak kebelakangan ini ternyata mengejutkan dunia. Antaranya nahas melibatkan penerbangan Azerbaijan Airlines yang mengorbankan 38 nyawa, ketika pesawat yang membawa 67 penumpang termasuk lima anak kapal itu terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan pada 25 Disember. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terlalu ramah, elak tersengih-sengih depan pegawai imigresen... Ini 8 tip paling jarang dikongsi supaya tak ‘sangkut’ Pada Ahad, 29 Disember dunia sekali lagi dikejutkan dengan nahas melibatkan pesawat Jeju Air 2216 yang mengalami masalah pada gear pendaratan. Ia menyebabkannya terhempas di landasan semasa cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, yang menyaksikan seramai 179 nyawa terkorban. Beberapa jam selepas itu, sebuah penerbangan Air Canada AC2259 yang membawa 80 penumpang terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield selepas gear pendaratannya rosak, menyebabkan pesawat itu terbabas dan terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Tidak lama kemudian, pada hari yang sama, penerbangan KLM KL1204 dari Oslo ke Amsterdam tergelincir ketika terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Torp Sandefjord, Norway, namun semua 176 penumpang dan enam kru dilaporkan selamat. Insiden demi insiden yang berlaku secara tidak langsung menimbulkan ketakutan dan fobia dalam kalangan penumpang. Hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh National Transportation Safety Board (AS). -Foto Popular Mechanics Memang benar, pengangkutan udara adalah antara bentuk pengangkutan yang paling selamat, namun ada sebilangan kecil yang tidak bernasib baik. Sebagai penumpang, pastinya kita ingin tahu bahagian tempat duduk yang paling kurang berisiko ataupun paling selamat sekiranya sesebuah pesawat mengalami kemalangan. Menurut jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Alison Duquette, setiap kemalangan pesawat adalah unik, sama ada menjunam, pertembungan atau pendaratan dalam air. Justeru ujarnya, sebenarnya tiada tempat duduk yang benar-benar selamat. Namun terdapat kajian yang dilakukan bagi mengenalpasti bahagian tempat duduk yang mempunyai peratusan tertinggi untuk selamat: 1) Kajian oleh National Transportation Safety Board, AS, merumuskan penumpang yang duduk di bahagian belakang selepas sayap pesawat mempunyai kadar tertinggi untuk selamat iaitu 69 peratus. Bahagian tengah pula mempunyai 56 peratus kadar untuk selamat, manakala penumpang kelas pertama di bahagian hadapan mempunyai 49 peratus. Pesawat 'dummy' Boeing 727 digunakan dalam kajian bagi mengenalpasti bahagian paling berisiko dan paling selamat dalam sesebuah pesawat. -Foto Discovery Channel 2) Kajian oleh sekumpulan penyelidik pada 2012 menggunakan pesawat Boeing 727 di Gurun Mexico yang kononnya melakukan pendaratan cemas. Pesawat dilengkapi patung sebagai penumpang dan kamera ujian. Hasil kajian mendapati, bahagian hadapan pesawat paling teruk terjejas, manakala manakala 78 peratus penumpang yang lain selamat. 3) Analisis oleh para penyelidik majalah Time pada tahun 2015 menggunakan data 30 tahun yang dikumpul Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, dengan merujuk 17 kemalangan yang mempunyai kedua-da jumlah penumpang yang selamat dan meninggal dunia. Setelah memeriksa semua carta tempat duduk yang diperolehi, kajian mendapati tempat duduk satu pertiga paling belakang mempunyai kadar kematian paling rendah (32 peratus) berbanding bahagian tengah (39 peratus) dan bahagian hadapan (38 peratus). Walaubagaimanapun, soal hidup mahupun mati adalah kuasa Yang Maha Esa. Apa yang boleh kita lakukan sebagai penumpang, sentiasa peka dengan taklimat keselamatan dan berdoa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube