suria

MAS, Firefly tambah 200 penerbangan sempena Aidilfitri... Lebih ramai dapat beraya bersama insan tersayang

MAG menambah 200 penerbangan tambahan sempena musim perayaan. -Gambar hiasan

BERITA gembira buat mereka yang sedang mencari tiket penerbangan pulang ke kampung halaman atau bercuti sempena musim perayaan!

Malaysia Aviation Group (MAG) kini telah memperuntukkan lebih 200 jadual penerbangan tambahan sempena sambutan Aidilfitri.

Langkah ini diambil tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan semua rakyat Malaysia berpeluang pulang ke pangkuan keluarga yang dirindui pada Hari Raya Aidilfitri.

Penerbangan lebih kerap, naik taraf pesawat

Bagi tujuan ini syarikat penerbangan di bawah MAG iaitu Malaysia Airlines (MAS) menambah 200 kekerapan penerbangan tambahan, serta menaik taraf pesawat di laluan domestik utama termasuk Alor Setar, Kota Bharu, Terengganu, Miri, Sibu, Kuching, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Harga untuk perjalanan sehala yang ditawarkan pula adalah tetap bermula dari RM389 (Sabah) dan RM319 (Sarawak) bagi penerbangan tertentu pada waktu malam. 

Tak perlu fikir panjang lagi, mereka yang sedang tercari-cari tiket penerbangan boleh membuat tempahan sekarang sehingga 9 April 2025 untuk tempoh perjalanan antara 27 Mac hingga 8 April 2025.

Nak buat tempahan pun mudah sahaja!

Anda boleh klik terus laman web rasmi MAS atau menggunakan aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.

Promosi Firefly

Sementara itu, Firefly pula menawarkan tambang promosi serendah RM69 untuk tempoh perjalanan antara 7 Mac dan 30 November 2025 menerusi kempen khas.

Syarikat penerbangan ini juga menambah sehingga 40 penerbangan tambahan bagi laluan yang dikendalikan oleh pesawat jet dan ATR ke destinasi seperti Kota Bharu, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Tawau.

Firefly mengumumkan sehingga 40 penerbangan tambahan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Foo dalam satu kenyataan memuji langkah ini dan menyifatkan usaha ini selari dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan perjalanan udara domestik lebih mudah diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Kami menghargai inisiatif syarikat penerbangan di bawah MAG yang meningkatkan kekerapan penerbangan dan mengehadkan tambang semasa musim perayaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama orang tersayang tanpa beban kewangan. 

"Ia juga menyokong matlamat kerajaan untuk menjadikan perjalanan udara domestik lebih mampu milik, terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya. katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail pula berkata syarikatnya komited dalam memastikan perjalanan penerbangan lebih lancar dan menyediakan layanan terbaik kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka semasa musim perayaan nanti.

"Di MAG, kami amat menghargai sekecil-kecil momen yang menjadikan setiap perjalanan istimewa, sama ada senyuman mesra anak kapal kami, keenakan makanan dalam pesawat atau kegembiraan pengembara muda menerima pek aktiviti semasa dalam penerbangan.

"Pengalaman-pengalaman kecil tetapi bermakna ini menjadikan setiap perjalanan pulang ke rumah menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan," jelasnya.

Sebagai menyokong inisiatif kerajaan, MAS dan Firefly turut memperkenalkan subsidi harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Malaysia Timur dengan menetapkan tambang asas maksimum sehingga RM499 sehala bagi kelas ekonomi. 

Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan penerbangan, perancangan percutian, atau aktiviti menarik sepanjang perjalanan anda, sila layari laman web rasmi Malaysia Airlines dan Firefly.

 

Artikel Lain