TEROKAI destinasi luar biasa dan menakjubkan di Jepun, yang menyaksikan gabungan kekayaan budaya dan tradisi serta kemajuan teknologi yang pesat.
Dengan keindahan landskap dan pengalaman yang unik, negara matahari terbit ini menjadi destinasi pelancongan pilihan buat pengembara dari seluruh dunia.
Dari sejarah, budaya, teknologi, alam semula jadi, atau makanan, semuanya ada di Jepun, setiap sudutnya mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dikunjungi.
Jepun juga memikat hati pelancong dengan menelusuri dua dunia berbeza, antara kuil kuno yang menawan dan bandaraya futuristik dipacu teknologi canggih.
Impian anda untuk meneroka Jepun kini menjadi kenyataan apabila Batik Air menyediakan penerbangan terus ke Narita, Tokyo, sebanyak tujuh kali seminggu.
Batik Air turut menawarkan pilihan kepada pengunjung yang mahu mengembara dan melihat sisi lain Jepun di dua destinasi menarik seperti Nagoya dan Okinawa.
Nagoya mudah diakses menerusi penerbangan dari Kaohsiung, Taiwan sebanyak empat kali seminggu, manakala Okinawa pula dengan penerbangan dari Taipei, Taiwan, sebanyak lima kali seminggu.
Bagi anda yang merancang percutian ke Jepun, jom mStar senaraikan destinasi dan tarikan menarik untuk dimasukkan dalam ‘checklist’ wajib anda.
Tokyo
Tokyo begitu terkenal dengan pemandangan bunga sakura pada musimnya. Namun, Tokyo sebenarnya adalah destinasi menarik untuk dikunjungi sepanjang tahun.
Dari festival musim panas yang meriah hingga pelbagai aktiviti menarik pada musim sejuk, Tokyo menawarkan pengalaman berbeza pada setiap musim.
Turut dikenali dengan pembangunan yang moden, Tokyo tidak ketinggalan dalam mengekalkan warisan budaya dan sejarah yang dimilikinya sehingga kini.
Kuil Sensoji di Asakusa merupakan salah satu tapak kuil tertua di kota itu yang menyimpan seribu satu kisah sejarah untuk dikaji pengunjung.
Menariknya, Jalan Nakamise yang menghubungkan pintu gerbang Kaminarimon dan kompleks kuil dipenuh gerai-gerai menjual cenderamata serta makanan tradisional seperti kuih kacang merah dan keropok beras.
Suasana tradisional yang dikelilingi seni bina yang indah dan menakjubkan mampu membuatkan pengunjung terasa seperti mereka kembali ke masa silam.
Bagi mereka yang mahu mengenali lebih tentang sejarah Jepun, Meiji Shrine adalah lokasi terbaik. Di situ terdapat Kuil Shinto yang didekasikan untuk Kaisar Meiji dan Permaisuri Shoken, mempunyai keunikan tersendiri apabila dikelilingi hutan luas dengan lebih 100,000 pohon.
Seterusnya, Ueno Park pula merupakan pusat kebudayaan utama di Tokyo yang dipenuhi dengan muzium, kuil dan tarikan semula jadi serta hiburan yang sesuai menjadi lokasi pilihan pelancong.
Taman ini menjadi tumpuan ramai pada musim bunga (Mac sehingga April) kerana diliputi lebih 1,000 pohon sakura yang mekar indah, menjadikan ia lokasi terbaik untuk berkelah (hanami).
Bukan sekadar itu, Ameyoko Shopping Street merupakan destinasi beli-belah popular yang terdapat di Ueno Park, sekali gus membuatkan anda yang ingin membeli barang seperti pakaian, makanan cinderamata sebagai tanda kenangan.
Selain kekayaan budaya dan keindahan alam, Tokyo merupakan kota ikonik yang tidak pernah 'tidur' seperti Shibuya dan Shinjuku.
Tidak lengkap ke Jepun tanpa Shibuya Crossing dalam senarai, lintasan paling sibuk di dunia ini menjadi tarikan menarik buat pengunjung yang ingin merasai pengalaman merentasi jalan dengan suasana yang lain daripada lain.
Tidak jauh beza, Shinjuku pula menawarkan keindahan suasana malam dengan diterangi lampu neon buat mereka yang berkunjung ke jalan Kabuchiko.
Bagi pencinta makanan Jepun, kawasan ini menawarkan pelbagai restoran mesra muslim yang menyediakan aneka jenis hidangan halal termasuk ramen, kebab turki dan daging ‘Yakiniku Halal’ yang menepati pilihan selera pelancong beragama Islam.
Nagoya, tempat pertemuan sejarah dan inovasi, menampilkan pemandangan bandar yang menakjubkan, khazanah budaya, dan tenaga urban yang dinamik.
Nagoya
Dengan perjalanan hanya satu setengah jam menaiki kereta api laju dari Tokyo, Nagoya di wilayah Chubu menjadi perhatian dengan daya tarikannya sebagai kota sejarah samurai, pusat industri dan makanan lazat.
Antara simbol ikonik yang terdapat di kota ini adalah Istana Nagoya kerana keajaiban seni bina tradisional serta memiliki atap emas berbentuk ikan lumba-lumba (Sachihoko).
Dahulunya menjadi benteng pertahanan ketika zaman pemerintahan kerajaan Tokugawa, kini istana itu menjadi muzium yang mempamerkan koleksi seni dan artifak sejarah.
Pengunjung juga boleh meneruskan pengembaraan sejarah dengan melawat salah satu kuil Shinto tertua di Jepun di Atsuta Shrine yang berusia lebih 1,900 tahun.
Selain itu, Nagoya mempunyai taman yang penuh kehijauan alam di tengah kota seperti Hisaya Odori Park dan Tsurama Park buat pengunjung yang ingin melakukan aktiviti santai sambil menikmati pemandangan indah.
Di Hisaya Odori Park, anda boleh berkunjung di Nagoya TV Tower yang memiliki dek observasi untuk melihat kecantikan kota dari aras tinggi, dengan pemandangannya menakjubkan pada waktu malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Terkesima keindahan dan keseronokan di Batam, pengalaman tiada tandingan… Ini 10 lokasi, aktiviti menarik anda wajib tahu
ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman menakjubkan di Perth! Teroka keindahan alam dan budaya… Ini 4 destinasi menarik anda wajib tahu di Australia Barat
Jika anda berkunjung pada Jun sehingga Ogos, festival musim panas menghimpunkan pelbagai acara menarik di taman ini seperti konsert, pameran cosplay dan seni.
Berbeza persekitarannya, Tsurama Park merupakan taman bergaya klasik yang dibuka pada 1909 dan dipenuhi dengan seni bina Eropah sehingga menciptakan suasana romantis.
Salah satu tarikan menarik di sini adalah keindahan pokok bunga sakura yang menghiasi pemandangan taman setiap kali tiba musim bunga.
Taman ini juga mekar dengan pokok bunga mawar dan tanaman tropika lain, sesuai untuk aktiviti santai atau berkelah..
Puas mengkaji sejarah dan bersantai di taman yang indah, anda tidak seharusnya melepaskan peluang untuk berkunjung ke syurga pusat beli-belah di Nagoya iaitu Osu Shotengai yang menjual pelbagai barangan tradisional Jepun, pakaian, makanan, dan barang-barang elektronik.
Ia juga merupakan tempat yang popular untuk mencuba makanan jalanan yang unik seperti misokastu (tonkatsu dengan miso) dan taiyaki (kuih ikan isi kacang merah).
Terkenal dengan perairan biru jernih, landskap hijau yang subur, dan jambatan merah ikonik, Okinawa merupakan syurga ketenangan dan pengembaraan.
Okinawa
Selepas menjelajah kesibukan kota dan lokasi warisan budaya, pengunjung seharusnya berkunjung ke syurga tropika yang terletak di selatan Jepun iaitu Okinawa.
Berbeza dari daratan Jepun yang lain, Okinawa mempunyai destinasi tepi laut yang indah dengan pasir putih halus serta air biru jernih seperti Pantai Onna dan Yamitan.
Pantai Onna menawarkan pemandangan laut yang terbentang luas serta pelbagai aktiviti air seperti snorkeling dan menyelam. Malah, ia juga dipenuhi dengan resort penginapan yang mewah untuk menjadikan percutian sempurna.
Yamitan pula menawarkan suasana percutian berbeza kerana gabungan elemen alam dan budaya seperti persisiran pantai yang bersih, rumah tradisional Jepun serta seni kraftangan tempatan.
Selain pantai, daratan Okinawa dikelilingi dengan 160 pulau kecil yang sering menjadi pilihan pelancong untuk pelbagai aktiviti seperti melawat pulau-pulau (island hopping) dan snorkeling.
Antara pulau yang sering menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia adalah Pulau Senaga dan Pulau Ojima. Kedua-dua pulau ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi pemandangan dan aktiviti yang ditawarkan.
Seperti Pulau Senaga yang terletak berdekatan lapangan terbang Naha, ia mempunyai pasar terapung dan tempat makan yang menyajikan makanan laut segar dan lazat serta pencuci mulut menarik iaitu ais krim Blue Seal.
Selain itu, pulau ini juga mempunyai onsen atau kolam air panas tradisional Jepun dengan pemandangan laut indah sesuai untuk mereka yang ingin rehat setelah berjalan seharian.
Manakala pulau Ojima pula agak terpencil dan kurang sesak memandangkan ia merupakan perkampungan nelayan tradisional yang menawarkan kehidupan yang lebih santai.
Di sekitar pulau ini, terdapat beberapa pantai berbatu dan batu karang besar yang boleh diterokai tatkala air surut, bahkah ia juga merupakan 'spot' terbaik untuk memancing dan menikmati pemandangan matahari terbenam.
Selain keajaiban pantai, Okinawa juga tidak terkecuali memiliki kehidupan kota moden iaitu Naha. Berbeza dengan bandar-bandar lain di Jepun, Naha mempunyai seni bina khas Ryuku seperti Istana Shurijo yang pernah menjadi istana Kerajaan Ryukyu suatu ketika dahulu dan kini menjadi tapak Warisan Dunia UNESCO.
Jelajah bersama Batik Air
Sememangnya Jepun menawarkan pelbagai jenis pengalaman pelancongan yang sesuai untuk semua jenis pengembara.
Menepati jangkaan, Batik Air memudahkan perjalanan anda meneroka Jepun melalui dua destinasi iaitu Kaohsiung, Taiwan (Nagoya) dan Taipei, Taiwan (Okinawa).
Malah, Batik Air komited memastikan setiap penumpangnya menikmati perjalanan selesa dengan menyediakan pilihan tempat duduk yang luas dan layanan mesra.
Fleksibiliti yang ditawarkan mengikut keperluan, dengan pilihan ekonomi dan kelas perniagaan yang sesuai untuk setiap jenis perjalanan.
Selain itu, harga yang ditawarkan juga kompetitif bagi memastikan anda dapat menikmati perjalanan berkualiti tanpa perlu berbelanja lebih.
Ciptakan kenangan indah dan tidak dapat dilupakan dengan menjadikan Jepun sebagai destinasi percutian pilihan bersama Batik Air.
Untuk maklumat lanjut dan membuat tempahan, layari laman web www.batikair.com atau menggunakan aplikasi mudah alih Batik Air.