NEGARA Malaysia dengan kepelbagaian budaya dan bangsa mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi diserata dunia, selain aneka rasa makanan tempatan yang memiliki keistimewaan tersendiri. Malah, makanan tradisi Melayu kini digandingkan bersama sajian barat yang sudah menjadi menu sehari-hari masyarakat terutamanya di sekitar Lembah Klang. ARTIKEL BERKAITAN: Tercari-cari sajian citarasa Thai... apa kata ke Royale Chulan The Curve, gandingan kerabu mangga dan tom yam pasti buat anda repeat! Jika ada yang teringin menikmati masakan gabungan budaya masyarakat muhibbah negara ini, bolehlah berkunjung ke restoran Cravings yang terletak di Paradigm Mall, Petaling Jaya yang menghidangkan sajian istimewa, cukup membuatkan anda rambang mata untuk membuat pilihan. Menariknya mengenai restoran yang dibuka secara rasmi pada 1 Januari tahun ini, ia menghidangkan makanan dengan citarasa Melayu-Barat yang lebih dekat dengan selera tempatan. Pengasas restoran Cravings, Lawrence Low (kiri) dan Eksekutif Cef Vickrem Mohanadas (kanan) sewaktu memberikan ulasan tentang menu istimewa di Cravings. Pembukaan premis kedua di Paradigm Mall bagi memperluaskan operasinya selepas Cravings pertama yang terletak di Ativo Plaza, Bandar Sri Damansara yang sehingga kini sentiasa menjadi tumpuan ramai. Bercakap mengenai menu di Cravings, Datuk Lawrence Low, 37, selaku pemiliknya memberitahu resepi yang dihasilkan dibuat menggunakan produk halal dengan gabungan elemen tempatan dan barat. "Saya sebenarnya membuka cawangan kedua di Paradigm Mall supaya orang ramai lebih mudah mencari lokasi premis kami, selain pelbagai hidangan yang disediakan sesuai dengan tekak masyarakat Melayu. "Pun begitu, keutamaan kami adalah gubahan unik resepi baru masakan barat dan rasa pada makanan tempatan tanpa mengubah keseluruhan menu itu sendiri," katanya. Nasi Lemak Rendang Ayam dan Nasi Lemak Kerabu adalah menu utama Cravings selain Sambal Cikebom sebagai signature hidangan itu. Sementara itu, pengalaman mencuba sendiri hidangan di Cravings sebenarnya cukup menarik terutamanya Nasi Lemak Rendang Ayam yang pastinya kena dengan selera tempatan. Bagi yang inginkan kelainan, Nasi Lemak Kerabu adalah pilihan tepat - aromanya sahaja sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja terliur. Ia turut dihidangkan dengan ayam goreng, telur masin, timun, hirisan salad dan kerangupan keropok ikan. Istimewanya, kedua-dua nasi lemak ini disajikan dengan sambal dinamakan Sambal Cikebom.Malah, rasa kepedasan Sambal Cikebom tentu sekali mampu memikat hati pengunjung, ia juga boleh dibeli dalam sebekas dengan tawaran harga RM10. Big Breakfast menu utama sarapan pagi, manakala Creamy Salted Egg Rice Bowl sebagai pembuka selera. Manakala Big Breakfast di carta ketiga menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke restoran itu - ia turut disajikan dengan kelembutan tekstur kacang panggang berkuah, hem ayam, tomato bakar, cendawan butang sebagai penambah rasa, scrambled eggs, sosej goreng, dan taburan kacang diatas daun salad. Tidak lupa dengan kehadiran dua keping roti disisi hidangan memeriahkan lagi kunyahan para tetamu. Walaupun diberi nama big breakfast yang sesuai sebagai sarapan, namun hidangan ini boleh sahaja dipesan pada bila-bila masa. Bagi mereka yang mencari rasa makanan lain jangan bimbang, Creamy Salted Egg Rice Bowl ada untuk memenuhi citarasa anda. Menggunakan resepi baru dalam masakan membuktikan keunikan dalam suatu makanan berbeza dengan resepi di premis lain. Sajian itu hanya datang dengan semangkuk nasi putih dan telur mata lembu ditambah gandingan cendawan yang dimasak menggunakan mentega, malah setiap kunyahan rasa berkrim! Spaghetti Vongole dan Linguine Carbonara yang dimasak istimewa antara seleksi pilihan di restoran ini. Kata Lawrence, apa yang penting dalam resepi makanan adalah untuk memberikan pengalaman rasa dan keunikan kepada pelanggan sekaligus dapat merasakan pengalaman suasana di Cravings. "Cef warga tempatan dengan pengalaman sekitar 13 tahun dalam bidang masakan. Biasanya keseluruhan resepi diatur oleh cef, dari resepi lama kepada tambah dan wujudkan resepi-resepi baharu seperti Creamy Salted Egg Rice Bowl yang menggantikan ayam masak mentega kepada cendawan butang dimasak mentega berkrim. "Makanan di restoran ini juga menawarkan harga berpatutan setanding keistimewaan dan kualiti hidangannya," jelasnya. Dalam pada itu, sekiranya anda berada di Paradigm Mall, anda wajib berkunjung ke Cravings untuk mencuba hidangan Spaghetti Vongole (Seafood) rasa spicy yang memang berapi dan Linguine Carbonara Spaghetti dimasak penuh berkrim ditambah hirisan hem ayam yang sangat menyelerakan! Chicken Chop dan French Toast menjadi pujaan di media sosial dengan gandingan teksturnya yang lembut. Mengintai menu istimewa yang lain termasuklah Chicken Chop yang dihidang padat memenuhi ruangan pinggan, sehinggakan rasa dan teksturnya sahaja meninggalkan kesan istimewa buat penggemar chicken chop. Seperti biasa, ia didatangkan dengan kentang goreng, daun salad, salad, kentang lecek, kuah cendawan lada hitam dan sos mayones pencicah istimewa buatan cef sendiri. Yang penting padat, sedap, dan puas hati. Tak cukup dengan itu, pelanggan juga disarankan untuk merasai kelembutan antara menu istimewa French Toast yang sesuai sebagai pembuka dan penutup selera. Lihat saja pada ais krim vanila bersama daun pudina yang berdiri tegak umpama Olaf dalam siri animasi Frozen, ia digandingkan dengan potongan roti dari tepung premium, hirisan strawberi dan beri biru sebagai penambah rasa bersama curahan sos berbentuk zig-zag caramel dan coklat. Cafe Latte dan Signature Chocolate antara minuman utama yang sesuai ketika datang berkunjung di Cravings. Selain itu, beberapa minuman yang harus anda cuba termasuklah Plum Calamansi and Lemongrass, Smoothy Avocado dan Smoothy Berry Berries yang menggunakan susu penuh berkrim, serta Salted Caramel Milo dan Tropical Milo. Cravings juga menawarkan seleksi minuman panas seperti Turmeric and Orange Tea, Rose Green Sencha Tea, Mix Fruit and Jasmine Tea, dan Rose Lychee and Apple Tea. Manakala pilihan kopi pula, Cafe Latte antara pujaan ramai di restoran ini. Premis itu turut menghidangkan pilihan minuman lain kategori Classic Brew yang boleh dipesan sejuk atau panas seperti Kopi, Teh, Honey Lemon dan Peach Tea. Malah terdapat minuman istimewa kategori Chocolate Bar bersama ramuan coklat seperti Hazelnut Chocolate dan Salted Caramel Chocolate - Signature Chocolate adalah yang terbaik. Cravings miliki kelainan tersendiri dari segi dekorasi yang sering digunakan berswafoto para instagrammers. Cravings semestinya memenuhi citarasa pelanggan yang menjamu selera dengan sajian makanan yang berkualiti disamping terdapat tempat yang disediakan untuk mengambil gambar. Santai dan selesa adalah keutamaan di restoran ini. Restoran Cravings bukan sahaja memberikan kelainan rasa dan teksturnya malah persembahan setiap hidangannya yang menarik - paling penting swafoto, ulas, dan kirim! Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI