APABILA tiba hari gaji, pasti ramai yang ingin membawa keluarga makan di luar. Kata orang, inilah masanya untuk 'makan sedap' dan berbeza daripada juadah harian yang dimasak di rumah. Jadi kebiasaannya hidangan negara Barat sering menjadi pilihan. Anak-anak juga pasti berasa gembira apabila sekali sekala mereka dapat menikmati hidangan lain yang unik. Grilled Adden Burger menyajikan sajian Barat yang pasti memikat selera. Pun begitu, nak dapatkan tempat makan yang menyajikan keenakan rasa menepati selera pastinya sukar terutama di kawasan luar bandar. Namun jika anda berada di sekitar Banting, Selangor, apa kata luangkan masa bersama keluarga mahupun rakan di Grilled Adden Burger yang terletak di Jalan Utama Kampung Labohan Dagang. Meskipun kawasannya tidak luas serta ringkas dan menggunakan kanopi besar untuk ruangan tempat makan, namun konsep yang diketengahkan amatlah menarik. Selain terbuka, suasana kedainya sangat selesa di samping membangkitkan mood santai untuk anda menikmati hidangan. Beef Grilled Adden pasti membangkitkan selera. Jika anda ingin mengadakan majlis tertentu, terdapat ruangan khusus yang boleh ditempah. Selain mempunyai backdrop yang didekorasi indah, hiasan lampu chandelier juga membuatkan ruangan tersebut tampil istimewa sekali gus menyajikan suasana eksklusif ketika sambutan diadakan. Menyentuh soal sajian yang disediakan pula, anda tidak perlu risau kerana setiap menu semestinya menepati selera! Daripada pelbagai jenis burger dan roti john sehinggalah kambing bakar yang diperap dengan sos istimewa. Baunya saja sudah pasti membangkitkan selera! Nasi lemak bersama kambing bakar yang diperap menggunakan sos istimewa. Bagi 'tekak' Melayu, jangan risau kerana anda boleh mendapatkan nasi lemak yang dihidang bersama kambing bakar dan sambal pekat. Menu ini tidak begitu pedas dan sesuai untuk kanak-kanak. Jika anda ingin mencari kelainan, pelbagai jenis pilihan masakan sizzling juga tersedia. Beroperasi bermula pukul 5 petang hingga 10 malam setiap hari kecuali Isnin, anda tidak perlu khuatir jika tidak membawa wang tunai kerana Grilled Adden Burger turut menyediakan mod pembayaran menggunakan e-dompet mahupun kad debit/kredit. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI