KAFE moden berkonsepkan hipster sememangnya menjadi pilihan dan tumpuan ramai terutama anak-anak muda pada masa kini. Selain menjadi tempat lepak mahupun temu janji, kafe-kafe estetik ini sudah menjadi trend dan pilihan untuk mereka berswafoto. Maka tidak hairanlah jika terdapat banyak kafe yang berkonsepkan urban, Inggeris, retro moden dan tradisional, menjadi tarikan kepada pengunjung, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malahan pelancong asing! Dalam perkongsian kali ini, mStar menyenaraikan lapan ‘wish list’ lokasi kedai makan atau kafe hipster wajib dikunjungi bagi anda yang bercadang untuk cafe hunting! 1. Thumb’s Cafe, Ipoh, Perak Sebelum Thumbs Café dibuka, bangunan warisan ini merupakan asrama anak yatim di bawah Badan Khidmat Islam Perak (Bakip). Foto: Facebook Thumb’s Cafe Warga Ipoh sememangnya sudah mengenali kafe ini yang pernah tular suatu ketika dahulu di media sosial. Keunikan Thumb’s Cafe bukan sahaja terletak pada hiasan dalamannya yang berkonsepkan kampung era 70-an tetapi juga menyajikan hidangan makanan Barat. Kafe hipster ini sudah sebati dalam kalangan pelanggan muda yang sering menjadikannya sebagai port terbaik untuk Outfit of The Day (OOTD). Pastinya anda cukup berpuas hati kerana gabungan kontra berkonsepkan suasana kampung dan sajian Barat membawa seribu satu kelainan khususnya buat pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Alamat: Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh, Perak Hubungi: 019-614 6618 2. Rasa Sayang Cafe, Kuantan, Pahang Tempat lepak selesa yang menyajikan minuman, kek, pastri dan makanan ringan. Foto: Rasa Sayang Cafe Sebut sahaja nama kafe ini sudah cukup membuatkan sesiapa tertarik! Sejurus anda melangkah masuk ke dalam kafe, pasti akan menggamit nostalgia dan kenangan di zaman silam. Mana tidaknya, hiasan dalaman kafe ini menggunakan konsep retro dengan pencahayaan putih. Pelanggan yang hadir juga rata-ratanya memuji rasa kopi yang dihidangkan di sini kerana ia mempunyai rasa kelapa, coklat cair dan karamel Rasa Sayang Cafe mengunakan biji kopi Arabica yang diimport dari Sumatra Gayo dan Brazil. Nikmati juga pencuci mulut bersama secawan kopi. Pastinya enak! Alamat: A25, Jalan Sri Kuantan 80, 25250 Kuantan, Pahang Hubungi: 017-876 1025 3. Muar Art Gallery, Muar, Johor Galeri yang menempatkan seni dan kafe di bawah satu bumbung. Foto: Facebook Muar Art Gallery Selain menghirup kopi terkenal Muar jenama 434, anda boleh merasai pengalaman berbeza dengan menatap beberapa karya seni yang direka cukup indah dan memukau. Galeri ini menggabungkan ruang seni, hab makanan dan kedai di bawah satu bumbung. Pelajari dan terokai sisi kreatif anda sambil berseronok di ruang seni yang disediakan. Bukan itu sahaja, terdapat juga Muar Art Cafe dan Dapur Kak Yati yang menyajikan hidangan vegetarian Barat-tempatan untuk semua penggemar makanan. Alamat: 66-1, Jalan Hang Tuah, Taman Junid Perdana, 84000 Muar, Johor Hubungi: 012-703 3789 4. Nusuk Cafe, Kuala Terengganu, Terengganu Kafe yang menyediakan makanan pada harga berpatutan dan pilihan menu menarik. Foto: Facebook Nusuk Cafe Bersesuaian dengan namanya, Nusuk Café terletak di kawasan perumahan yang menawarkan suasana tenang untuk para pengunjung. Kafe ini sering dikunjungi bukan hanya harga yang ditawarkan adalah berpatutan, bahkan pilihan menu disajikan juga menarik dan enak untuk dicuba. Suasana di sini amat sesuai untuk anda bersantai, lepak dan chill bersama teman-teman dan insan tersayang. Kafe ini menawarkan pilihan kopi yang sering mendapat pujian ramai seperti Cappucino, Caramel Macchiato, Vanila Coffee Latte dan Matcha Latte. Jika anda bukan seorang coffee-lover, anda juga boleh mencuba pilihan minuman lain yang tersedia seperti soda, teh, boba dan frappe. Sekiranya anda menginginkan ketenangan sambil bersantai dengan ditemani hidangan makanan dan minuman yang lazat, bolehlah singgah ke Nusuk Café. Alamat: TCJ2 Taman Chonang Jaya, Jalan Lapangan Terbang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu Hubungi: 018-900 3117 5. Nook Cafe, Kota Kinabalu, Sabah Terletak di tengah bandar, kafe ini menyajikan menu sarapan pagi sepanjang hari dan kopi yang enak. Foto: Facebook Nook Cafe Mencari kafe kecil yang selesa untuk menenangkan fikiran anda? Nook Cafe di Kota Kinabalu pastinya menjadi lokasi terbaik buat anda. Terletak di tengah bandar, Nook Cafe merupakan kafe yang tenang dan menyajikan menu sarapan pagi sepanjang hari berserta kopi yang enak. Selain kelazatan hidangannya, kafe ini memaparkan ruang bertemakan gaya vintaj kontemporari, dilengkapi dengan kerusi rotan dan meja kayu untuk pengunjung. Hiasan minimum dan pencahayaan cerah di dalam kafe memberikan anda suasana terang dengan muzik latar yang santai. Kedainya yang cantik cukup sesuai untuk menganjurkan parti dan majlis hari jadi berskala kecil, termasuk urusan bisnes kerana ruangan di sini hanya boleh memuatkan sehingga 50 pelanggan. Alamat: 19, Lorong Dewan, Pusat Bandar Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah. Hubungi: 012-866 3900 6. KANTIN at The Granary, Kuching, Sarawak Terletak di bangunan bersejarah yang dibina pada 1885 dan diberi nama The Granary. Foto: KANTIN at The Granary KANTIN ialah sebuah kafe hipster yang menyajikan makanan Sarawak dengan sentuhan avant-garde menerusi sajian fusion unik dan menarik. Kafe yang bertemakan makanan, seni dan budaya ini merupakan salah satu tempat instagrammable di Kuching. Terletak di kaki bukit The Marian Boutique Lodging House, nama The Granary bersesuaian dan menepati khabar angin zaman dahulu mengenai lokasinya sebagai gudang bijirin, belian dan juga candu. Dibuka pada setiap hari kecuali hari Isnin. Waktu operasi ialah dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Alamat: 23, Wayang St, 93000 Kuching, Sarawak Hubungi: 010-969 6389/ 017-5200230 7. Urban Daybreak, Georgetown, Pulau Pinang Kafe yang menyediakan sarapan pagi dan Australia breakfast yang sebenar. Foto: Urban Daybreak Urban Daybreak ialah kafe artisan penuh bergaya yang ditubuhkan oleh sekumpulan rakan. Berbekalkan konsep ‘good soul cooking’, mereka berusaha untuk menyediakan makanan berkualiti kepada pelanggan pada setiap masa. Menu yang menjadi tumpuan utama ialah sarapan pagi dan Australian breakfast yang sebenar. Maka itulah sebabnya anda sering melihat kafe ini sentiasa dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga asing. Alamat: 34, Lebuh Bishop, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang. Hubungi: 014-226 9201 8. Kedai Kopi Hahn’s, Sungai Petani, Kedah Persekitaran kedai ini membuatkan anda seperti berada di Eropah dengan latar belakang yang berseni. Foto: Twitter @ngopiss Sebuah kedai kopi yang cukup selesa apabila anda boleh memilih untuk berada di dalam mahupun di bahagian luar, mengikut keselesaan dan cita rasa masing-masing. Lebih menarik, bagi pelanggan yang suka bergambar, setiap sudut dan ruang di kafe ini begitu ideal untuk dimuat naik di laman sosial. Suasana persekitarannya pula seolah-olah membuatkan anda seperti berada di Eropah, dengan latar belakang Kedai Kopi Hahn’s yang berseni. Di Sungai Petani, Kedah, boleh dikatakan Hahn’s merupakan antara kafe yang menawarkan harga terendah kerana kesemua menunya ditawarkan pada harga tidak melebihi RM10. Alamat: Lamago Tyre Centre, Tepi Perodua Laguna, PT22391, Jln Lencongan Barat, Bandar Amanjaya, 08000 Sungai Petani, Kedah. Hubungi: 011-5502 2805 9. Kafe Jibby & Co, Subang Jaya Kafe dua tingkat ini bertemakan konsep minimalis. Foto: Food Advisor Terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah Empire di Subang, Kafe Jibby & Co yang cantik dan unik ini ala kafe urban di Melbourne, Australia. Anda perlu singgah ke kafe ini sekurang-kurangnya sekali kerana suasananya yang sangat estetik. Kafe dua tingkat ini berkonsepkan minimalis. Selain lampu-lampu digantung di siling dengan tanaman pasu berwarna-warni, tingkap kaca besar yang ditembusi dengan cahaya semula jadi menimbulkan kesan pencahayaan yang baik untuk rakaman foto pelbagai sajian makanan. Alamat: Empire Shopping Gallery, Jalan SS 16/1, Ss 16,47500 Subang Jaya, Selangor Hubungi: 03-5613 7070 Jadi, tunggu apa lagi? Jom ajak teman-teman dan ahli keluarga untuk berkunjung ke semua kafe hispter yang menjadi pilihan ramai. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI