KEWUJUDAN platform media sosial seperti TikTok menjadi ruang untuk kita berkongsi aktiviti harian dengan para pengikut serta rakan-rakan. Selain dijamu dengan pelbagai video menarik, TikTok juga sering dijadikan rujukan untuk kita mencari kedai-kedai viral di seluruh Malaysia. Sempena hujung minggu, mStar mahu berkongsi dengan anda dua kedai viral yang meraih perhatian pengguna TikTok. 1. Restoran Lawar Village Restoran yang terletak di Sir Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh ini beroperasi setiap hari kecuali Selasa dan dibuka bermula 12 tengah hari sehingga 11 malam. Antara lauk di Lawar Village yang enak dijamu bersama nasi panas. Premis ini menawarkan aneka sajian berasaskan selera pantai timur, khusus buat mereka yang menggemari hidangan ala kampung. Antara tarikan utama di kedai ini adalah nasi dengan aneka ulam-ulaman seperti petai, kacang botol, timun dan kacang panjang. Aneka hidangan yang menepati citarasa tempatan. Selain itu, kedai ini turut menawarkan lauk-pauk seperti ikan bakar, patin tempoyak, sotong bakar dan kerang sambal bakar. Untuk menghilangkan dahaga, anda juga boleh mencuba minuman seperti lemon soda, Sunquick sirap dan aneka air balang yang lain. 2. Gerai Mee Kaki Udang LKNP Gerai ini terletak di Lorong KLKNP 2, Peramu Jaya, Pekan, Pahang dan ia beroperasi bermula pukul 6 petang sehingga 1 pagi. Antara menu yang menarik untuk dicuba adalah nasi goreng sotong. Saiz udang dan sotong yang besar membuatkan ramai netizen mahu mencuba masakan di kedai ini. Saiz yang diberikan kepada pelanggan juga agak besar, sekali gus membuatkan ramai pelayar media sosial terliur untuk berkunjung ke gerai ini. Selain itu, mereka turut menawarkan menu mi goreng udang yang dimasak menggunakan hidupan laut segar. Anda juga boleh memesan aneka masakan panas seperti paprik, masak merah atau apa sahaja yang dihajati. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube