MASAK lemak cili api sebenarnya antara masakan yang senang untuk disediakan. Biasanya, ayam, udang, daging dan pelbagai jenis ikan digunakan untuk memasak menu yang enak dan terkenal di Negeri Sembilan ini. Siapa sangka, terdapat satu resipi unik dikongsikan oleh Alynn Johanariffin apabila dia menggantikan lauk utama tersebut dengan telur dadar. Semestinya ia merupakan satu hidangan yang memudahkan kerana anda tidak perlu menyusahkan diri mencuci ayam atau ikan untuk memasak hidangan ini. Malah, kosnya juga jauh lebih murah kerana hanya menggunakan telur. Masak lemak cili api biasanya dimasak bersama ayam, udang, daging atau ikan. Bahan-bahan: 1. 5 biji telur (goreng sebagai telur dadar) 2. 4 ulas bawang besar 3. 4 ulas bawang putih 4. Segenggam cili api merah atau hijau 5. Kunyit hidup 6. 1 kotak santan 7. Asam keping 8. Daun kunyit Antara bahan yang digunakan untuk menyediakan menu tersebut. Cara-cara: 1. Kisar bawang besar, bawang putih dan cili. 2. Tumis bahan kisar bersama serai sehingga keperangan dalam minyak panas. 3. Masukkan santan bersama air putih mengikut sukatan 1:2. 4. Masukkan asam keping. 5. Masukkan perasa seperti garam dan gula secukup rasa. 6. Masukkan telur dadar yang telah digoreng. Menurut Alynn, telur dadar perlu digoreng sekejap sahaja dan pastikan ia tidak hancur. Hiasi dengan daun kunyit yang dipotong halus untuk menaikkan aroma pada masakan. Masakan ini biasanya dimakan bersama nasi panas dan sedikit ulam-ulaman untuk menambahkan lagi selera. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube