suria

Lega sangat jumpa resipi serbuk pati ayam tanpa MSG... Guna 3 ketul bahagian dada boleh dapat 4 botol

Serbuk pati ayam banyak digunakan dalam masakan.

KEBANYAKAN produk makanan di pasaran mengandungi bahan tambahan seperti gula, garam, monosodium glutamate (MSG) dan pengawet yang mungkin tidak baik untuk kesihatan.

Ini termasuklah serbuk pati ayam dibeli di kedai, biasanya tidak memenuhi standard pemakanan yang kita inginkan untuk keluarga.

Oleh itu, menyediakan serbuk pati ayam sendiri di rumah atau homemade menggunakan bahan semula jadi dan bebas daripada kimia adalah pilihan yang lebih baik.

Seorang suri rumah yang menggunakan nama akaun Oh Ki Na di Facebook berkongsi cara membuat serbuk pati ayam.

Katanya ia tidak hanya sesuai untuk bayi berusia tujuh bulan, tetapi juga boleh dimakan oleh semua peringkat umur.

Bahan-bahan untuk penyediaan:

1. 3 ketul dada ayam

2. 1 1/2 inci halia (diketuk)

3. 2 batang serai (diketuk)

4. Air (agak tenggelam dada ayam)

Kuali by Ian Low.—LOW  BOON TAT/THE STAR

Ayam merupakan bahan yang diperlukan untuk membuat serbuk pati ayam.

Cara-cara penyediaan:

1. Basuh bersih dada ayam.

2. Masukkan dada ayam bersama serai dan halia ke dalam periuk. Rebus hingga ayam menjadi lembut.

3. Angkat ayam dan toskan. Buang air rebusan atau simpan untuk dijadikan sup.

4. Carik-carik atau leraikan dada ayam yang telah direbus.

5. Sangai isi ayam di atas kuali tidak melekat dengan api kecil sehingga keperangan dan garing.

6. Kisar isi ayam yang telah disangai sehingga halus. Gunakan penapis untuk mendapatkan tekstur serbuk yang diinginkan.

Daripada tiga ketul dada ayam, anda dapat menghasilkan kira-kira empat botol penuh (anggaran 60 mililiter setiap botol) serbuk pati ayam.

Simpan serbuk pati ayam dalam bekas kedap udara di dalam chiller agar tahan lebih lama.

Pastikan bekas penyimpanan benar-benar kering untuk mengelakkan serbuk cepat rosak akibat kelembapan.

Penggunaan halia dan serai bukan sahaja menambah perisa, tetapi juga memberikan aroma harum dalam masakan.

Ini menjadikan serbuk pati ayam yang dihasilkan sendiri sangat sesuai untuk pelbagai jenis hidangan, memastikan setiap suapan adalah sihat dan lazat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain