suria

Lagi sedap buat sos cili ala Thai sendiri, boleh ‘adjust’ ikut tekak... Modal RM5 dapat 3 botol

Sos cili Thai boleh dihasilkan sendiri mengikut resipi Haslindawati.

SIAPA yang tidak suka sos cili Thai yang sedap dan pedas? Ia penambah rasa yang sempurna untuk dicicah bersama keropok, cucur atau apa saja hidangan kegemaran anda.

Namun harga sos ini agak mahal di pasaran.

Tapi jangan risau kerana kini anda boleh membuat sos cili rasa Thai (Thailand) yang lazat sendiri di rumah dengan kos jauh lebih rendah.

Dengan bermodalkan RM5, anda boleh menghasilkan tiga botol sos cili sebagaimana dikongsikan Haslindawati Omar di Facebook.

Bahan-bahan untuk tiga botol kecil:

1. 5 biji cili besar merah (buang biji)

2. 4 biji cili padi merah (biarkan biji)

3. 5 ulas bawang putih

4. 1/3 cawan air (untuk kisar)

5. Sedikit cuka makan

6. 1 hingga 1 1/2 cawan gula (ikut tahap kemanisan)

7. Secubit garam

8. 3 sudu makan tepung jagung dan sedikit air (bancuh)

9. 2 cawan air (untuk masak)

Sos cili Thai enak dimakan bersama keropok lekor goreng.

Cara-cara penyediaan:

1. Sediakan bahan kisar

Masukkan cili besar, cili padi dan bawang putih ke dalam alat pengisar. Tambahkan satu per tiga cawan air dan kisar hingga halus, tetapi jangan terlalu hancur.

2. Masak campuran

Pindahkan bahan yang dikisar ke dalam periuk. Tambahkan dua cawan air dan masak di atas api sederhana. Biarkan mendidih.

3. Masukkan bahan perasa

Setelah mendidih, tambahkan cuka, gula dan garam. Kacau sehingga gula larut sepenuhnya.

4. Bancuhan tepung jagung

Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau lagi. Biarkan sos mendidih sehingga ia menjadi berkilat.

5. Sejukkan dan simpan

Setelah siap, biarkan sos sejuk sebelum dipindahkan ke dalam botol. Gunakan botol sos lama yang telah dibersihkan untuk penyimpanan. Simpan dalam peti ais.

Untuk mengekalkan kualiti dan tempoh sos tahan lebih lama, pastikan botol yang digunakan bersih dan kering.

Resipi ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi juga menikmati sos cili Thai yang lebih 'segar' apabila disediakan sendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain