PELAWAK dan penyampai radio Shuk Sahar menyifatkan Allahyarham Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan daripada kumpulan Bocey sebagai individu yang suka membantu malah tidak pernah berkira tentang wang ringgit.
Shuk atau nama sebenar Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 34, juga berkata arwah adalah seorang yang merendah diri walaupun menjadi antara pelawak yang disegani ramai.
“Abam mempunyai sifat yang sentiasa menyokong rakan-rakan industri. Dia tak pernah menolak setiap kali saya meminta pertolongan membantu mempromosikan aktiviti yang dilakukan di media sosial walaupun ia tidak berbayar.
“Malah arwah tidak pernah bersifat meninggi diri walau setinggi manapun dia berada dalam industri hiburan tanah air," kata Shuk kepada mStar.