suria

Yusof Haslam pesan lelaki kena pandai pujuk isteri, bukan tanda ‘kalah’ dengan wanita

PENERBIT dan pengarah Datuk Yusof Haslam terkejut apabila ramai selebriti gagal mempertahankan perkahwinan dibina sehingga berlaku penceraian.

Berkongsi rahsia mengekalkan kebahagiaan selama 41 tahun bersama isteri, Yusof, 70, berkata, sebagai suami dia tidak pernah malu untuk memujuk apabila isterinya iaitu Datin Patimah Ismail merajuk dengannya.

Malah kata Yusof atau Mohd Yusof Md Haslam Khan, tindakan seorang lelaki memujuk wanita bukan bererti mereka kalah sebaliknya ia mampu menjadi sesebuah rumah tangga lebih harmoni.

"Saya bukanlah sempurna tetapi saya tengok sekarang ini, hari-hari kes cerai (melibatkan selebriti). Bagi saya rumah tangga perlukan kesabaran, tolak ansur dan paling penting adalah pujuk memujuk.

"Sebagai lelaki kita jangan anggap pujuk itu bermaksud kita kalah. Rumah tangga saya bertahan sebab sifat pujuk memujuk. Itu petua dikongsi ibu saya sendiri yang dilakukan ayah saya.

"Krisis dalam rumah tangga itu adalah perkara biasa. Tidak ada perkahwinan yang akan jadi tenang-setenangnya, mesti akan ada gaduh," katanya kepada mStar.

Tidak hanya suami, Yusof juga mengingatkan golongan isteri juga perlu memainkan peranan penting dengan bertolak ansur, tidak mementingkan diri selain membuang ego.

"Kalau ada kesusahan dalam rumah tangga, cari jalan berdamai, buang ego. Perempuan perlu lembutkan hati. Ini saya tegur termasuk juga untuk anak saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Yusof merupakan salah seorang pelakon yang dalam filem Don Dukun yang bakal ditayangkan bermula 31 November ini.

Selain Yusof, filem bergenre komedi seram itu turut dijayakan oleh Zul Ariffin, Ropie, Douglas Lim, Marsha Milan, Sangeeta Krishnasamy.

TONTON VIDEO PENUH DISEDIAKAN MSTAR INI.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi