SELEPAS mengambil keputusan berhijrah sejak Jun tahun lalu, pelakon Nora Danish memberitahu dia tidak lagi menyimpan pakaian lama yang mendedahkan aurat dan telah memberikannya kepada rakan-rakan bukan beragama Islam.
Kata Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, dia tidak mahu menjual pakaian tersebut kepada kenalan Muslim kerana enggan menanggung dosa orang yang membelinya.
"Pakaian-pakaian zaman saya seksi itu semuanya sudah diberikan kepada rakan-rakan saya yang bukan Islam.
"Sebab kalau saya nak jual pakaian itu tidak boleh, ibaratnya saya akan tanggung dosa mereka yang akan membelinya. Lama dah saya 'let go' semua pakaian itu, dah tak simpan lagi,” katanya kepada mStar.
Nora memaklumkan perkara itu ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan 'Raya Romantics' di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Dalam masa sama, Nora juga berkata dia kini dalam proses untuk memadam sebanyak 26,000 gambar yang tidak menutup aurat di Instagram miliknya.
"Saya sebenarnya perlu buang semua gambar tidak menutup aurat di Instagram tetapi mengambil masa kerana jumlah gambar di Instagram ada lebih kurang 26,000.
"Saya baru buang beberapa ribu dan masih ada banyak lagi, saya kena belek satu-satu. Apabila tengok gambar-gambar lama, saya cakap dalam diri 'apa lah aku buat dulu',” ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI