suria

Anak lelaki jerit ‘sakit-sakit’ anak perempuan pula jatuh longlai… Bau busuk dalam rumah rungkai kisah pahit keluarga

Hairul menderita disantau sejak 2017.

TANPA menduga, ketenangan hidup pemuda yang dikenali Hairul hilang sekelip mata selepas jatuh sakit sejak tiga tahun lalu.

Pada awalnya, Hairul yang kini berusia 43 tahun memberitahu kehidupannya bahagia selepas mendirikan rumah tangga pada 2013 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Pemuda kelahiran Manjung, Perak ini berkata, sedikit demi sedikit cahaya kebahagiaan rumah tangganya semakin pudar disebabkan penyakit misteri yang dialaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kucing beri ‘hint’ asyik mengiau pukul 3 pagi, rupa-rupanya ada petanda di rumah baharu

Keluar masuk hospital

Menurut Hairul, pada mulanya dia sukar berjalan dan terpaksa mendapatan rawatan di hospital, namun tidak ada apa-apa penyakit yang dikesan.

"Saya mula sakit di bahagian kaki dan terus ke bahagian belakang. Saya ingat ia adalah kesan daripada kerja-kerja harian yang agak lasak.



Antara barang-barang yang dimuntahkan Hairul. Gambar hiasan.

"Kadang-kadang dalam sebulan saya terpaksa mengambil cuti sakit dua minggu.

"Bukan itu sahaja, setiap kali jatuh sakit, saya langsung tak boleh tengok muka isteri dan anak-anak. Jadi macam nak marah, geram dengan mereka," kongsinya kepada mStar.

Setiap kali jatuh sakit, saya langsung tak boleh tengok muka isteri dan anak-anak. Jadi macam nak marah, geram dengan mereka.

HAIRUL HAKIM

Isteri, anak-anak turut sakit

Tidak cukup derita yang ditanggung Hairul, kesakitan terutama di bahagian sendi turut berjangkit kepada isteri dan anak-anaknya.

"Kadang-kala anak lelaki sulung saya yang berusia empat tahun ketika itu tersedar di tengah malam menjerit 'sakit, sakit' di lutut.

"Manakala anak kedua, perempuan yang kini berusia tiga tahun juga akan jatuh longlai secara tiba-tiba ketika bermain.

"Sama juga dengan isteri yang terpaksa ambil cuti bekerja jika sakit belakangnya datang menyerang.



Hairul mendapat bantuan daripada pengamal perubatan Islam. Gambar hiasan.

"Jenuh dah kami pergi ke hospital... jawapannya sama, tak ada apa-apa penyakit.

"Selepas itu, pada tahun 2018 saya cuba mencari pengamal perubatan tradisional. Selepas cuba beberapa ikhtiar, akhirnya dapat tahun punca penyakit disebabkan santau.

"Ustaz yang merawat saya itu beritahu sebenarnya dalam badan saya semuanya sudah 'rosak'. Tulang menjadi reput manakala isi daging dalam badan macam 'ikan busuk'.

"Dan selepas itu baharukah saya teringat, anak saya ada beritahu saya mereka terhidu bau busuk setiap kali menjelang Maghrib. Malah mereka juga ada cakap nampak seakan-akan ada seekor monyet kecil main sorok-sorok dalam rumah.

"Tapi saya dan isteri buat tak kisah sebab ingatkan mereka bergurau sahaja," ujarnya.

Makin pulih

Jelas Hairul dia tidak bergantung kepada seorang ustaz sahaja untuk merawatnya, tetapi turut mencuba beberapa orang lain lagi dari negeri Johor, Kelantan dan Pahang.

"Semuanya cakap perkara yang sama, saya disantau. Hampir dua tahun juga saya menjalani rawatan secara Islam ini, malah pelbagai benda kotor dalam perut sudah dimuntahkan.

"Ada sembilu, ada duri, ada rambut dan kaca. Alhamdullilah diri saya semakin pulih walaupun masih belum boleh berjalan dengan baik.



Hairul tidak berminat untuk tahu siapa yang menghantar santau kepadanya. Gambar hiasan.

"Saya sendiri tidak tahu siapa yang berniat tidak baik kepada keluarga saya ini. Hanya mampu berdoa semoga dia bertaubat dan kembali kepada Allah.

"Apa yang saya ingat, salah seorang ustaz ada memberitahu yang menghantar 'benda' ini adalah seorang wanita, yang pernah rapat dengan saya sebelum berkahwin.

"Saya tidak mahu tahu siapa dia. Cukuplah derita yang saya tanggung selama ini," akhirinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain