SECARA fitrahnya, manusia memiliki hati nurani yang bersih dan tidak suka melakukan dosa. Oleh sebab itu, kadang-kala akan terdetik rasa penyesalan di dalam hati atas kesalahan yang telah dilakukan kerana sekelam apa pun masa lalu seseorang, pintu kemaafan tetap Allah buka seluas-luasnya kepada mereka yang ingin berubah. Istiqamah dalam perubahan bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila orang sekeliling memperlekeh serta mengeji setiap perbuatan baik. Bukan sahaja diperlekeh bahkan ada juga yang cuba menghalang seseorang untuk berbuat baik. Sudahlah lemas di lautan, ditariknya pula kaki hingga ke dasar agar tidak timbul. ARTIKEL BERKAITAN: Kalau nak perniagaan lebih berkat, elak papar iklan berbaur lucah, ‘double meaning’ dan imej wanita seksi Dalam hal ini, adalah tidak wajar untuk kita mengungkit serta membuka aib individu yang berusaha dalam melakukan perubahan. Perbuatan mengungkit akan menyakitkan hati orang tersebut dan mereka akan berasa tiada gunanya untuk berubah kerana manusia akan mengata dan mengeji. Sepatutnya kita sentiasa memberi sokongan kepada rakan yang berubah ke arah kebaikan. Ada diriwayatkan dalam sebuah hadis, Sabda Baginda Rasulullah: “Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau kamu mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya” - [HR Tarmizi 1955]. Hadis ini menuntut kita supaya menyembunyikan aib sendiri dan menutup keaiban orang lain kerana boleh jadi suatu hari nanti sang pendosa akan menjadi orang yang baik bahkan lebih baik daripada kita yang mencela. Berikut ustaz jelaskan beberapa perkara yang boleh menjadi ingatan dan pedoman dalam berhadapan dengan orang yang ingin berubah. 1) Usah merasai diri lebih baik daripada orang lain Permulaan rosaknya hati seseorang apabila kita merasa lebih baik segalanya daripada orang lain. Maka jangan pernah berasa diri lebih baik dan sempurna ibadah meskipun orang lain memandang kita sebagai ahli ibadah. Gelaran daripada manusia tidak akan cukup untuk melayakkan kita masuk ke syurga Allah sedangkan tangisan taubat sang pendosa lebih Allah sukai daripada lantunan tasbih ahli ibadah yang riak. 2) Tidak perlu mengambil tugas Allah dalam menghakimi dan membalas Kenapa kita tidak boleh terlalu cepat menghukum? Kerana apa yang kita dengar dan tahu hanyalah sebesar zarah daripada apa yang mereka alami. Jadi berhentilah menjadi ‘judgemental’ seolah anda tahu segalanya. Usah mengambil tugas Allah yang Maha Membalas dengan menjatuhkan mereka seolah mereka pendosa yang sudah tidak berpeluang untuk hidup di atas dunia. Hanya Allah yang berhak menghakimi dan membalas. 3) Sokong dan santuni mereka yang ingin berubah Ketahuilah, Sabda Baginda Rasulullah: “Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia seorang mukmin, maka Allah lapangkan daripadanya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan urusan orang yang kesulitan, maka Allah memudahkanya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi (aib)nya di dunia dan akhirat.” - [HR Muslim 2699]. Ingatkan mereka kembali dan berilah semangat ketika mana mereka mulai rebah. Akhir kalam, orang paling banyak kesalahannya adalah yang paling banyak membicarakan aib orang lain. Usahlah meringankan timbangan pahala kita dengan menambah dosa mengeji, menghina serta menjatuhkan orang yang ingin berubah. Janganlah kita menjadi asbab terhentinya penghijrahan seseorang yang ingin berubah menjadi baik. Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada permulaan tetapi yang Allah pandang adalah pengakhiran hidup seseorang. Oleh sebab itu, mohonlah pengakhiran hidup yang baik. ***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!