AKAL merupakan salah satu nikmat dan rahmat kurniaan terbesar Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bernama manusia. Ia adalah merupakan sebuah mesin agung yang dihadiahkan oleh Allah kepada hambanya bukan sahaja berfungsi untuk mencari ilmu pengetahuan bahkan jika dipacu mesin ini dengan baik, ia dapat memandu manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat. ARTIKEL BERKAITAN: Muhasabah diri... sifat ikhlas cerminan iman, rasai nikmat keberkatan hidup! Akal merupakan tunjang utama dan sebahagian daripada hakikat kejadian manusia yang membezakannya dengan makhluk-makhluk lain. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl ayat 78). Akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia perlulah digunakan sebaiknya untuk mencari petunjuk kebenaran dan memahami hakikat diri dan hakikat alam semesta supaya pada akhirnya dapat mengukuhkan keimanan kepada pencipta yang Maha Esa. Allah mencela hamba-hambanya yang tidak menghargai nikmat akal yang dikurniakan. Allah berfirman: “Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya” - (Surah al-Hasyr ayat 2). Selain daripada ayat yang disebutkan, masih terdapat ratusan lagi ayat al-Quran dan juga al-Hadis yang menekankan kepentingan akal dan menyeru manusia supaya berfikir dan menggunakan akal dengan sebaik baiknya seperti surah al-An’am ayat 50, al-Rum ayat 8, al-Hasyr ayat 21 dan lain-lain lagi. Allah mencela hamba-hambanya yang tidak menghargai nikmat akal yang dikurniakan dengan mengibaratkan kedudukan mereka lebih hina daripada binatang ternakan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”. (Surah al-A’raf ayat 179). Selain itu, kesan yang timbul akibat daripada manusia tidak memimpin akal kearah kebaikan, maka akan berlakunya kerosakan dan kemusnahan di bumi Allah. Hal ini seperti mana yang telah dikhabarkan oleh Allah melalui firmannya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Islam menyekat kebebasan manusia untuk berfikir sewenang-wenangnya melampaui perkara yang tidak mampu bagi akal mencapainya dan berfikir menurut hawa nafsu semata-mata. Namun begitu, walau hebat bagaimana sekalipun akal dalam mencari hakikat sesuatu kebenaran, Islam tetap memandang akal mempunyai had kemampuan dan batas sama seperti anggota-anggota lain yang juga mempunyai had masing-masing. Akal tidak boleh dibiarkan berfikir melampaui hadnya dan beroperasi sendiri tanpa dibimbing oleh panduan agama. Hal ini kerana akal fikiran yang tidak dibimbing dengan panduan agama, akan menuruti perintah hawa nafsu. Maka disebabkan itu, Islam menyekat kebebasan manusia untuk berfikir sewenang-wenangnya melampaui perkara yang tidak mampu bagi akal mencapainya dan berfikir menurut hawa nafsu semata-mata. Lihat sahaja bagaimana puak Mujassimah membuat gambaran zat tuhan dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat baharu makhluk jelas bertentangan dengan fahaman sebenar ahli Sunnah wal Jamaah. Pegangan golongan Mujassimah yang menyamakan Allah dengan makhuk ini jelas didasari dengan akal dan hawa nafsu semata-mata. Hal ini kerana akal manusia itu terbatas apatah lagi untuk mengkaji dan memikirkan tentang perkara-perkara ghaib. Firman Allah: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat” - (Surah al-Syura ayat 11). Akal fikiran yang tidak dibimbing dengan panduan agama, akan menuruti perintah hawa nafsu. Nikmat akal ini sekalipun hebat dalam menganalisis dan menghasilkan sesuatu maklumat baharu, namun penentu kepada kebenaran sesuatu maklumat tersebut ialah apabila ia menepati al-Quran dan as-Sunnah. Sebagai rumusannya, kita sebagai manusia perlulah bersyukur kepada Allah atas kurniaan akal fikiran yang diberikan kepada kita. Kurniaan inilah yang menyebabkan manusia itu menjadi mulia berbanding makhluk-makhluk-Nya yang lain. Al-Quran jelas menuntut manusia untuk menggunakan akal sebaiknya kerana dengannya manusia dapat mengenal penciptanya Allah. Firman Allah: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal * (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ali-Imran ayat 190-191). ***Muhammad Hafizi bin Rozali adalah pensyarah di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!