KAMUS Dewan mendefinasikan marah sebagai berasa panas hati, perasaan panas hati, berang, gusar dan murka. Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa marah merupakan nyalaan api dalam diri yang membakar sampai ke hati seseorang. Jika dikuasai oleh sifat marah maka ia bagaikan dikuasai syaitan kerana makhluk itu berasal daripada api. ARTIKEL BERKAITAN: Hargailah nikmat akal dikurniakan Allah sebaik-baiknya, jika salah pandu ia akan menurut hawa nafsu Menurut al-Ghazali, marah memberi kesan buruk kepada zahir dan batin seseorang manusia. Aspek zahir, ia menyebabkan berlakunya insiden pukul memukul, umpatan dan celaan. Manakala aspek batin, ia menyebabkan dengki, gembira dengan kesusahan orang lain, benci dengan kebahagiaan orang lain dan membuka rahsia orang lain. Terdapat beberapa contoh ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan sifat marah. Contohnya umat Islam digalakkan membaca doa perlindungan daripada syaitan untuk mengelakkan sifat marah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” - (Surah al-A’raf, ayat 200). Jika dikuasai oleh sifat marah maka ia bagaikan dikuasai syaitan kerana makhluk itu berasal daripada api. Sifat sabar adalah penting kerana ia akan mengelakkan sifat marah ini. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah berserta orang yang sabar.” - (Surah al-Anfal, ayat 66). Manakala terdapat hadis menyatakan kekuatan sebenar bagi seseorang itu bukanlah berjaya dalam pertengkaran sebaliknya kejayaan sebenar adalah ia bersifat sabar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bukanlah kuat itu (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” - (Hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim). Selain itu, terdapat seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Berikanlah aku nasihat.” Baginda SAW bersabda: “Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi permintaannya tadi beberapa kali. Nabi SAW menjawab: “Jangan marah.” - (Hadis riwayat al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa seseorang itu perlu menjauhi sifat marah ini. Bagi sesiapa yang pernah marah dan bakal marah, al-Ghazali mencadangkan dua pendekatan untuk menghadapi sifat marah ini: Cuba ambil wuduk ketika sedang marah. 1. Mengawal kemarahan Mengawal kemarahan tersebut dengan melatihnya selari dengan akal sejahtera dan syariat. Kemarahan boleh digunakan ketika memerangi musuh, menghalang kemungkaran dan ketika memperbanyakkan kebaikan. Kemarahan di sini aspek positifnya ialah berkaitan semangat berkobar-kobar. Ia bagaikan mengawal seekor anjing yang ganas untuk membantu tuannya bagi memburu mendapatkan perkara yang halal. Ia perlu mujahadah untuk melatih sifat marah agar selari dengan kehendak agama dan akal yang sejahtera. 2. Menghadapi kemarahan Menghadapi kemarahan dengan menahan diri berdasarkan ilmu dan amalan. Aspek ilmu ialah si pemarah itu perlu tahu bahawa ia sepatutnya marah hanya apabila sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku bercanggah dengan apa yang Allah inginkan (perintahkan) bukan marah atas sebab keinginan peribadinya. Umat Islam digalakkan membaca doa perlindungan daripada syaitan untuk mengelakkan sifat marah. Selain itu, ia perlu tahu bahawa kemarahan Allah kepadanya adalah lebih besar berbanding kemarahannya terhadap perkara lain. Ini berdasarkan kemaksiatan yang dilakukannya. Jadi, kenapa marah orang lain ketika mereka menentang arahannya sedangkan ia lebih besar kesalahannya kerana menentang arahan Allah? Aspek amalan pula ialah ia perlu mengucapkan ta’awwuz (a’uzu biLlah min al-shaitan al-rajim) kerana tahu bahawa marah itu asalnya dari syaitan. Jika masih belum tenang, ia perlu duduk jika sedang berdiri dan perlu berbaring jika ia sedang duduk. Ini kerana, perubahan posisi tersebut dapat pengaruhi ketenangan dirinya. Jika tidak berjaya, cubalah berwuduk. Selain itu, cara yang di luar jangka, cuba pukul pipi sendiri dengan tanah untuk menghilangkan kesombongan diri yang menjadi faktor utama kepada sifat marah itu. Supaya ia sedar bahawa ia adalah hina dan ia tidak layak untuk sombong. Semoga kaedah yang digariskan oleh Imam al-Ghazali ini untuk menguruskan sifat marah masing-masing dapat dipraktikkan oleh para pembaca. ***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!