suria

Wang bukan segala-galanya... ketahui tip mencipta bahagia dalam melayari perkahwinan

Bagi memperoleh keberkatan hidup, terdapat beberapa aspek yang boleh diberi perhatian oleh suami dan isteri dalam mencapai keredhaan Allah.

SEWAKTU menghadiri majlis pernikahan, kita seringkali mendengar ucapan dan doa sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Semoga Allah memberkatimu, dan menetapkan keberkatan atasmu, dan mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan”. Apakah maksud keberkatan di sini?

Keberkatan diambil dari perkataan berkat (barakah) yang bermaksud bertambah dan berkembang, atau merujuk kepada kebaikan yang banyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Marah itu api sifat kejadian syaitan... Cubalah berwuduk, pukul pipi dengan tanah antara petua Imam Ghazali

Doa tersebut hakikatnya adalah harapan agar rumah tangga yang baru dibina akan memperoleh keberkatan yang berpanjangan. Malangnya, pelbagai konflik perkahwinan yang seringkali kita dengar kebelakanagan ini menimbulkan persoalan adakah keberkatan dalam perkahwinan sukar dicapai apabila wujud situasi di mana suami atau isteri semakin tertekan dan tidak bahagia dengan perkahwinannya?

Ini dapat diteliti menerusi firman Allah yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi... (Surah al-A’raf: 96)

Dalam kehidupan berkeluarga, keberkatan perlu diteliti dari pelbagai aspek dan peranan. Namun, adakalanya, pelbagai bentuk cabaran dalam rumah tangga membuatkan nilai keberkatan ini kurang diteliti dan dihayati dalam konteks pembinaan sebuah keluarga bahagia, di mana setiap ahli keluarga, khususnya suami dan isteri, semestinya perlu berfungsi dengan baik.

Ini selari dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah an-Nahl: 97)



Suami isteri perlu memainkan peranan bagi mencipta keluarga bahagia dan diberikati.

Hilangnya keberkatan dalam rumah tangga dapat diperhatikan sama ada dari sudut pandangan yang bersifat material atau sebaliknya. Tidak dapat dinafikan, banyak konflik kekeluargaan turut dikaitkan dengan masalah ekonomi yang tidak kukuh sehingga mempengaruhi semangat dan masa untuk beramal, beribadah, dan berkomunikasi dengan baik.

Ini semua berpunca dari tekanan serta keletihan mencari rezeki bagi meneruskan hidup seharian. Namun, ada juga keluarga yang ekonominya kukuh dan kelihatan cukup serba-serbi, namun masih tidak merasa bahagia dalam berumah tangga.

Sementara, ada pula keluarga yang kelihatan miskin dan susah, namun dilihat bahagia dan tenang dalam menjalani kehidupan seharian.

Selain itu, terdapat luahan suami atau isteri yang mendakwa dirinya tidak berkembang secara positif meskipun di awal perkahwinan pelbagai perkara indah dibayangkan hasil dari penyatuan dua hati seperti:

1. Keperibadian semakin baik dan amalan diperbaiki

2. Sikap dan diri pasangan semakin dapat difahami

3. Berpandangan jauh soal masa depan

4. Diri terjaga, sihat dan kuat

5. Pembinaan emosi yang positif dan matang

6. Bersungguh dan ikhlas dalam berkerja dengan bermatlamat mencari redha Allah

Semua urusan dan aktiviti seharian tersusun baik agar mampu memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat sekeliling dan agama.

Namun, apa yang dihadapi oleh suami atau isteri selepas beberapa tahun berkahwin adalah:

1. Konflik antara suami isteri yang sering kali berakhir dengan pergaduhan, pengasingan, atau perceraian.

2. Perasaan bersalah terhadap anak-anak yang terabai dari segi emosi kerana hidup dalam keluarga yang bermasalah.

3. Anak-anak tidak mendengar kata dan terlibat dengan masalah sosial dan tingkah laku.



Suami dan isteri perlu sentiasa berusaha menambah ilmu kerana hanya dengan menghayati panduan dan bimbingan syarak.

Ketika berhadapan dengan isu-isu sebegini, suami isteri, malahan kita semua, masing-masing wajar bermuhasabah atau menilai diri, sama ada kita masih konsisten (istiqamah) dalam menuruti ajaran al-Quran dan Sunnah, agar beredhaan dan keberkatan dalam berumahtangga atau berkeluarga dapat dinikmati.

Bagi memperoleh keberkatan hidup, terdapat beberapa aspek yang boleh diberi perhatian oleh suami dan isteri dalam mencapai keredhaan Allah, seterusnya membina keluarga yang bahagia serta dapat berfungsi dengan baik:

Keberkatan hidup dan waktu

Setiap individu mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah, juga sebagai suami atau isteri, anak, menantu, ahli keluarga, pekerja, penuntut ilmu, dan sebagainya. Justeru, dalam menjalankan setiap tanggungjawab dan peranan tersebut, setiap individu harus menggunakan masa dengan sebaiknya. Kata-kata Syeikh Nuruddin Al Banjari berikut amat wajar difahami dan dihayati:

“Keberkatan masa itu adalah apabila kita diberikan masa yang sama seperti orang lain tetapi kita mampu melakukan lebih banyak pekerjaan, tanggungjawab, amanah dan ibadah lebih daripada apa yang dilakukan oleh orang lain.”

Tanggungjawab Suami dan Isteri

Dalam proses mencari keberkatan, sama ada dalam konteks mendapatkan rezeki yang halal, membina keluarga yang harmoni, membentuk ahli keluarga yang mampu berfungsi dengan baik, suami dan isteri perlu menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing terlebih dahulu. Ini kerana, keberkatan dan ketenangan dalam keluarga hanya dapat dicapai jika keredhaan dan suruhan Allah SWT dan Sunnah Rasulullah diikutI. Contohnya:

Suami perlu sentiasa sedar tanggungjawabnya seperti:

- memberi sara hidup kepada isteri seperti tempat tinggal, pakaian, dan makanan sesuai dengan kemampuannya

- memberi nafkah batin termasuk bergaul dengan isteri secara baik

- menyara anak-anak

- melindungi isteri dan anak-anak dari aspek keselamatan dan kesihatan

- menjaga maruah keluarga dan harta benda

- sentiasa membimbing isteri seiring dengan keredhaan Allah

- mendidik akhlak anak-anak agar memperoleh didikan Islam yang sempurna

- menasihati isteri, anak-anak, dan jiran tetangga dengan baik

Isteri perlu sentiasa sedar tanggugjawabnya seperti:

- menjaga kehormatan diri dan mentaati suami

- mematuhi suruhan suami (selagi mana bukan maksiat) dan suka melayani suami zahir dan batin

- memberi sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak

- memelihara kebersihan tempat tinggal serta kesihatan diri dan ahli keluarga

- menjaga amanah dan harta suami

- sentiasa menyimpan rahsia pergaulan suami isteri

- tidak meninggal rumah tanpa keizinan suami (melainkan darurat)

- berhias diri bagi tatapan suami sahaja, di samping sentiasa memelihara aurat dan kesopanan ketika di khalayak ramai

Dalam perhubungan dan pergaulan seharian antara suami dan isteri, tidak hairan jika berlaku perbezaan pendapat atau pergaduhan kerana itu merupakan rencah dalam perkahwinan.

Namun, dengan menyedari tanggungjawab dan peranan masing-masing, di samping memahami suruhan Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW, segala konflik yang timbul lebih mudah untuk diselesaikan.

Justeru, suami dan isteri perlu sentiasa berusaha menambah ilmu kerana hanya dengan menghayati panduan dan bimbingan syarak, pelbagai permasalahan dan kesulitan dapat diselesaikan secara rasional dan baik, seterusnya mampu memahami hikmah yang wujud bagi setiap kejadian yang berlaku, insya-Allah.

*** Dr. Siti Hajar Mohamad Yusoff adalah pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain