suria

Lakukan 5 perkara ini jika ahli keluarga nazak lalu meninggal dunia... Ajarkan kalimah ‘Laailahaillallah’

Adalah sangat penting bagi kita belajar dan memahami tentang pengurusan jenazah. - Gambar Sekadar Hiasan

SAKARATUL maut adalah antara peristiwa yang akan dilalui setiap makhluk di muka bumi ini sebelum menempuh saat kematian, antara permulaan seseorang itu untuk melangkah ke alam Barzakh.

Ia pasti datang dan tidak akan terlewat walaupun sesaat seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 57 yang bermaksud: Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

Jelaslah bahawa kita semua akan merasai detik kematian dan tidak ada yang kekal melainkan Allah. Yang menjadi persoalan bila, di mana dan bagaimana kematian itu berlaku, ia kekal menjadi rahsia Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Melihat diri lebih baik, itulah sifat ujub... 6 langkah boleh bantu elak diri tersemat sifat tercela ini

Adapun pada ketika ini ramai dalam kalangan umat Muhammad didapati meninggal dunia secara tiba-tiba. Malaikat Izrail boleh datang menjemput dalam keadaan kita tidur, menonton televisyen, makan bersama keluarga dan sebagainya.

Maka adalah menjadi satu keperluan untuk kita sebagai manusia melengkapkan diri dengan ilmu sekiranya terdapat ahli keluarga sedang berhadapan dengan saat-saat di ambang kematian atau berada dalam keadaan nazak.

Berikut ustaz kongsikan beberapa perkara yang boleh kita lakukan seandainya ada dalam kalangan ahli keluarga kita berada dalam keadaan sakaratul maut.

1. Ajarkan kalimah ‘Laailahaillallah’

Duduklah di sebelah telinga kanan atau kiri ahli keluarga kita itu dan lafazkan kalimah suci ‘Laailahaillallah’ dengan perlahan dan jelas. Ia adalah berdasarkan hadis nabi yang bermaksud: Ajarkanlah kepada orang yang hampir mati dalam kalangan kamu dengan ‘Laailahaillallah’ - [HR Muslim 1524]

Memadai kalimah yang bermaksud 'tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah' diungkap sekali di telinga individu itu tetapi jika terkeluar daripada mulutnya soal berkaitan duniawi, ulanglah kalimah suci itu agar dia dapat melafazkannya supaya pengakhiran percakapan itu diakhiri dengan kalimah tauhid. Ini kerana syaitan akan berusaha untuk menyesatkan manusia sehingga di akhir nafas kita.

Ketahuilah sesungguh apabila seseorang anak Adam itu apabila ketika sakaratul maut dapat mengucapkan kalimah ‘Laailahaillallah’, maka dia meninggal dunia dalam khusnul khotimah.

Seelok dan sebolehnya orang yang mengajarkan kalimah tersebut biarlah yang paling disayangi dan hampir dengannya. Isyarat syahadah sudah memadai kerana mungkin orang yang hampir mati itu sudah melafazkannya secara perlahan atau di dalam hati.

2. Tutup mata, mulut dan qiamkan jenazah

Seandainya mata dan mulut jenazah terbuka, tutuplah dan jika mengalami kesukaran bolehlah diurut dengan sedikit minyak. Mata jenazah terbuka bukanlah bermaksud azab daripada Allah.

Ini seperti mana hadis baginda nabi yang mana menceritakan perbuatan nabi ketika melawat jenazah Abu Salamah, maksudnya: Rasulullah masuk atas Abu Salamah dan keadaan matanya terbuka lalu nabi menutupnya dan bersabda: Sesungguhnya roh orang mati apabila dicabut ia akan diikuti pandangan mata. - [HR Ibn Majah 1444].

Berdoalah dengan doa seperti “Allahumaghfirlana walahu” yang bermaksud “Ya Allah ampunkan kami dan dia”. Urutlah di sendi-sendi dan pelipatan dan ambilkan beberapa helai kain perca untuk mengikat bahagian-bahagian tersebut. Seterusnya qiamkan tangan jenazah seperti keadaan bersolat.

3. Menutup seluruh jasad si mati dengan kain

Apa-apa jenis kain boleh digunakan dan sebaiknya yang sedikit tebal agar tidak tersingkap aurat si mati. Bagi mengelakkan perut jenazah menjadi kembung bolehlah diletakkan benda yang sedikit berat seperti buku dan sebagainya.

4. Letakkan jenazah di tempat yang baik

Setelah selesai semua langkah di atas bolehlah diletakkan jenazah di tempat yang sedikit tinggi seperti tilam dan bukan di lantai. Kedudukan jenazah adalah kaki menghadap kiblat seperti pandangan Imam Nawawi yang masyhur.

5. Menghubungi pihak berwajib

Kematian perlulah segera dimaklumkan kepada pihak pasukan perubatan untuk pemeriksaan jika ia berlaku di rumah, diikuti jiran tetangga dan pihak masjid untuk persediaan kerja-kerja memandikan jenazah dan menggali liang lahad. Jadi sentiasalah ke masjid dan bergaul dengan mereka agar tidaklah menelefon mereka sewaktu terdapat kematian sahaja. Laporan polis juga hendaklah dibuat samada kematian berlaku disebabkan jenayah ataupun tidak.

Segerakanlah urusan pengebumian kerana ada diriwayatkan sebuah hadis, maksudnya: Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia kepadanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu. - [HR Bukhari 1315 dan Muslim 944].

Sentiasalah berdoa agar urusan kematian kita dipermudahkan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain