suria

Melihat diri lebih baik, itulah sifat ujub... 6 langkah boleh bantu elak diri tersemat sifat tercela ini

Ujub bermaksud kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego. - Gambar Sekadar Hiasan

MENURUT Imam al-Ghazali, sifat yang tercela ada banyak bilangannya dan untuk membersihkannya, ia memerlukan usaha yang berterusan. Di dalam kitab Bidayah al-Hidayah, Imam al-Ghazali memberitahu kaedah untuk membersihkannya dengan cara memfokuskan kepada tiga sifat tercela yang utama.

Tiga sifat tersebut ialah hasad, riyak dan ujub. Tiga sifat ini juga sering menjadi masalah bagi golongan yang alim kerana mereka juga tewas berhadapan dengan ujian itu.

Menurutnya, jika seseorang itu bersungguh-sungguh membersihkan dirinya daripada tiga sifat ini, maka ia akan mengetahui untuk membersihkan diri dari sifat-sifat tercela yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Marah itu api sifat kejadian syaitan... Cubalah berwuduk, pukul pipi dengan tanah antara petua Imam Ghazali

Jika ia tidak mampu melakukannya, maka sukarlah baginya untuk menghindari diri dari sifat-sifat keji yang lain. Meskipun seseorang itu beranggapan dirinya telah memiliki niat yang baik dalam menuntut ilmu, namun ia belum tentu selamat dari tiga sifat keji ini.

Artikel ringkas ini hanya memfokuskan kepada salah satu dari tiga sifat keji tersebut iaitu sifat ujub. Dalam kitab al-Arba’in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali telah membuat garis panduan bagaimana membersihkan diri dari ujub atau berasa takjub atau kagum dengan diri sendiri.



Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.

Menurut Kamus Dewan, ujub bermaksud kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego. Sifat ini disenaraikan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab tersebut sebagai salah satu dari sepuluh perkara asas penyakit hati yang perlu dibersihkan dari hati manusia.

Menurut Imam al-Ghazali, hakikat ujub itu merujuk kepada pengagungan diri sendiri antaranya dari aspek kenikmatan yang dimiliki tanpa melihat kepada pemilik nikmat yang sebenar yakni Allah.

Namun, jika seseorang itu melihat bahawa ia memiliki ilmu, amal perbuatan dan seumpamanya yang merupakan kurniaan Allah dan berasa bangga dengannya dan bimbang kehilangannya maka ia bukanlah ujub. Ini kerana ujub lebih kepada tidak mengaitkan segala kenikmatan kepada pemberi asalnya yakni Allah.

Ujub juga ialah satu penyakit yang sukar diubati. Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.

Tanda-tanda orang yang bersifat ujub ini ialah ia selalu berkata ‘aku begini, begini’. Ia menuruti sikap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 12 yang bermaksud: “(Iblis berkata): Aku lebih baik daripadanya (Nabi Adam AS) kerana Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakannya daripada tanah.”



Ujub juga disifatkan sebagai seseorang yang suka menonjol diri dalam perbincangan dan tidak suka jika ada orang lain tolak pandangannya.

Selain itu, tanda ujub juga ialah suka mengangkat diri, anggap diri lebih berkebolehan melebihi orang lain, suka menonjol diri dalam perbincangan dan tidak suka jika ada orang lain tolak pandangannya.

Ia juga berkaitan dengan sikap takbur yang mana ia tidak suka diberi nasihat tetapi diri sendiri suka memberi nasihat secara kasar kepada orang lain. Seseorang yang beranggapan bahawa dirinya lebih baik dari orang lain, ini juga boleh dikaitkan dengan sifat takbur atau sombong.

Maka, bagaimana cara untuk membersihkannya? Antara caranya adalah;

1. Perlu tahu bahawa seseorang itu benar-benar hebat atau lebih baik adalah kelihatan pada akhir umur seseorang. Sekarang tidak diketahui lagi, siapakah sebenarnya yang lebih hebat. Jika seseorang itu beranggapan dirinya yang lebih baik berbanding orang lain ketika ini, maka ia sebenarnya jahil tentang ini.

2. Jika ia melihat seseorang yang lebih muda, maka ia perlu beranggapan bahawa orang muda itu masih kurang maksiatnya berbanding dirinya yang lebih berumur yang banyak melakukan maksiat.

3. Jika ia melihat seseorang yang lebih tua, maka ia perlu membayangkan bahawa orang berumur itu lebih dahulu melakukan kebaikan atau lebih banyak melakukan kebaikan berbanding dirinya yang masih muda dan masih kurang kebaikan yang dilakukan.



Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk mengikis sifat ujub dalam diri.

4. Jika ia melihat seseorang yang lebih alim, maka ia perlu beranggapan bahawa orang tersebut lebih banyak ilmunya dan telah diberi pelbagai pemberian dari Allah berbanding dirinya yang masih jahil.

5. Jika ia melihat orang jahil, maka ia perlu beranggapan bahawa si jahil itu berbuat maksiat kerana kejahilannya sedangkan dirinya sendiri berbuat maksiat dalam keadaan berilmu.

6. Jika ia melihat orang kafir, maka ia perlu beranggapan bahawa si kafir itu mungkin akan memeluk Islam sedangkan dirinya belum tentu akan istiqamah dengan agama Islam ketika menemui ajal nanti.

Semoga dengan cara ini, dapat membantu seseorang itu membersihkan dirinya dari sifat ujub atau rasa diri hebat tanpa mengingati bahawa nikmat yang diberi adalah daripada Allah dan tanpa memandang hina kepada orang lain.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain