suria

“Perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya” - Pejabat Mufti W.Persekutuan ulas kenyataan ‘curang dengan izin Allah’ oleh Andika Putera

Andika melihat kontroversi melanda dirinya sebagai satu ujian.

SELEBRITI media sosial, Muhamad Andika Putera Salleh pada Jumaat lalu menjadi perhatian selepas tindakannya mengeluarkan komen berhubung kes curang seorang penyampai radio popular, baru-baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram, Andika yang ditanya mengenai isu curang menyatakan bahawa perbuatan yang dilakukan lelaki berkenaan adalah atas izin Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi video ‘curang dengan izin Allah’, Andika akui silap... terguris hati digelar penunggang agama - “Visual panjang disunting jadi pendek, mesejnya jangan menilai sesiapa”

Ulasan Andika itu mengundang kecaman netizen yang tidak bersetuju dengan pandangannya sehingga ia mendapat perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli menerusi kenyataan di Twitter meminta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meneliti kelancangan kata-kata pemuda itu.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelaskan sebarang perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah 'perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya'.

"Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk semua keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja," tulis kenyataan itu.



Nama Andika menjadi perhatian selepas mengulas isu kecurangan seorang penyampai radio.

Kenyataan itu turut menjelaskan, menurut ahli Sunnah Wal Jamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan.

Namun kesemuanya tidak terkeluar dari kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia.

Selain itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelaskan, ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah SWT reda terhadap perbuatan maksiat tersebut.

Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredaan-Nya. Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT.

"Ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut dan malah perlu dielakkan, apatah lagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang," tulis kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Andika sudah pun memohon maaf atas perbuatannya itu dan menjelaskan cara penyampaiannya yang spontan dan direct itu telah menimbulkan salah faham.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN

Artikel Lain