suria

Bersedekah, amalan berpuasa dan berwuduk antara 5 cara agar dosa kecil dihapuskan Allah

Mengambil wuduk salah satu cara bagi menghapuskan dosa. Ini kerana setiap titisan air yang jatuh dari anggota wudu' maka akan gugurlah dosa-dosa yang dilakukan.

DOSA ialah balasan buruk bagi mereka yang melanggar hukum Allah dengan melakukan perkara-perkara maksiat. Firman Allah di dalam Surah Al-Qasas ayat 78: Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Perlu diketahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun atas segala kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh hambaNya.

Kerana itu, antara nama-nama Allah ialah Al-Ghofur (Maha Pengampun). Firman Allah di dalam Surah Az-Zumar ayat 53: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasulullah berulang kali pesan “jangan marah...” 4 amalan ini boleh redakan api kemarahan

Ayat ini begitu jelas keterangannya bahawa mana-mana hamba yang telah melakukan maksiat sehingga dosanya terlalu banyak dan mereka ingin kembali kepada Allah sebelum pengakhiran hidup mereka dengan sebenar-benar taubat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa yang telah mereka kerjakan.

Berikut dikongsikan lima cara menghapuskan dosa-dosa kecil:

1. Sentiasa Istighfar

Baginda Rasulullah tidak pernah meninggalkan untuk memohon ampun kepada Allah dengan melazimi istighfar.

Di dalam sebuah hadis ada diceritakan bahawa Baginda beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. Sabda Rasulullah: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali. [HR Bukhari 6307].

Istighfar dengan memohon keampunan kepada Allah dan menginsafi segala apa yang telah dilakukan akan menyebabkan kasih sayang Allah kepada kita.

Firman Allah di dalam Surah An-Nisa' ayat 110: Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.



Amalan berwuduk boleh menggugurkan dosa kecil.

2. Melazimi berwuduk

Wuduk merupakan salah satu cara bagi menghapuskan dosa. Ini kerana setiap titisan air yang jatuh dari anggota wuduk maka akan gugurlah dosa-dosa yang dilakukan.

Sabda Baginda Rasulullah: “Sukakah kamu semua kalau aku tunjukkan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dan dengannya dapat pula menaikkan beberapa darjat?” Para sahabat menjawab: “Ya wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Ianya adalah menyempurnakan wuduk walaupun dalam keadaan sukar, banyak melangkahkan kaki untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan solat. Itulah yang disebut ribath (jihad fisabilillah) - [HR Muslim 369].



Sentiasa berdoa memohon ampun daripada Allah.

3. Bersedekah

Mengeluarkan sedikit daripada harta yang dikurniakan Allah kepada kita dengan membantu golongan yang memerlukan juga boleh menyebabkan Allah mengampuni dosa-dosa yang kita lakukan.

Setiap dosa yang dilakukan akan mengundang kemarahan Allah. Oleh yang demikian dengan memperbanyakkan sedekah akan dapat menghapuskan dosa.

Ini berdasarkan sebuah hadis Baginda Rasulullah: Sedekah menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api. - [HR Tarmizi 558].

4. Berpuasa

Apabila seseorang itu berpuasa sama ada puasa wajib di bulan Ramadan atau puasa sunat maka ia juga akan dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

Sabda Rasulullah: Solat lima waktu dan solat Jumaat ke Jumaat berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah penghapus untuk dosa antara keduanya apabila dia menjauhi dosa besar. [HR Muslim 334].

5. Sabar dalam segala ujian

Seseorang yang ditimpa musibah oleh Allah perlulah menghadapinya dengan kesabaran. Ini kerana ganjaran yang begitu hebat sehinggakan dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu. Perkataan sabar di dalam Al-Quran disebut sebanyak 90 kali.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kerisauan dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan, sehinggakan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya. - [HR Bukhari 5210].

Perlu diingatkan bahawa dosa seseorang dengan Allah akan diampunkan jika kita memenuhi tiga syarat iaitu:

i. Menjauhi dan meninggalkan maksiat

ii. Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.

iii. Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya).

Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah (umpatan), maka harus minta dihalalkan. (Riyadh al-Salihin 41-42)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar diampuni dosa kita dan juga mereka yang terdahulu daripada kita seperti mana yang disebutkan di dalam Surah Al-Hasyr ayat ke-10. "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu".

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain