suria

Bimbang tak sempat hapus dosa sesama manusia? Minta dihalalkan antara adabnya, elak tidur dalam keadaan menzalimi

Memohon maaf kepada individu yang kita melakukan kesalahan adalah penting dalam Islam.

SETIAP orang pasti tidak terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada dosa dengan Sang Pencipta atau dosa sesama manusia.

Dosa dengan Allah akan diampunkan jika seseorang itu bertaubat dan menyesal atas segala perbuatannya serta bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersedekah, amalan berpuasa dan berwuduk antara 5 cara agar dosa kecil dihapuskan Allah

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan ditambah satu syarat lagi, iaitu memohon kemaafan daripada orang yang kita zalimi.

Perlu diketahui bahawa dosa dengan manusia sangatlah berat jika tidak dimaafkan oleh orang tersebut. Sabda Baginda Rasulullah:

Barang siapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau apa-apa perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya. [HR Tirmizi 2419]

Seseorang boleh menjadi muflis di akhirat nanti disebabkan dosa-dosa dengan orang lain yang pernah dizalimi ketika hidup di atas muka bumi. Oleh kerana itu perlu diketahui bagaimana cara untuk meminta maaf kepada orang yang pernah kita zalimi.



Dosa dengan Allah akan diampunkan jika seseorang itu bertaubat dan menyesal atas segala perbuatannya.

Kata Imam Nawawi: Apabila seseorang itu hendak meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya:

1. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya).

2. Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya.

3. Jika ia berbentuk ghibah (umpatan), maka harus minta dihalalkan. (Riyadh al-Salihin 41-42)

Meminta maaf kepada orang yang pernah dizalimi lebih mudah jika kita mengetahui keberadaannya. Adapun sekiranya orang yang dicari tersebut tidak diketahui, maka para alim ulama' telah menyenaraikan langkah-langkah bagi mengembalikan hak seseorang itu.

Di dalam Kitab Majmu' Syarh Muhazzab (9/351) menceritakan bahawa barang siapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang) dan dia hendak bertaubat daripada perbuatannya serta mahu lepaskan diri daripada harta haram tersebut, jadi dia perlu mencari si pemilik sah harta itu.

Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilik sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum muslimin, seperti membina jambatan, masjid dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin. Ia boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin.



Seseorang boleh menjadi muflis di akhirat nanti disebabkan dosa-dosa dengan orang lain.

Kesan daripada perbuatan menyusahkan manusia dan menganiayai orang lain itu akan memberikan kesan kepada pelakunya di akhirat kelak hingga tidak mustahil bakal menjadi orang yang muflis.

Sabda Baginda Rasulullah:

Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?. Para sahabat menjawab: Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak mempunyai dirham dan dinar serta harta benda. Baginda bersabda: Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan diletakkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa). [HR Tirmizi 2342]

Begitulah dahsyatnya dosa seseorang dengan orang lain jika mereka tidak meminta maaf sebelum mati dan mereka juga perlu berasa khuatir dan bimbang kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah.

Biarlah kita tidur dalam keadaan kita dizalimi daripada kita tidur dalam keadaan menzalimi.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain