suria

Jangan ambil mudah melewatkan solat kerana tempat mereka ialah di neraka Wail

Solat itu tiang agama, jika runtuh tiang itu maka runtuhlah sistem agama seseorang.

SOLAT merupakan rukun kedua dalam rukun-rukun Islam. Maka sesiapa yang tidak mendirikan solat maka ia tidak menyempurnakan rukunnya.

Melewatkan untuk mengerjakan solat sering menjadi pertanyaan bagi segelintir masyarakat yang mempunyai pelbagai urusan yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah adakah seseorang itu dikira berdosa jika melewatkan solat?

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang tak sempat hapus dosa sesama manusia? Minta dihalalkan antara adabnya, elak tidur dalam keadaan menzalimi

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlulah mengetahui akan kelebihan bagi mereka yang sentiasa solat pada awal waktu.

Di dalam sebuah hadis: Baginda Rasulullah pernah ditanya: Apakah amalan-amalan yang lebih utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada awal waktunya. - [HR Abu Daud 362].

Berdasarkan hadis di atas, solat pada awal waktu merupakan satu amalan yang sangat dicintai Allah dan Rasulnya. Ini bertujuan agar seseorang itu memperolehi kelebihan yang banyak ketika solat di awal waktu disamping mengelakkan daripada berlakunya kelalaian sehingga luput waktu solat.



Leka menonton televisyen sehingga adakalanya tidak sedar waktu solat sudah berakhir.

Ulama membahaskan mengenai maksud seseorang yang melewatkan solat kepada dua golongan:

1. Melewatkan solat sehingga keluar waktunya.

2. Melewatkan solat sehingga hampir keluar waktunya.

Bagi golongan yang pertama, sebagai contoh mereka sengaja tidak mengerjakan Solat Subuh pada waktunya sehingga luput waktu. Hukum mereka yang sengaja melewatkan solat sehingga keluar waktu adalah berdosa besar.

Firman Allah di dalam Surah Al-Ma'un ayat 4 dan 5: (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.

Difahami dalam ayat ini bahawa mereka yang sengaja melewatkan solat sehingga habis waktunya maka mereka termasuk dalami kalangan orang yang dicelakakan Allah.

Imam al-Zahabi di dalam kitabnya (Al-Kabair 1/17) memberitahu bahawa: Solat diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada TuhanNya.

Di dalam sebuah hadis pula menceritakan mengenai mereka yang termasuk golongan yang di sebutkan Allah di dalam Surah Al-Ma'un ialah:

Sa’ad bin Abi Waqqas RA berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang orang yang melalaikan solatnya, maka Baginda menjawab: Iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain).

Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musalliin. Akan tetapi kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya. - [HR Bahaiqi 2949].



Berusahalah dalam mematuhi perintah Allah dan janganlah sesekali memperlekehkan amalan solat dan bersabarlah dalam mengerjakannya.

Bagi golongan yang kedua: mereka yang melewatkan solat sehingga hampir habis waktu disebabkan keuzuran yang dibenarkan syarak maka kata para alim ulama ia tidaklah berdosa.

Oleh yang demikian seseorang perlu mengetahui ada 6 jenis keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat melepasi waktunya:

1. Tidur, jika tidur sebelum waktu solat

2. Lupa

3. Jamak solat

4. Paksaan

5. Takut terlepas waktu wuquf di Arafah

6. Menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa

Jika tiada sebarang keperluan untuk dilewatkan solat, maka itu lebih utama berdasarkan keumuman sabda Nabi kepada Abu Zar: Bagaimanakah akan kamu lakukan sekiranya kamu berada bersama-sama kaum yang melewatkan solat dari waktunya? Lalu Abu Zar berkata: Apa yang kau perintahkan (wahai Rasulullah)? Jawab Rasulullah: Solatlah kamu pada waktunya. - [HR Muslim 648].

Oleh itu, berusahalah dalam mematuhi perintah Allah dan janganlah sesekali memperlekehkan amalan solat dan bersabarlah dalam mengerjakannya.

Firman Allah di dalam Surah Taha ayat 132: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

Solat itu tiang agama, jika runtuh tiang itu maka runtuhlah sistem agama seseorang seperti bangunan yang tanpa tiang pasti akan tersembam ke bumi.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain