RAMADAN hampir sampai ke penghujungnya. Setiap mukmin mengimpikan untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Ini kerana terdapatnya kelebihan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang sentiasa mencari keredaanNya pada malam itu. Ini bertepatan dengan perbuatan Baginda Rasulullah seperti mana di dalam hadis: Rasulullah berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain. [HR Muslim 2009]. ARTIKEL BERKAITAN: Bagai bawa air dalam baldi bocor... 3 perbuatan ini kurangkan pahala tapi tak batalkan puasa! Nama malam Al- Qadar itu sendiri membawa beberapa maksud mengikut pandangan alim ulama. Malam Lailatul Qadar merupakan satu malam yang sangat istimewa kepada orang-orang beriman yang sentiasa mencari keredaan Allah. 1. Membawa maksud agung kerana pada malam itu diturunkan sebaik-baik kitab iaitu Al-Quran. 2. Membawa maksud sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. 3. Membawa maksud hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah. 4. Membawa maksud kemuliaan kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Malam Lailatul Qadar merupakan satu malam yang sangat istimewa kepada orang-orang beriman yang sentiasa mencari keredaan Allah. Ini kerana Allah mengkhabarkan kepada kita bahawa malam itu ia lebih baik daripada 1,000 bulan. Perbanyakkan amalan di 10 malam terakhir Ramadan ini. Kelebihan ini disebabkan kerana turunnya Al-Quran pada malam Lailatul Qadar yang mana ia merupakan malam yang penuh keberkatan seperti firman Allah dalam Surah Ad-Dukhon ayat ke 3 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Bagi orang-orang yang beriman sudah menjadi kewajipan untuk memburu dan memecut laju dengan amalan-amalan sunah agar tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Di dalam sebuah hadis: Ketika Nabi menaiki mimbar, Baginda bersabda: Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali). Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin. Maka Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. - [HR Ibn Hibban 907]. Maka inilah peluang yang dinanti-nantikan agar ganjaran dilipat gandakan kerana beribadah pada malam itu umpama beribadah 84 tahun. Cuma persoalannya sekarang ialah bilakah malam Lailatul Qadar itu? Sabda Baginda Rasulullah: Carilah Lailatulqadar pada malam yang ganjil dalam sepuluh malam yang akhir dari Ramadan. - [HR Bukhari 1878]. Ini bermakna malam Lailatul Qadar akan jatuh pada malam-malam ganjil iaitu malam 21,23,25,27 dan 29. Malam Lailatul Qadar itu ia lebih baik daripada 1,000 bulan. Antara hikmah disembunyikan waktu malam Lailatu Qadar yang disebutkan oleh para alim ulama ialah: 1. Bagi menjadikan orang beriman sentiasa sibuk dengan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada waktu-waktu akhir di Bulan Ramadan. 2. Bagi menjadikan orang beriman beribadah pada semua malam dan tidak hanya tertumpu pada tanda-tanda malam Lailatul Qadar sahaja. 3. Supaya sentiasa dalam keadaan ibadah dan tidak melakukan maksiat kepada Allah. Ini kerana melakukan maksiat pada malam Lailatul Qadar adalah satu kerugian yang sangat besar kepada pelaku maksiat. 4. Bagi mendapat pahala yang berlipat kali ganda disebabkan usaha mencari dan sentiasa istiqamah dalam meminta kepada Allah. 5. Untuk menunjukkan kehebatan Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui seperti mana firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui. Perbanyakkan berzikir, bersedekah atau apa sahaja amalan yang mendapat reda Allah. Antara tanda-tanda malam Lailatul Qadar ialah seperti mana yang diriwayatkan oleh Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu; Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. - (Umdah al-Qari11/134). Maka carilah malam yang penuh dengan keberkatan dengan amalan-amalan sunat seperti bacaan Al-Quran, zikir, solat sunat, doa, sedekah dan apa sahaja amalan yang mendapat reda Allah. Ingatlah, Ramadan ini akan datang setahun sekali sahaja tetapi bila sekali ia tidak datang maka ketahuilah pada waktu itu kita sudah menjadi ahli kubur. Rebutlah peluang ini bersama-sama keluarga tercinta agar dapat membina keluarga bukan sahaja di dunia bahkan di syurga Allah. Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu, dan membangunkan ahli keluarganya, dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri. - [HR Muslim 2008]. ***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!