suria

Perihal syaitan lari sampai terkentut-kentut masuk tandas ketika azan, ketahui hadis dan doa pelindung diri

Biasanya kita akan mandi ketika masuk azan maghrib untuk membersihkan diri sebelum solat.

ADA di antara kita yang gemar masuk ke tandas untuk mandi ketika waktu azan berkumandang dan ada pula mengatakan perbuatan itu tidak elok kerna dikatakan waktu tersebut syaitan sedang berkumpul di dalamnya.

Dalam Islam terdapat hadis-hadis yang menyebutkan bahawa syaitan mendiami tempat-tempat yang kotor seperti tempat membuang hajat.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu guru periksa haid pelajar... Perbuatan itu berdosa kerana setiap aurat itu ada hadnya

Justeru, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk berdoa sebelum masuk dan selepas keluar dari tandas bagi berlindung daripada syaitan tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Arqam, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya tempat membuang hajat ini didiami oleh syaitan. Jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan jantan dan betina. (Riwayat Abu Daud)

Begitu juga, Rasulullah SAW juga menyebutkan tentang keadaan syaitan tatkala azan berkumandang. Syaitan-syaitan akan bertempiaran lari sehingga keadaan mereka terkentut-kentut supaya tidak mendengar laungan azan tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Apabila panggilan solat (azan) dikumandangkan, maka syaitan akan lari sambil terkentut hingga dia tidak mendengar azan lagi. (Riwayat al-Bukhari)

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Berdasarkan hadis-hadis di atas, secara umumnya ia mengisyaratkan bahawa tandas adalah tempat yang didiami oleh syaitan dan apabila azan berkumandang maka mereka akan bertempiaran lari agar tidak mendengar laungan azan tersebut.



Ada pula melarang masuk ke dalam tandas ketika azan kerana kononnya syaitan menyorok di dalamnya.

Bagaimanapun, tiada riwayat lain yang secara jelas mengatakan bahawa syaitan berkumpul di tandas ketika azan berkumandang. Begitu juga, tiada riwayat yang menunjukkan bahawa terdapat tegahan untuk masuk ke tandas waktu azan.

Lebih-lebih lagi jika sekiranya seseorang dalam keadaan terdesak untuk membuang air atau mempunyai tujuan seperti untuk segera ke masjid untuk menghadiri solat berjemaah, maka tiada larangan untuk dia masuk ke tandas ketika azan berkumandang.

Namun, apabila dia masuk ke dalam tandas waktu azan, maka dia akan terlepas untuk mendapat pahala menjawab azan.

Hal ini kerana adalah makruh bagi orang yang berada di dalam tandas untuk menjawab azan. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

Maksudnya: Dan dikecualikan daripada ini (menjawab azan) bagi orang yang sedang solat, orang yang berada di dalam tandas, orang yang sedang berjimak. Apabila telah selesai daripada menunaikan hajat dan berjimak, maka bolehlah dia mengikutinya (menjawab azan). (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:118)

Begitu juga, janganlah hanya kerana menunggu selesai azan untuk masuk ke tandas dan kemudian bergegas untuk mengejar solat berjemaah di masjid menyebabkan seseorang itu terpaksa hadir dalam keadaan menahan diri daripada membuang air kecil atau air besar.

Keadaan seperti ini akan menimbulkan rasa tidak senang dan mengganggunya untuk khusyuk. Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Tidak ada solat ketika hadirnya makanan, dan tidak ada solat juga dalam keadaan seseorang itu menahan diri daripada membuang air kecil dan besar. (Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, sangatlah disarankan untuk membersihkan diri dan berwuduk lebih awal sebelum azan, supaya mendapat pahala menjawab azan tersebut dan seterusnya hadir lebih awal ke masjid untuk solat berjemaah.

Hal ini kerana begitu besar pahala yang diganjarkan oleh Allah SWT bagi mereka yang menjawab azan dan hadir awal ke masjid.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain