suria

Kibar bendera putih kerana kefakiran, ketiadaan makanan adalah halal namun haram hukumnya jika bertujuan menipu

Kempen Bendera Putih mendapat perhatian warganet dalam usaha membantu golongan terkesan akibat pandemik.

SEJAK minggu lalu kempen mengibarkan bendera putih sebagai tanda seseorang itu memerlukan bantuan makanan atau kewangan hebat diperkatakan sehinggakan ia menjadi perdebatan. Ada yang bersetuju, ada pula sebaliknya.

Kempen itu adalah satu inisiatif baharu yang dicadangkan oleh sesetengah pihak namun ada pihak melihatnya dari sisi politik, budaya dan ada pula dari segi agama.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin mendapat perhatian, grup Facebook ‘Soladiriti Rakyat: Bendera Putih’ jadi medium rakyat salur bantuan pada golongan terkesan

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan hukum mengibar bendera atau meletakkan apa-apa tanda di hadapan rumah adalah bergantung kepada apakah sebenarnya tujuan ia dilakukan.

"Jika tujuannya untuk perkara yang salah di sisi syarak seperti isyarat atau seruan atau sokongan kepada kejahatan, maka hukumnya haram.



Dr Maza menjelaskan mengenai hukum mengibarkan bendera putih yang hangat diperkatakan ketika ini.

"Jika tujuan untuk kebaikan maka hukumnya mengikut hukum kebaikan tersebut. Jika ia membawa kepada sesuatu yang harus semata, maka demikianlah hukumnya," katanya menerusi tulisannya di Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Ini juga jelasnya di bawah kaedah yang disebut oleh para ulama usul: (Bagi wasilah-wasilah itu hukum hakam maqasid). Maksudnya, bagi wasilah iaitu cara atau jalan menuju ke sesuatu maksud hukumnya mengikut hukum maksud tersebut).

Hukum Meminta Bantuan atau Sedekah?

Jelas Dr Mohd Asri atau lebih mesra dengan sapaan Dr Maza, atas kaedah “bagi wasilah-wasilah itu hukum hakam maqasid, ” seseorang mesti mengetahui terlebih dahulu hukum meminta sedekah atau memohon bantuan kewangan, makanan atau benda daripada pihak lain.

Katanya, sekiranya persoalan ini dapat dijawab, maka seseorang akan mengetahui hukum mengibarkan bendera putih untuk tujuan tersebut.

Kesimpulan mudahnya, hukum meminta sedekah itu mengikut keadaan diri yang meminta.

Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim daripada Qabisoh bin Mukhariq al-Hilali, Nabi s.a.w bersabda: (Maksudnya): “Wahai Qabisoh! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali untuk salah seorang dari yang tiga; (Pertama) seseorang yang menanggung bebanan hutang (kerana mendamaikan antara pihak yang bertelagah), maka halal untuknya meminta-minta. Dia boleh meminta sehingga dia dapat menyelesaikannya (hutang), kemudian dia hendaklah berhenti meminta.



Islam tidak melarang perbuatan mengibarkan bendera putih sekiranya benar-benar dalam kesusahan.

(Kedua) seseorang yang ditimpa bencana sehingga musnah hartanya. Maka halal untuk dia meminta-minta. Dia boleh meminta sehingga dia dapat menyelesaikan teras asas kehidupan.” - atau baginda sebut: “memenuhi keperluan hidup.”

(Ketiga) seseorang yang ditimpa kefakiran (keperluan hidup) sehingga tiga orang (saksi) yang rasional dari kaumnya menyatakan ‘si fulan ini telah ditimpa kefakiran’. Maka halal untuk dia meminta-minta. Dia boleh meminta sehingga dia dapat menyelesaikan teras asas kehidupan” -atau baginda sebut: “memenuhi keperluan hidup”. Kemudian dia berhenti (meminta). Adapun selain dari tiga ini, wahai Qabisoh! Adalah haram, pelakunya memakan yang haram.”

Dalam hadis di atas kata Dr Maza, ia menunjukkan orang yang ditimpa bencana sehingga kehilangan harta, atau ditimpa kefakiran iaitu keperluan asas hidup (makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan seumpamanya) yang terbukti atau diketahui hal tersebut oleh pihak yang mampu menilai secara matang, maka mereka ini boleh meminta dan menerima sedekah apa yang diperlukan sahaja.

"Dengan itu, jika yang mengibarkan bendera putih dengan tujuan meminta sedekah atau bantuan keperluan hidup termasuk dalam kumpulan ini, maka dia boleh atau halal melakukan perbuatan tersebut.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ini dengan syarat dia hanya meminta dan mengambil apa yang diperlukan sahaja. Jangan meminta apa yang tidak diperlukan. Dalam hadis itu dinyatakan tentang tiga orang saksi yang rational dengan maksud hal itu diketahui sebagai benar," jelasnya.

Adapun jika seseorang itu tidak layak meminta-minta kerana tidak dalam keadaan terdesak tersebut, namun dia mengambil kesempatan mengibarkan bendera putih supaya dia mendapat pemberian orang yang terpedaya dengan tindakannya, maka dia melakukan perkara yang diharamkan. Banyak hadis yang memberikan amaran tentang perbuatan itu. Antaranya;



Ramai yang memerlukan bantuan disebabkan pandemik.

Sesiapa yang meminta-minta harta orang untuk membanyakkan hartanya, dia sebenarnya hanya meminta bara api (neraka). Silalah sedikitkan atau banyakkan (bara api neraka itu jika dia mahu). - [Riwayat Muslim].

Sesungguhnya sesiapa meminta-minta sedangkan di sisinya apa yang mencukupi, maka dia membanyakkan bara neraka Jahanam.” - [Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Dinilai sahih].

Hukum mereka yang memberikan sedekah pada rumah yang mengibar bendera putih?

Isyarat bendera putih dalam konteks ini kata Dr Maza ialah tanda permohonan sedekah. Maka, memberikan bantuan makanan atau kewangan kepada rumah yang mengibarkan bendera tersebut ialah memberikan sedekah kepada pihak yang meminta sedekah. Sudah pasti ia perbuatan yang terpuji dan berpahala.

Jelasnya, jika ada rumah yang mengibarkan bendera tersebut menipu padahal dia tidak layak sehingga pemberi sedekah terpedaya, pun begitu pahala sedekah itu tetap ada di sisi Allah.

"Ini seperti hadis sahih riwayat al-Bukhari di mana seorang yang sedekahnya diambil oleh mereka yang bukan sasaran sedekah. Namun, perbuatan sedekah tersebut tetap dipuji di sisi Allah. Allah tidak mensia-siakan niat yang baik.

"Adapun mereka yang mengibarkan bendera tersebut dengan tujuan menipu keadaan sebenar, mereka melakukan dua dosa; pertama: meminta sedekah sedangkan dia tidak layak. Kedua, menipu pemberi sedekah," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain