suria

Sembunyikan aib sendiri, tutuplah aib orang... Cegah kemungkaran melalui saluran yang betul agar tak timbul fitnah

Kita dilarang untuk menyebarkan aib diri sendiri dan orang lain.

AIB merupakan satu perkara yang disembunyikan oleh manusia melainkan mereka sendiri yang mendedahkannya kepada orang lain. Setiap manusia mempunyai keaiban masing-masing. Islam tidak membenarkan untuk menyebarkan keaiban diri sendiri apatah lagi orang lain.

Terdapat di dalam sebuah hadis yang meminta supaya kita menutup keaiban sendiri ataupun orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang yang baik akhlaknya berada dekat dengan Rasulullah di akhirat kelak... Maka janganlah sakiti hati orang ketika berdakwah

Sabda Baginda Rasulullah: Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau kamu mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya. - [HR Tirmizi 1955].

Hadis ini menuntut kita supaya menyembunyikan aib sendiri dan menutup keaiban orang lain kerana boleh jadi suatu hari nanti sang pendosa akan menjadi orang yang baik bahkan lebih baik daripada kita yang mencela.

Kebelakangan ini ramai yang mula mencari-cari keaiban orang dengan alasan untuk mencegah sesuatu kemungkaran.

Jangan Buka Aib

Kita tidak dibenarkan mencari-cari keaiban seseorang.

Mereka berdalilkan dengan sebuah kisah dari Zaid bin Wahb ia berkata: Pernah didatangi seseorang kepada Ibn Mas'ud lalu ditanya: Fulan ini telah melumuri janggutnya dengan arak. Maka kata Ibn Mas'ud: Sebenarnya kita dilarang untuk mengintai-intai (keaiban), namun jika telah jelas perkaranya maka kita harus memberinya hukuman. - [HR Abu Daud 4246].

Kata para alim ulama kita tidak dibenarkan mencari-cari keaiban seseorang bahkan hanya perlu mengambil apa yang zahir padanya sahaja seperti mana dalam hadis ini.

Apa yang ada pada janggutnya pula menjadi salah satu bukti akan tetapi ia bukanlah satu bukti yang meyakinkan bahawa dia meminum arak. Oleh yang demikian perlulah diselidiki sama ada dia melakukannya atau tidak.

Mereka yang perlu menyelidik pada waktu ini pula bukanlah daripada kalangan orang biasa yang tidak mempunyai pengalaman dalam menganalisis segala bukti yang ada.

Adalah lebih baik mereka menyerahkan segala urusan kepada pihak yang berwajib untuk melakukan siasatan dengan lebih lanjut.

Gosip Social Media

Kini media sosial menjadi medan penyebaran fitnah dan membuka aib.

Kita memang disuruh oleh Baginda Rasulullah untuk membantu orang yang dizalimi seperti mana dalam sebuah hadis: Bantulah saudaramu yang zalim dan juga dizalimi - [HR Bukhari 2263].

Difahami dalam hadis ini perlunya kita membantu orang yang dizalimi tetapi persoalannya bagaimana pula membantu orang yang zalim?

Ulama menyebutkan bahawa membantu orang yang dizalimi adalah dengan menghentikannya daripada melakukan sebarang tindakan yang menyalahi syarak.

Seseorang yang ingin menghentikan kezaliman haruslah mengikut cara yang betul iaitu dengan membawa mereka yang dizalimi kepada pihak yang berwajib untuk disoal selidik tanpa memberi apa-apa isyarat atau menggali kejahatan seseorang di media sosial dengan membuat hint-hint tertentu yang mana akhirnya akan menjadi fitnah yang besar serta mencetuskan pertelingkahan yang berpanjangan.

Sabda Baginda Rasulullah: Jika engkau menulusi aurat (aib) orang, bererti engkau telah merosakkan mereka atau hampir-hampir engkau merosakkan mereka.

Lelaki Bergosip

Mencegah kemungkaran yang ada di sekeliling kita maka haruslah mengikut saluran dan jalan yang betul.

Mencegah kemungkaran merupakan satu perkara yang sangat penting sehinggakan Allah memuji umat Muhammad disebabkan amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Firman Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Mencegah kemungkaran seperti mana yang diajarkan oleh Baginda Nabi ialah: Barang siapa dari kalian melihat kemungkaran lalu ia mampu mengubahnya dengan tangan, hendaklah ia ubah kemungkaran tersebut dengan tangannya. Jika ia tidak mampu hendaklah dengan lisannya, jika tidak mampu dengan lisan hendaklah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman. - [HR Abu Daud 3777].

Dalam kita ingin mencegah kemungkaran yang ada di sekeliling kita maka haruslah mengikut saluran dan jalan yang betul agar tidak timbul fitnah dalam masyarakat.

Serahkan sahaja bukti yang ada kepada pihak berwajib dan biarkan pihak berwajib yang membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman.

Berdoa

Sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada sebarang kemungkaran.

Kita perlu tahu masyarakat bukanlah qadi yang memutuskan sesiapa yang bersalah atau tidak kerana itu nasihat saya kepada masyarakat seperti mana kata Luqman kepada anaknya: Jika bercakap itu mengeluarkan perak maka diam itu akan mengeluarkan emas.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bermaksud lebih baik diam jika sekiranya ia boleh membawa kepada fitnah dan dosa daripada bercakap sesuatu yang kita belum pasti.

Kata Imam Nawawi dalam menceritakan perilaku seseorang dibenarkan seperti berikut:

1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.

2. Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar dengan saluran yang betul.

3. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.

4. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.

5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan tanpa segan silu di hadapan orang ramai dan bukan di buat secara sembunyi-sembunyi.

6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain