PASTI ada di antara kita yang pernah melakukan perbuatan menipu tapi dengan tujuan baik yang dipanggil sebagai 'tipu sunat' atau 'bohong sunat' ketika berada dalam situasi tertentu. Kebiasaannya perkara itu dilakukan kerana ingin melepaskan diri daripada sesuatu keadaan atau mengelakkan daripada berlakunya perbalahan. ARTIKEL BERKAITAN: Istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak, adakah sah hukumnya? Persoalannya, adakah perbuatan tipu sunat ini dibenarkan dalam Islam? Ini kerana berbohong atau menipu itu sendiri adalah dilarang dan agama mencegah kita daripada melakukannya. Adakalanya seseorang terpaksa menipu kerana enggan menyebabkan sesuatu masalah bertambah besar. Menjelaskan mengenai perkara itu, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, pada asasnya perbuatan menipu adalah berdosa. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Adapun, beberapa situasi sahaja yang dibolehkan untuk seseorang itu melakukan perbuatan tersebut, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Kalthum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’aith (dia temasuk muhajirat yang pertama berbaiah dengan Nabi SAW) beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: (Maksudnya): “Tidak termasuk pendusta orang yang mendamaikan dua orang yang berselisih, dia mengatakan yang baik lalu berhasil dengan baik”. Kata Ibnu Syihab, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membolehkan orang berdusta melainkan dalam 3 keadaan: Ketika dalam peperangan, dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya.” - [Riwayat Muslim]. Sebaik-baiknya elakkan menipu kerana ia berdosa besar. Hadis itu kata Dr Anhar menjelaskan tiada perkara yang dibolehkan untuk berbohong, melainkan yang disebutkan dalam hadis tersebut sahaja. Imam Nawawi katanya mengulas hadis ini dengan menyatakan dibolehkan berbohong sebagaimana maksud hadis di atas jika terdapat maslahah (kepentingan). Jelasnya, adapun perkara yang berkaitan dengan aib, sebagai seorang Muslim sebaik-baiknya perkara ini hendaklah dielakkan dan tidak dideahkan kepada orang ramai. Allah berfirman (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujuraat: 12) Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!