suria

Jaga-jaga wahai lelaki, 5 perkara ini boleh jadi asbab suami nusyuz

Jangan menyakiti seorang isteri sama ada secara fizikal atau pun mental kerana ia perbuatan nusyuz.

SUAMI dan isteri masing-masing memikul tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam sebuah perkahwinan.

Selain itu, Islam memberi panduan kepada suami dan isteri supaya sentiasa bergaul dan bertolak-ansur di antara keduanya untuk melahirkan hubungan yang baik. Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau isteri sakiti suami... boleh jatuh nusyuz dan dosa besar!

Namun, setiap perkahwinan itu semestinya mempunyai ujian dan cabaran yang mesti ditempuhi oleh setiap pasangan.

Adakalanya terdapat salah faham dan pengabaian tanggungjawab berlaku daripada suami atau isteri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana Islam meletakkan kasih sayang dan saling mencintai sebagai asas utama dalam perkahwinan. Ini kerana faktor ini akan melahirkan ketenangan dalam perkahwinan. Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

suami-mithali

Jadilah seorang suami yang mithali.

Kebanyakan masyarakat kita menganggap bahawa nusyuz itu hanya berlaku pada seorang isteri terhadap suaminya, sedangkan perbuatan ini juga boleh terjadi melalui seorang suami terhadap isterinya.

Nusyuz suami terjadi apabila dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya sebagai suami kepada isterinya. Terdapat ciri-ciri suami yang nusyuz. Antaranya ialah:

1. Tidak sediakan nafkah zahir dan batin

Suami dikira nusyuz apabila dia langsung tidak melakukan hubungan dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak dan tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi tempat tinggal, makan minum dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.

2. Menyakiti isteri

Menyakiti isteri bermaksud suami bertindak kejam dan kasar terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, mendera dan lain-lain yang boleh mendatangkan kecederaan pada tubuh badan isteri.

3. Mengabaikan isteri

Nusyuz bagi seorang suami apabila dia tidak mempedulikan isterinya seperti kurang berkomunikasi atau kurang bermesra dengan isterinya disebabkan suami itu sudah jemu dengan isterinya atau ingin mencari yang lain.

agresso-mulher-sombra-620x330-1

Ada segelintir suami mudah melempiaskan kemarahan kepada isteri.

4. Tidak menghormati isteri

Tidak memelihara kehormatan isteri juga dikira sebagai nusyuz apabila suami sering membuka aib isteri kepada orang lain lebih-lebih lagi hal di dalam rumahtangga.

5. Tidak adil terhadap isteri

Suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya dari segi nafkah, keperluan wajib dan waktu penggiliran bagi isteri-isterinya, suami itu dianggap telah nusyuz.

Semua perkara yang dinyatakan pada ciri-ciri suami yang nusyuz ini akan memberi kesan yang buruk kepada hubungan keluargaan seperti keretakan hubungan suami isteri atau terjadinya ketegangan antara mereka kerana isteri selalu merasa tertekan terhadap situasi suami yang telah mengabaikan tanggungjawabnya.

Jika seorang isteri berhadapan dengan suami yang nusyuz, isteri tersebut boleh menggunakan beberapa cara yang dapat dijadikan panduan untuk menegur suami. Antara cara tersebut ialah:

1. Seorang isteri hendaklah bersabar dan menasihati suaminya dengan cara yang baik seperti mengingatkan suami tentang tanggungjawabnya dan patuh pada perintah agama.

2. Membuat perdamaian bersama suami dengan meminta bantuan orang tengah seperti ahli keluarga atau sahabat yang mampu membantu menyelesaikan masalah.

3. Isteri membuat pengakuan kepada pihak mahkamah sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan.

8-Ciri-Suami-Mithali-Yang-Dicari

Kedua-dua pasangan sama ada isteri atau suami hendaklah saling bertoleransi.

Justeru, suami dan isteri yang terlibat dalam apa sahaja konflik perkahwinan hendaklah berusaha mengenal pasti punca kepada masalah yang berlaku dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian agar perkahwinan dapat diselamatkan sebelum terlambat.

Kedua-dua pasangan sama ada isteri atau suami hendaklah saling bertoleransi. Tiada pasangan yang sempurna dalam perkahwinan.

Dalam konteks ini, merujuk pada sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu terhadap isteri-isteriku.” [HR Ibnu Majah 1977]

Oleh itu, contohilah sifat Rasulullah yang merupakan contoh teladan yang baik dalam pelbagai perkara, termasuklah dalam hal melayani isterinya kerana suami yang baik adalah idaman dan impian bagi setiap isteri.

Buat para suami, masih ada waktu untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik kerana isteri dan keluarga kita merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dengan sebaiknya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain