TERDAPAT syair Arab mengatakan, “Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga firdaus-Mu. Tetapi tidak pula aku sanggup menanggung seksa neraka-Mu”. Sedangkan duduk di bawah terikan matahari pun kita tidak selesa, inikan pula untuk menghuni neraka yang amat dahsyat tahap kepanasannya, sudah pasti kita tidak sanggup menghadapinya.ARTIKEL BERKAITAN: Amalan cium tangan orang alim, apa hukumnya dalam Islam? Pemilik kepada syurga dan neraka, iaitu Allah, telah berjanji untuk mengharamkan neraka bagi hamba-Nya yang melazimi solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas Zohor. Hal ini jelas disampaikan melalui hadis, (maksudnya): “Siapa yang menjaga 4 rakaat sebelum dan selepas Zohor, nescaya Allah mengharamkan baginya untuk masuk ke dalam neraka” [Riwayat al-Tirmidzi: Sahih] Justeru, cubalah semampu mungkin untuk melazimi solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas Zohor, dengan harapan Allah akan mengharamkan bagi kita untuk masuk ke dalam neraka. Yakinlah, Allah pasti menunaikan segala janji-Nya. Solat tersebut boleh didirikan secara empat rakaat dengan satu salam. Cara mendirikan solat 4 rakaat sebelum dan selepas Zohor Cara terbaik untuk mendirikan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas Zohor adalah secara empat rakaat dengan dua salam. Dengan kata mudah, solat tersebut didirikan secara dua rakaat dengan satu salam, kemudian ditambah lagi dua rakaat dengan satu salam. Cara ini adalah cara terbaik sama ada ia dilakukan sebelum mahupun selepas Zohor. Satu persoalan yang mungkin timbul, apakah boleh jika seseorang ingin mendirikan solat tersebut secara empat rakaat dengan satu salam? Jawapannya adalah, solat tersebut boleh didirikan secara empat rakaat dengan satu salam. Persoalan seterusnya yang mungkin timbul, jika seseorang memilih untuk mendirikan solat tersebut secara empat rakaat dengan satu salam, perlukah dia melakukan tasyahhud awal? Jawapan bagi persoalan ini adalah, seseorang boleh mendirikan solat sunat empat rakaat dengan satu salam, sama ada dengan melakukan tasyahhud awal mahupun tanpa melakukan tasyahhud awal. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam buku Fatawa al-Imam al-Nawawi, (maksudnya): “Jika seseorang melakukan solat sunat empat rakaat sebelum atau selepas Zohor..., dibolehkan baginya untuk melakukan solat dengan satu salam sahaja sama ada dengan satu tasyahhud sahaja (iaitu tasyahhud akhir) atau dua tasyahhud (iaitu tasyahhud awal dan tasyahhud akhir), namun yang terbaik adalah melakukannya secara empat rakaat dengan dua salam (dua rakaat + dua rakaat).” Perkara terbaik adalah kita perbanyakkan solat sunat tanpa mengira sama ada ia termasuk kategori sunat muakkad atau tidak. Bagaimanapun, elok juga untuk diketahui bahawa menurut mazhab Syafi’i, solat sunat yang dituntut (sunat muakkad) untuk sebelum dan selepas Zohor, hanyalah dua rakaat sahaja. Hal ini kerana, solat sunat dua rakaat sebelum dan selepas Zohor tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Perkara ini jelas disebutkan oleh Sheikh al-Habib Hasan al-Kaf di dalam buku al-Taqrirat al-Sadidah; (Maksudnya):“Solat sunat rawatib yang dituntut (sunat muakkad) adalah solat sunat yang sentiasa Nabi dirikan dan baginda tidak pernah meninggalkannya sama ada ketika baginda tidak bermusafir mahupun ketika beginda bermusafir. Terdapat 10 rakaat solat sunat rawatib yang dituntut (sunat muakkad): Dua rakaat sebelum subuh dan ini adalah yang paling baik, dua rakaat sebelum Zohor, dua rakaat selepas Zohor, dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat selepas Isyak”. Namun begitu, perkara yang terbaik adalah kita perbanyakkan solat sunat semampu mungkin tanpa mengira sama ada ia termasuk dalam kategori sunat muakkad ataupun tidak. Lebih-lebih lagi, perkara sunat tersebut dijanjikan dengan ganjaran yang besar seperti solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas Zohor sebagaimana yang telah kita ketahui. Moga amalan kita dapat menyelamatkan kita dari seksaan neraka. ***Mohd Farouq Nukman adalah pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI