KETIKA ini kita sudah pun masuk dalam bulan Syaaban sebelum menyambut kedatangan Ramadan. Ada juga di antara kita yang mengambil kesempatan untuk berpuasa dalam bulan ini, namun apakah hukumnya?ARTIKEL BERKAITAN: Amalan sebelum dan selepas Zohor mampu jauhi api neraka... ketahui cara mudah solat sunat ini Berpuasa pada bulan Syaaban termasuk dalam perkara sunat. Begitu juga disunatkan untuk memperbanyakkan berpuasa di dalamnya. Selain itu terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW banyak berpuasa pada bulan ini. Bahkan ada juga yang menceritakan bahawa Baginda SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.A. beliau berkata: Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Syaaban.” Tidak lama lagi, umat Islam akan menjalani ibadah puasa. Begitu juga riwayat daripada Ummu Salamah R.A., beliau berkata: Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa selama dua bulan berturut-turut melainkan Baginda akan menyambung puasa Syaaban dengan Ramadan.” Sebahagian ulama menyebutkan, berpuasa pada bulan Syaaban seperti mana sunat rawatib yang dinisbahkan kepada solat-solat fardhu. Hal ini kerana ia seolah-olah mukadimah bagi bulan Ramadan yakni seolah-olah sunat rawatib bagi bulan Ramadan. Oleh yang demikian, disunatkan untuk berpuasa pada bulan Syaaban dan disunatkan juga untuk berpuasa enam hari dalam bulan Syawal seperti mana solat sunat rawatib sebelum solat fardhu dan selepasnya. Selain itu, puasa sunat pada bulan Syaaban juga mengandungi faedah dan manfaatnya. Di antaranya adalah untuk mempersiapkan diri dan membuat persediaan agar dirinya bersedia bagi menunaikan puasa di bulan Ramadan. Dalam erti kata lain, dirinya akan lebih mudah untuk menunaikan puasa sebulan di bulan Ramadan — kerana telah bersedia lebih awal lagi di bulan sebelumnya. Berpuasa sunat dapat melatih diri kita untuk bersiap sedia menjelang Ramadan. Selain itu terdapat riwayat daripada Usamah bin Zaid, beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan daripada bulan-bulan yang lain, seperti mana engkau berpuasa dalam bulan Syaaban? Baginda menjawab: ‘Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai, ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Maka aku suka amalanku diangkat, ketika itu aku sedang berpuasa.’” Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan Syaaban kerana nas yang sahih menunjukkan bahawa Baginda SAW sendiri memperbanyakkan puasa dalam bulan Syaaban ini. Tambahan lagi, di antara hikmah berpuasa pada bulan Syaaban juga adalah untuk mempersiapkan diri dari segi tubuh badan dan mental, agar lebih bersedia dan mudah untuk menunaikan puasa sebulan dalam bulan Ramadhan yang akan datang. Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang kini banyak menulis di laman web miliknya, Maktabahalbakri. ***Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang kini banyak menulis di laman web miliknya, Maktabahalbakri. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI