KUCING merupakan haiwan yang paling popular dipelihara oleh manusia. Ini kerana sifatnya yang comel dan mencuit hati amat menyenangkan pemeliharanya. Menurut kajian yang telah dilakukan, 40 peratus daripada penduduk di Malaysia memelihara kucing di rumah. ARTIKEL BERKAITAN: Perut terburai, mulut dan hidung berdarah... 20 kucing mati disyaki diracun Pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat Nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr al-Dhawsi yang sangat sukakan kucing sehingga mendapat gelaran Abu Hurairah yang bermaksud “Bapa Kucing”. Terdapat satu riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ yang bermaksud: Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah? Lalu Beliau menjawab: Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah. Baru-baru ini terdapat satu gambar tular yang menunjukkan 20 ekor kucing mati disyaki perbuatan khianat oleh individu yang tidak bertanggungjawab di sebuah pantai dekat Terengganu. Pihak berkuasa meneliti bangkai kucing yang dipercayai diracun sehingga mati. Tindakan tersebut sangatlah zalim dan merupakan perbuatan yang tidak wajar dilakukan oleh seoramg manusia. Haiwan dikategorikan sebagai makhluk ciptaan Allah yang lemah dan perlu dilindungi oleh kita yang berakal. Semua haiwan perlu dikasihani melainkan yang membahayakan nyawa maka dibolehkan untuk membunuhnya. Secara amnya, memudaratkan atau menganiaya semua jenis haiwan sama ada haiwan yang dipelihara, haiwan yang terbiar mahupun haiwan yang haram bagi umat Islam memakannya asalkan adalah haram diseksa atau dicederakan melainkan sekiranya ia boleh mendatangkan ancaman kepada kita. Islam menuntut umatnya berbuat ihsan kepada semua makhluk termasuklah binatang. Sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu”. [HR Muslim 1955] Di dalam hadis ini, berbuat ihsan kepada haiwan dengan tidak menganiaya atau menyakiti haiwan tersebut adalah wajib hukumnya. Tiada hati perut... Haiwan tidak bersalah ini menjadi mangsa kerakusan sikap manusia. Oleh itu berbuat ihsan kepada haiwan akan menjadi asbab seseorang itu masuk ke syurga atau neraka. Ini juga berdasarkan hadis Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum. Maka telah diampunkan dosanya”. [HR Muslim 2245] Begitu juga sebaliknya jika kita menzalimi atau menyakiti haiwan maka kita akan dihisab oleh Allah. Ini juga berdasarkan hadis Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya. Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah”. [HR Bukhari 2365] Tidak ada masalah untuk seseorang itu menghalau kucing jika kucing itu tidak menyenangkannya namun dengan syarat tidak memudaratkan haiwan tersebut seperti menendang apatah lagi dengan perbuatan yang menyebabkan kematian. Adalah lebih baik jika melaporkan haiwan tersebut kepada pihak berkuasa tempatan untuk diambil tindakan. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang dilaknat oleh Allah kerana menganiaya dan menyakiti binatang. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI