suria

Ramai kongsi Adibah Noor suka ‘hulur’ senyap-senyap... Kita yang hidup perlu ambil iktibar, ini 7 kelebihan amalan bersedekah

Ramai yang berkongsi tentang kebaikan Allahyarham Adibah Noor yang banyak bersedekah sepanjang hayatnya.

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Peribahasa itu cukup sesuai bagi menggambarkan kemuliaan hati Allahyarham Adibah Noor yang sangat pemurah ketika hayatnya.

Sejak berita pemergian mengejut Allahyarham akibat kanser ovari tahap empat pada Sabtu malam, ramai peminat mula membongkar tentang sifat pemurahnya yang sering membantu orang ramai secara senyap.

Justeru apakah pengajaran yang dapat kita pelajari daripada kisah dikongsikan orang ramai tentang amalan sedekah Adibah?

Sebenarnya harta dan setiap rezeki yang kita nikmati adalah pemberian daripada Allah SWT. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk bekerja dan meneruskan kehidupan kerana Allah, pasti Allah akan melipat gandakan ganjaran pada hamba-Nya yang sentiasa beristiqamah.

1628410

Antara pendedahan mengenai kebaikan Adibah oleh pengguna Twitter.

Adakalanya seseorang itu terkenal dengan sikap pemurah dengan memberi makan kepada orang lain dan dia gembira dengan cara tersebut untuk menyantuni orang di sekelilingnya.

Ada juga yang suka membantu daripada segi kewangan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan.

Konsep bersedekah kepada orang lain ini adalah salah satu ladang pahala jika dilakukan dengan ikhlas. Bahkan, amalan ini akan menjadi bekalan di akhirat apabila kita sudah meninggal dunia sebagaimana firman Allah:

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." [HR Muslim 1631]

ARTIKEL BERKAITAN: Adibah Noor sangat pemurah, DM Twitter netizen minta nombor akaun... Bapa ini kongsi dibantu arwah beli susu, lampin anak masa PKP

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu tunggu kaya, belanja makan antara cara mudah kongsi rezeki... Sekali-sekala beli ‘extra’ untuk kawan

Islam amat menggalakkan supaya umatnya bersedekah mengikut kemampuannya tidak kira kaya ataupun miskin.

Sedekah merupakan pemberian seseorang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kita perlu memahami konsep sedekah itu dengan luas. Bukan hanya pada wang ringgit semata-mata.

Abu Dzar berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

1628411

Adibah turut menghantar mesej peribadi kepada Jefri El'Mansor untuk menggantikan duit raya anaknya.

“Senyummu kepada saudaramu adalah sedekah bagimu, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah, kamu memberi petunjuk kepada seseorang yang sesat di jalan adalah sedekah, kamu melihat kepada seseorang yang tidak dapat melihat dan menolongnya adalah sedekah, kamu menghilangkan batu, duri dan tulang di jalan ialah sedekah bagimu dan kamu memasukkan air ke dalam timbamu ke timba saudaramu ialah sedekah bagimu.” [HR al-Tirmizi 1356]

Percayalah, dengan kita berkongsi rezeki dengan orang lain, bukan sahaja dapat membahagiakan mereka, tetapi kita juga turut merasa kebahagiaan itu. Itu tandanya kita mengasihi saudara kita lebih daripada diri kita sendiri.

Orang yang sentiasa melakukan amalan ini secara berterusan akan lebih nampak perubahan demi perubahan yang berlaku dalam hidupnya. Terdapat beberapa kelebihan bersedekah yang amat besar kesannya pada diri dan kehidupan seseorang:

1597772

1. Bukti keimanan kepada Allah

Bukti keimanan kita terhadap Allah dan hari kiamat. Pada saat itu nanti kita akan mendapat balasan pahala daripada Allah untuk setiap kebaikan yang kita lakukan.

2. Memperoleh pahala berlipat ganda

Janji Allah di dalam al-Quran bahawa sesiapa yang bersedekah, akan digandakan pahalanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” [Surah al-Baqarah: ayat 261]

1597773

3. Harta tidak akan berkurang

Harta yang kita keluarkan untuk bersedekah tidak akan berkurang, malah semakin bertambah. Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang” [HR Muslim 2588]

4. Menghapuskan dosa

Salah satu cara mudah yang disediakan Allah agar dapat menghapus perbuatan-perbuatan dosa kita. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” [Sunan Ibn Majah 4209]

5. Masuk syurga melalui pintu sedekah

Dalam sebuah hadis baginda Rasulullah bersabda:

“Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.” [HR al-Bukhari 1897]

553 (1)

6. Ubat kepada penyakit

Salah satu kebaikan bersedekah adalah boleh membantu kepada proses penyembuhan penyakit dengan izin Allah SWT.

7. Jauh daripada azab api neraka

Amalan-amalan yang ringan juga adalah sedekah dan menjauhkan diri seseorang dari api neraka sebagaimana hadis berikut:

“Peliharalah diri kamu dari api Neraka walaupun dengan separuh biji kurma, dan sesiapa yang tidak mampu, maka (berbuat demikian) dengan perkataan yang baik lagi baik.” [HR al-Bukhari 6563]

Oleh itu, teruslah melakukan kebaikan selagi mana nafas dan nikmat masih diberikan oleh Allah untuk kita hidup di dunia ini.

Pedulikan apa sahaja kata orang tentang perkara baik yang kita lakukan untuk orang lain kerana sesungguhnya Allah itu pemilik hati dan Allah Maha Mengetahui setiap niat baik yang dilakukan oleh hamba-Nya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain