suria

10 amalan boleh dilakukan sepanjang 10 hari terawal Zulhijah, besar pahalanya!

Terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan sepanjang 10 hari pertama Zulhijjah.

KITA sudah pun memasuki bulan Zulhijah.

Bulan ini merupakan salah satu bulan haram yang bermaksud tidak dibenarkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci.

Justeru, pendakwah bebas, Asma Harun berkongsi beberapa amalan yang boleh dilakukan sepanjang 10 hari terawal bulan Zulhijah.

"Betapa besarnya nilai amalan pada waktu ini di sisi Allah SWT, maka jangan lepaskan peluang untuk merebut keistimewaan pada bulan Zulhijah ini supaya mendapat reda-Nya dan kebaikan.

"Andai tidak berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji di bulan ini, masih terdapat pelbagai amalan yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya," ujarnya.

Daripada Abi Bakrah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, yang bermaksud: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)

Ibadah korban sering dilakukan individu berkemampuan.

Ibadah korban sering dilakukan individu berkemampuan.

Jika bulan Ramadan dikenali dengan keistimewaan 10 malam terakhir, bulan Zulhijah pula mempunyai keistimewaan pada 10 hari terawal seperti mana firman Allah SWT: “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijjah).” (Surah al-Fajr: 1-2)

Bahkan ia turut disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW bahawa jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandingi amalan yang dilakukan pada bulan suci ini.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)

1. Anjuran untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku ke atas orang yang melakukan ibadah korban

Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (HR Muslim, hadis sahih)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.” (HR Muslim, hadis sahih)

Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ia juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’e.

2. Berpuasa pada Hari Arafah

Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR Muslim, hadis sahih)

Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.

Manakala bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.” (HR Muslim, hadis sahih)

ARTIKEL BERKAITAN: Besar ganjaran menanti 10 malam pertama Zulhijjah... rugilah sesiapa tak rebut peluang in

Memperbanyakkan doa

3. Perbanyakkan berdoa dan saling mendoakan antara satu sama lain

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?” (HR Muslim, hadis sahih)

Saling mendoakan antara satu sama lain.

4. Menghidupkan suasana hari raya dengan takbir

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.” (HR al-Thabarani)

Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.

‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:

i. Takbir Mursal atau Mutlaq

• Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat Hari Raya.

ii. Takbir Muqayyad

• Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).

5. Perbanyakkan berzikir

Hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (HR Ahmad, hadis sahih)

6. Perbanyakkan sedekah dan hubungan silaturahim

Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” (HR al-Thabarani, hadis hasan)

tadabbur

7. Mentadabbur ayat Al-Quran

Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah al-Nisa’: 82)

8. Mendirikan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan tidak menjamah makanan sebelumnya

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia berkata: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)

Sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk tidak mengambil sarapan terlebih dahulu.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada Aidilfitri sehingga beliau makan terlebih dahulu, dan beliau tidak makan terlebih dahulu pada Aidiladha sehingga beliau solat terlebih dahulu.” (HR al-Tirmizi, hadis sahih)

9. Melakukan ibadah korban bagi yang mampu

Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)

10. Makan daging korban dan bagikan kepada asnaf, fakir miskin

Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin.

Firman Allah SWT: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Surah al-Hajj: 28)

Menurut Imam Ibnu hajar: “Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.” (Fath al-Bari, sanad hasan)

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan.

Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain