suria

Lelaki kena jaga maruah wanita, ‘prank’ tarik tudung bercanggah syariat Islam

Tangkap layar daripada video 'prank' tarik tudung yang menerima kecaman hebat di media sosial.

TUDUNG merupakan sehelai kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan rambut, kepala serta leher dan bahagian bahu sehingga melepasi dada.

Pemakaian tudung mula diwajibkan dalam Islam dengan turunnya ayat 31 dari surah An-Nur dengan memerintahkan wanita yang sudah didatangi haid agar menutup kepala dengan tudung.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka.” [Surah An-Nur ayat 31]

Justeru, pemakaian tudung merupakan satu identiti diri bagi seorang wanita yang beragama Islam.

Namun, masih ada dalam kalangan kita yang tidak menghormati wanita dengan membuat trend menarik tudung di tempat awam sebagai bahan untuk saluran media sosialnya.

Rakaman video ini menjadi bualan masyarakat kebanyakannya melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap tindakan tersebut. Video yang dipaparkan jelas menjatuhkan martabat wanita Islam.

Persoalannya, di manakah adab seorang Muslim terhadap wanita? Adakah maruah wanita yang bertudung boleh dipermainkan dengan cara tersebut?

Islam mengajar umatnya agar beradab dengan orang di sekeliling dan bergaul sesuai dengan syariat agama. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ Ayat 34:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita)...”

tarik tudung 4

Video asal yang dimuat naik di YouTube.

Seorang lelaki Islam bertanggungjawab dan menjaga maruah tidak kira maruah diri, wanita, keluarga, masyarakat dan agama.

Dalam hal ini, perkara yang melibatkan wanita perlu diambil berat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja jika terdapat pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama dan maruah wanita.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sampahnya perangai”- Wanita terpinga, tengah cakap phone ada lelaki tarik tudung demi content... kalau muka tercucuk jarum siapa nak jawab?

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terlalu ikut nafsu hingga abai soal wali nikah, ada pasangan dah kahwin 34 tahun tapi tak sah!

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian daripada video yang tular baru-baru ini, antaranya ialah:

1. Akhlak

Secara realitinya, setiap orang perlu ada akhlak dan nilai murni yang baik dalam diri. Contohnya saling menghormati antara satu sama lain.

Justeru, jauhkan diri daripada membuat perkara sia-sia dan perkara yang tidak memberi manfaat kepada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Sesungguhnya antara kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.'' [HR Tirmidzi 2318]

Banyak perkara yang lebih baik lagi untuk kita tunjukkan kepada orang lain khususnya pengguna tegar di media sosial.

tarik tudung 3

Tindakan seorang ‘content creator’ yang dianggap biadab dan tidak bertanggungjawab.

2. Maruah diri

Seorang wanita mempunyai maruah yang sama seperti seorang lelaki. Dalam hal ini, wanita yang menjadi mangsa itu mestilah mempertahankan maruahnya.

Perlakuan seperti itu boleh mendedahkan aurat lebih-lebih lagi apabila video tersebut tular di media sosial.

Sebagai seorang yang beragama Islam, janganlah kita melakukan perkara yang menjatuhkan maruah seseorang kerana memelihara diri daripada terjebak daripada perkara-perkara diharamkan adalah antara tuntutan agama. Sebagaimana sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu” [HR Muslim 1337]

3. Batas pergaulan

Lelaki dan perempuan hendaklah menjaga batas pergaulan walaupun di mana sahaja mereka berada. Di sana terdapat larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan seperti mana dinyatakan dalam hadis Rasulullah:

Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram). [HR Al-Tabarani 211]

Hadis di atas jelas menunjukkan tegahan dalam bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Walaupun larangan tersebut adalah ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya.

Demikianlah cara agama Islam memuliakan kaum wanita dan hendaklah kita menjaga serta menghormati wanita dengan sebaiknya.

tarik tudung 2

Video kedua penjelasan mengenai tarik tudung.

Antara sifat orang yang beriman dan bertakwa ialah mereka menjauhkan diri daripada melakukan perkara tidak bermanfaat sehingga terjebak ke arah perkara haram.

Lebih baik tinggalkan perkara tersebut daripada menjatuhkan serta merosakkan maruah diri dan agama.

Buat semua warga media sosial, carilah sesuatu yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada yang lain.

Berhentilah daripada membuat perkara buruk kerana setiap apa yang kita lakukan pada hari ini, memberi kesan terhadap akhlak kita pada masa akan datang.

Rasulullah menyatakan dalam hadis yang bermaksud,

“Barangsiapa yang mencontohkan sunnah yang baik lalu dikerjakan maka nescaya baginya pahalanya dan seperti pahala yang mengerjakannya tidak mengurangi dari pahala-pahala mereka sedikitpun dan barangsiapa yang memulai memberi contoh keburukan maka nescaya baginya dosanya dan mendapatkan dosa yang mengerjakannya setelahnya tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikitpun. [HR Ibnu Majah 207]

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain