suria

Ketahui bentuk penghinaan, persenda agama dalam masyarakat! Pelaku segeralah bertaubat, kembali kepada Islam

Tangkap layar video seorang wanita menanggalkan pakaian di khalayak ramai.

ISLAM adalah agama yang tunduk, taat dan patuh kepada perintah Allah sebagaimana yang disampaikan oleh baginda Rasulullah.

Terlalu banyak perkara yang diajarkan dalam Islam termasuklah pembentukan akhlak yang baik. Akhlak merujuk kepada tingkah laku, maruah, adat kebiasaan. Rasulullah juga diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dan merupakan contoh terbaik umat. Sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia." [Surah Al-Qalam ayat 4]

Kesalahfahaman terhadap agama Islam boleh berlaku sekiranya seseorang itu tiada kefahaman yang jelas dan boleh menimbulkan kekeliruan terhadap perkara utama dalam Islam seperti ketuhanan, iman, ilmu dan asas akhlak.

Baru-baru ini tular berkenaan kisah seorang wanita menyatakan bahawa dia telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan dalam masa sama melakukan perkara yang amat memalukan di khalayak ramai.

islam tapi hina agama 5

Wanita berkenaan muncul di TikTok susulan video yang tular.

Secara logiknya, jika seseorang itu mendalami agama seperti menghafal Al-Quran, kemungkinan untuk dia melakukan perbuatan tidak baik itu tipis. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Islam mengangkat tinggi martabat wanita sehingga disebut di dalam al-Quran. Islam juga memuliakan diri seseorang dengan berpakaian sopan serta menutup aurat dengan cara yang telah diajarkan. Justeru, maruah diri dan aurat perlulah dipelihara dengan sebaiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita bangga hafal Quran 15 juzuk, kemudian buka baju separuh bogel! Firdaus Wong kata 'dia hina diri sendiri'

Dalam hal ini, perbuatan wanita tersebut dianggap menghina dirinya yang telah menghafal al-Quran dan mempersendakan agama. Walhal, orang yang menghafal Al-Quran dimuliakan sebagaimana sabda Rasulullah:

"Sebaik-baik kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya". [HR Bukhari 5027]

Sesuatu perbuatan atau tingkah laku kadang-kala bukan sahaja melibatkan hukum-hakam bahkan melibatkan akidah seseorang. Perbuatan mempersendakan agama merupakan antara dosa-dosa besar dan bagi mereka azab yang amat perit. Firman Allah:

“Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)." [Surah Al-An'am, ayat 70]

islam tapi hina agama 2

Seorang lelaki didakwa melakukan penghinaan terhadap Islam, di lokasi sama.

Pandangan ulama berkaitan kesalahan menghina agama boleh berlaku melalui banyak cara. Antara tiga bentuk penghinaan yang boleh terjadi ialah:

1. Perbuatan atau perkataan yang mencerca Allah SWT

Perbuatan tersebut seperti menyamakan Allah dengan tuhan agama lain, mengatakan Allah itu lemah dan sebagainya.

2. Menghina Rasulullah

Menghina dari segi sunnah dikira sebagai perbuatan menghina Rasulullah dan perbuatan ini boleh membawa kepada kekufuran.

Contohnya seperti melukis karikatur Rasulullah, menyatakan Rasulullah seorang pedofilia dan lain-lain bentuk penghinaan.

3. Menghina al-Quran dan al-Sunnah

Al-Quran adalah kalam Allah yang sangat indah tiada tandingannya dengan kitab yang lain. Menghina al-Quran dan al-Sunnah dikira satu dosa kerana keduanya merupakan panduan asas bagi umat Islam sejagat. Contoh perbuatan adalah memijak al-Quran, menyatakan al-Quran itu hanyalah buku cerita dan menggunakan lembaran al-Quran sebagai tisu tandas.

islam tapi hina agama 3

Wanita berkenaan (tengah) didakwa di mahkamah.

Banyak lagi perbuatan yang dilakukan menghina kesucian agama Islam. Sepatutnya, jika seseorang itu benar-benar menghormati agama, dia tidak akan melakukan perbuatan yang mempersendakan dan menjatuhkan maruah dirinya sendiri.

Seeloknya, umat Islam membantu dalam mengembangkan ajaran Islam agar syiar Islam terus tertegak dengan baik.

Oleh itu, dinasihatkan supaya pelaku tersebut segera bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Allah SWT berfirman:

Maksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah al-Zumar, ayat 53]

Sebagai umat Islam, jagalah perlakuan serta percakapan kita. Jangan sampai mencetuskan pergaduhan dan kemarahan orang lain dalam agama. Agama Islam bukanlah suatu agama yang boleh dipermainkan begitu sahaja. Ingatlah bahawa setiap perbuatan kita akan dibalas di akhirat kelak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain