suria

Korban didik hati agar tak rasa beban! Ada 4 perkara ibu bapa boleh kongsi dengan anak tentang raya haji

Membawa anak-anak ke tempat sembelihan korban. -gambar hiasan

IBADAH korban dilakukan umat Islam di seluruh dunia apabila tibanya Aidiladha atau hari raya korban pada 10 Zulhijah.

Namun, bagaimana kita mendidik hati agar tidak berasa terbeban dalam melaksanakan ibadah korban?

Pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud berkata: "Ibadah apa pun kita akan rasa terbeban, nak bersedakah rasa macam satu bebanan, nak solat, nak belajar, nak berwaqaf, nak bagi orang makan... semuanya satu bebanan bagi mereka yg tidak mencintai Allah, tidak mencintai Rasul dan tidak mencintai dirinya sendiri."

Mohd Khairul atau MK Azman berkata, setiap hari daripada bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur, pasti banyak peluang untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga."

korban mendidik hati 3

Mendidik hati dalam melaksanakan ibadah.

Sehubungan itu, Mohd Khairul mengesyorkan kepada semua bagi mengelakkan ibadah korban sebagai satu bebanan:

1. Tanamkan dalam hati bahawa, hanya kita sahaja yang menentukan kedudukan diri kita di sisi Allah. Sama ada kita menjadi hamba Allah yang bertakwa atau tidak, lihatlah kepada sejauh mana kita beriman kepada Allah, menuruti segala suruhannya, dan menjauhi laranganNya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahun ini anda laksanakan korban? Ketahui 3 ciri ibadah ini diterima Allah

ARTIKEL BERKAITAN: 10 amalan boleh dilakukan sepanjang 10 hari terawal Zulhijah, besar pahalanya!

Jika nak tempatkan diri kita sebagai hamba yang bertakwa di sisi Allah, kita berusaha sedaya-upaya untuk tunaikan syariat Allah. Nabi SAW telah menjelaskan bahawa ibadah korban adalah ibadah yang paling Allah cintai berbanding ibadah lain pada hari Aidiladha.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban)."

Jika kita benar-benar ingin menjadi hamba Allah yang bertakwa, ayuh kita sambut seruan Allah untuk berkorban.

2. Kita rasa terbeban dengan ibadah korban kerana memerlukan kita mengeluarkan wang ringgit untuk membeli haiwan ternakan sama ada lembu atau kambing. Mengertilah bahawa kita berkorban bukan disebabkan kita kaya, kerana juga si miskin yang istiqamah berkorban saban tahun. Ada seorang makcik miskin menyimpan wang sehari seringgit, setahun 365 hari beliau dapat kumpul RM350. Cukup untukk sertai korban satu bahagian lembu di benua Afrika.

Hari ini, kita ada pilihan untuk melaksanakan korban sama ada di dalam atau luar negara. Jika mampu menunaikan korban dalam negara kerana ia afdal untuk berkorban. Jika kurang kemampuan, tunaikan ibadah korban di luar negara. Susun perancangan untuk buat simpanan atau tabungan korban tahun hadapan.

korban mendidik hati 2

Libatkan anak-anak dalam kerja-kerja agihan daging korban. -gambar hiasan

3. Apabila kita berazam untuk melakukan sesuatu ibadah, insyaAllah... Allah akan memudahkan urusan kita. Umpama azam untuk bayar hutang, Allah akan buka jalanan untuk bayar hutang. Begitulah juga orang berhajat nak tunaikan umrah, bila kita tanam azam untuk buat sesuatu ibadah, Allah kurniakan rezeki yang tanpa disangka-sangka.

Begitulah ibadah korban, apabila kita dah mulakan sekali, tahun hadapan kita akan buat lagi dan lagi. Sehinggalah kita sudah tidak rasa ibadah korban satu bebanan. Perbanyakkan berdoa yang bermaksud:

"Ya tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi engkau kerana sesungguhnya engkaulah maha pemberi kurnia." (al-Imran ayat 8 )

Sementara itu, Mohd Khairul berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyemai kecintaan anak-anak pada ibadah korban.

Menurut beliau, lazimnya anak-anak akan berasa kasihan pada haiwan-haiwan yang disembelih.

Itu fitrah manusia kasih pada mana haiwan. Jadi, bagaimanakah kita nak semai kasih kepada ibadah korban ini, agar wujud generasi yang matang dan berilmu. Kita boleh mula dengan cara:

1. Berkomunikasi dengan anak-anak.

Ceritakan pada mereka sejarah ibadah korban iaitu pengkisahan tentang suruhan Allah kepada Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail.

korban mendidik hati 4

Berkomunikasi dengan anak-anak.

2. Bawa mereka ke tempat sembelihan korban.

Lihat sendiri haiwan itu disembelih. Pasti akan ada soalan-soalan daripa mereka seperti ‘Kenapa perlu sembelih? Tak sakit ke?’.

3. Libatkan mereka dalam kerja-kerja agihan daging korban.

Ajak mereka melihat emosi dan reaksi orang yang menerima daging korban. Lumrah orang yang menerima daging korban atau hadiah, pasti akan gembira.

Biar anak-anak juga merasai emosi memberi. Kerana memberi juga Allah anugerahkan rasa gembira dan seronok. Apabila anak-anak mula gembira, dia pasti ingin lakukan lagi pada masa akan datang.

4. Tekankan pada anak, amalan korban adalah satu ibadah.

Allah sayang pada hambanya yang melakukan ibadah, taat kepada Allah dan membantu fakir miskin. Nabi pernah mengingatkan bahawa yang bermaksud:

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka."

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain