suria

Seronok buat bisnes online? Jangan nak ‘cedok’ untung semata-mata, teladani akhlak Rasulullah

Ramai mengusahakan bisnes secara e-dagang. foto Freepik / Tirachardz

HARI ini kita dapati aktiviti perniagaan secara dalam talian pasca pandemik semakin berkembang rancak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Dengan kewujudan pelbagai platform aktiviti e-perdagangan dan inovasi kemudahan pembayaran tanpa tunai, transaksi perniagaan dapat dijalankan dengan lebih mudah dan pantas.

Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW merupakan seorang tokoh perniagaan yang sangat berjaya dan wajar diteladani. Selain daripada strategi perniagaan yang hebat, akhlak dan peribadi mulia yang dipamerkan oleh Baginda membawa keuntungan berlipat ganda dalam perniagaan.

Nabi Muhammad SAW adalah insan paling sempurna sehingga Allah memuji Baginda kerana keperibadiannya. Pujian Allah ini dirakamkan di dalam al-Quran, “dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam: ayat 4).

Saidatina ‘Aisyah RA meriwayatkan suatu hadis apabila ditanya oleh seorang Badwi tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab, “akhlak Rasulullah adalah al-Quran.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila kita menelusuri sirah atau sejarah hidup Nabi Muhammad SAW seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, akhlak Baginda dalam berniaga sebenarnya dapat diaplikasikan oleh peniaga mutakhir ini sewaktu berniaga secara dalam talian (online), antaranya:

addin berniaga freepik rawpixel com

Menaip kata-kata sopan ketika berurusan bersama pelanggan. foto Freepik / Rawpixel.com

1. Mempamerkan dan meletakkan harga yang berpatutan

Penjual atau peniaga hendaklah mempamerkan harga supaya dapat mengelakkan penipuan dan kekeliruan. Peniaga juga diharuskan untuk mengambil keuntungan daripada jualan barangan atau perkhidmatan mengikut yang dikehendakinya.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “jika berbeza jenis (pada barang ribawi), maka jual belilah bagaimana yang kalian inginkan,” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN: Hukum jual beli 'cedok' di TikTok haram! Umpama berniaga zaman jahiliah

Bersandarkan hadis di atas, Imam Abu Ishak al-Syirazi dalam kitabnya, al-Muhazzab menyatakan bahawa, “barangsiapa yang membeli barang dagangan, diharuskan ke atasnya untuk menjualnya dengan harga modal, dengan harga yang lebih rendah atau yang lebih tinggi.”

Islam tidak meletakkan had maksimum memandangkan keuntungan adalah sesuatu yang bersifat relatif. Namun dalam masa yang sama, harga tersebut mestilah berpatutan sesuai dengan kualiti barangan dan perkhidmatan tersebut, tidak melampau-lampau, tidak menzalimi pelanggan serta diterima pada adat kebiasaan.

Syarat utama yang perlu dipenuhi dalam perniagaan Islam adalah adanya reda-meredai antara penjual dan pembeli, termasuklah dalam soal harga, kualiti, kuantiti dan sebagainya.

Firman Allah SWT, “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar reda-meredai di antara kamu...” (Surah al-Nisa’: ayat 29)

2. Fasih, menggunakan bahasa yang sopan dan berlemah-lembut

Baginda merupakan seorang yang fasih, sentiasa bertutur secara sopan, lemah-lembut dan bermanis muka. Oleh itu, ramai pelanggan tertarik datang membeli sehingga menyebabkan Baginda beroleh banyak keuntungan ketika menguruskan perniagaan Saidatina Khadijah RA.

Di dalam hadis, Saidatina ‘Aisyah RA menyatakan bahawa, “Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasai dan Ahmad)

Peniaga seharusnya mewujudkan interaksi bersama pelanggan dengan menggunakan bahasa yang sopan dan mesra.

Contohnya seperti memulakan interaksi dengan memberi salam antara sesama muslim atau ucapan sejahtera kepada bukan Islam, memilih dan menyusun perkataan yang baik serta menyertakan emoji senyum pada tempat yang bersesuaian.

Selain itu, segala persoalan yang diajukan oleh pelanggan hendaklah dijawab secara berhemah.

Sekalipun kadang-kala berlaku salah faham dan kekeliruan dalam berurusan, masalah tersebut sebenarnya dapat diselesaikan dengan baik sekiranya kedua-dua pihak menuturkan atau menaip kata-kata yang halus dan sopan, bukannya dengan cacian, makian atau carutan.

Batas pergaulan antara jantina berlainan iaitu lelaki dan perempuan juga wajib dipelihara sewaktu berlaku komunikasi antara peniaga dan pelanggan.

addin berniaga freepik katemangostar

Jujur ketika melakukan transaksi. foto Freepik / Katemangostar

3. Jujur, amanah dalam pengiraan, penyampaian dan perkhidmatan produk

Peniaga hendaklah jujur dan amanah sewaktu menjual seperti memberitahu harga tanpa caj terselindung, menjelaskan ciri-ciri barangan secara tepat, menimbang dengan benar, memulangkan baki sekiranya ada, memastikan barangan tersebut sampai ke tangan pelanggan dengan selamat dan menyertakan resit atau slip sebagai bukti transaksi.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, “sempurnakanlah sukatan dan janganlah kamu merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Dan janganlah kamu merugikan manusia dengan mengurangi hak-haknya dan janganlah membuat kerosakan di bumi.” (Surah al-Syu’ara: ayat 181-183)

Sekiranya terdapat kecacatan pada barangan tersebut, peniaga hendaklah memberitahu pelanggan supaya pelanggan boleh membuat pilihan (khiyar).

Nabi Muhammad SAW bersabda, “pembeli dan penjual berhak memilih sebelum mereka berpisah. Apabila kedua-duanya berbicara benar dan berterus-terang dalam berjual beli, maka kedua-duanya akan diberkati tetapi apabila mereka menyembunyikan dan berdusta, maka hilanglah keberkatan jual beli mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi Muhammad SAW juga, “Orang Islam itu saudara bagi orang Islam yang lain, tidak halal bagi seorang yang menjual barangnya melainkan ia menunjukkan cacat-celanya.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Selain itu, peniaga hendaklah jujur dalam menghebahkan kelebihan atau fungsi barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Jauhi diri daripada menguar-uarkan secara berlebih-lebihan atau bersumpah palsu sehingga adakalanya membawa kepada dakwaan yang tidak benar (overclaim).

Contohnya seperti mengatakan, “satu botol produk ini boleh merawat semua jenis penyakit termasuklah sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain,” atau “barang ini saya seorang sahaja yang menjualnya di negara ini.”

Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Ansari, sesungguhnya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “awaslah kamu dari banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan namun setelah itu akan menghilangkan barakahnya.” (Hadis riwayat Muslim)

4. Membantu pelanggan dan memudahkan urusan orang lain

Peniaga seharusnya membantu pelanggan untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang dipesan. Sekiranya pelanggan ingin membuat pemulangan barang akibat daripada kerosakan, pertukaran saiz dan sebagainya, peniaga wajar membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut, bukannya lepas tangan atau tidak mengendahkan permintaan pelanggan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “sesiapa yang melapangkan seorang mukmin daripada kesusahan dunia, maka Allah SWT akan melapangkannya daripada kesusahan di Hari Kiamat..." (Hadis riwayat Muslim)

Selain daripada urusan bersama pelanggan, aktiviti perniagaan secara dalam talian hari ini melibatkan juga urusan bersama pihak ketiga iaitu pembekal (supplier), syarikat pengeposan (courier), syarikat pembayaran tanpa tunai (e-wallet) dan platform e-perdagangan seperti Shopee, Lazada dan lain-lain.

Oleh itu, peniaga amat digalakkan supaya berurusan secara profesional bersama syarikat-syarikat ini seperti memahami, memenuhi, menepati persetujuan, kontrak dan polisi yang ditetapkan. Elakkan daripada menyulitkan dan melewat-lewatkan urusan tanpa sebab.

addin sedekah

Amalan bersedekah.

5. Mengutamakan kualiti tenaga kerja

Apabila Saidatina Khadijah RA mendengar khabar perihal peribadi Nabi Muhammad SAW, beliau terus mempelawa baginda bersama budak lelaki suruhannya bernama Maisarah untuk menguruskan perniagaan di Syam.

Selepas kepulangannya dari Syam, baginda menyerahkan kepada Khadijah dengan penuh amanah keuntungan yang banyak itu. Maisarah juga melihat sendiri peribadi baginda yang mulia lantas menceritakannya kepada Saidatina Khadijah RA.

Hal ini juga boleh diteladani berdasarkan kisah di dalam al-Quran iaitu apabila Nabi Musa AS yang telah diambil bekerja oleh seorang lelaki berusia sebelum baginda dikahwinkan dengan anak perempuan lelaki tersebut.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, “salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas: ayat 26).

Oleh itu, peniaga disarankan untuk mengambil pekerja yang amanah, boleh dipercayai, berdedikasi dan bersungguh-sungguh. Sebagai majikan pula, peniaga hendaklah sentiasa menjaga kebajikan dan kewangan pekerja dengan menyegerakan pemberian gaji atau upah, berusaha mewujudkan suasana kerja yang harmoni serta tidak menindas mereka.

6. Banyakkan bersedekah

Keuntungan yang diperoleh hasil daripada perniagaan, setelah digunakan untuk memenuhi keperluan hidup kita, ada baiknya jika disalurkan kepada pihak yang memerlukan seperti golongan fakir miskin, mangsa banjir, pembinaan pusat pendidikan dan lain-lain.

Sesungguhnya sedekah tidak akan mengurangi bahkan akan menyuburkan harta kita seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.” (Surah al-Baqarah: ayat 276)

Nabi SAW pernah berpesan kepada peniaga supaya memperbanyak amalan sedekah, “wahai para peniaga, sesungguhnya syaitan dan dosa hadir dalam jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Selain itu, pemberian hadiah percuma (free gift) dengan setiap pembelian secara dalam talian juga boleh dilakukan sebagai cara untuk bersedekah kepada pelanggan.

addin berniaga freepik lifestylememory

Memberi kepuasan kepada pelanggan. foto Freepik / Lifestylememory

7. Tidak melakukan perkara yang dilarang dalam Islam (riba, judi, gharar, kezaliman, menjual barang yang diharamkan)

Allah SWT menegaskan pengharaman riba secara jelas di dalam al-Quran, “dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,” (Surah al-Baqarah: ayat 275)

Begitu juga dengan arak dan judi, Allah SWT menyatakan bahawa perkara tersebut adalah perkara keji dan wajib dihindari, firman-Nya, “wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: ayat 90)

Nabi Muhammad SAW melarang jual beli gharar iaitu mengandungi kesamaran atau kekaburan. Dalam suatu hadis, “Nabi SAW melarang bai’ hasat (lontar batu) dan bai’ gharar.” (Hadis riwayat Muslim)

Contohnya berjual beli barangan yang tidak dimiliki seperti menjual burung di udara atau ikan di laut, menjual barangan yang tidak diketahui kuantiti, harga, jenis dan sifatnya. Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan penipuan, permusuhan dan memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Peniaga muslim juga dilarang daripada menjual barang yang diharamkan seperti anjing, khinzir, minuman memabukkan, simbol-simbol agama lain, barangan seks, dadah dan sebagainya sama ada kepada umat Islam mahupun bukan Islam.

Penganut Islam juga dilarang daripada memaparkan model yang tidak menutup aurat dengan sempurna, menzalimi pelanggan melalui aktiviti monopoli, sorok barang dan sebagainya.

8. Dapatkan maklum balas (feedback) dan perbaiki kekurangan untuk menambahkan kepuasan pelanggan

Antara strategi perniagaan Nabi Muhammad SAW adalah Baginda tidak mementingkan keuntungan semata-mata namun memikirkan keuntungan dan kepuasan pelanggan. Sebagai peniaga, kekurangan atau kekuatan perniagaan dapat diketahui antaranya melalui maklum balas daripada pelanggan.

Ambil kira pandangan dan teguran pelangan secara terbuka dan berhemah supaya kelemahan dapat diperbaiki, kualiti perniagaan dari segi produk dan perkhidmatan pula dapat ditingkatkan.

***Aliah Harizahani Abdul Halim adalah penolong pensyarah, Jabatan Bahasa Arab, Pusat Bahasa dan Pengajian Asasi, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar Perak.

Artikel Lain