suria

Bukan sekadar ‘festival hantu’, ketahui kenapa umat Islam haram sambut Halloween

Sambutan Halloween di Riyadh, Arab Saudi.

MISTIK dan perkara yang menyeramkan sering menjadi bualan masyarakat, maka tidak hairanlah apabila perayaan Halloween menjadi popular kerana mempunyai unsur yang sama.

Tidak kurang juga pusat beli-belah yang turut sama meraikannya dengan menghias tema Halloween sekali gus menarik minat sesiapa sahaja untuk turut menyambutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor India nasihat umat Islam hati-hati berimej Bollywood, takut jatuh haram... Mufti tegur hukum pakai pottu di dahi

ARTIKEL BERKAITAN: Teruja pakai kostum hantu? Ini fakta yang perlu anda tahu tentang Halloween

Malah pada masa ini, ia semakin dinormalisasikan kerana dianggap unik berikutan pemakaian kostum-kostum menyeramkan seperti zombie, ahli sihir, drakula, vampire atau apa sahaja yang berkaitan, sehinggakan negara Islam Arab Saudi turut meraikannya.

Ekoran itu, umat Islam dilihat mula terpedaya kerana menyangkakan ia sekadar festival hantu dan turut sama menyambutnya dengan mengenakan tema pakaian yang menyeramkan tanpa mengetahui ia merupakan perayaan keagamaan bagi penganut Kristian.

Bimbang ia terus memesongkan akidah generasi muda beragama Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman Facebook rasminya sekali lagi memberi penerangan tentang hukum menyambut perayaan Halloween.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan, hukum perayaan Halloween adalah haram di sisi Islam kerana berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa ia merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Arab Saudi turut meraikan Halloween.

Arab Saudi turut meraikan Halloween.

Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: "Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”. Riwayat Abu Daud (4031)

Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.

Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]

Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i'tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]

Jelas di sini bahawa perayaan Halloween merupakan tasyabbuh kepada golongan kafir dari segi i’tiqad, perbuatan dan juga pemakaian yang mana sedia maklum selalunya bagi mereka yang menyambut perayaan ini akan mengenakan kostum-kostum tertentu bersesuaian dengan hari Halloween.

Malah badan fatwa dan ulama juga berpandangan bahawa sambutan teersebut haram bagi umat Islam kerana bertentangan dengan nilai-nilai syariah selain disifatkan sebagai penyembahan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain