suria

Benarkah rezeki setiap individu sudah ditetapkan sejak sebelum lahir? Ini penjelasan agamawan

Ramai yang mengeluh tentang rezeki sehingga ada mengaitkannya dengan pantang larang orang dahulu.

MASYARAKAT Melayu dahulu kala bukan sahaja kaya dengan peribahasa, malah mempunyai pelbagai pantang larang atau petua yang masih menjadi ikutan generasi sehingga ke hari ini.

Disebabkan perkara tersebut sering diamalkan, ramai yang mengaitkannya dengan hukum agama seperti menyapu rumah pada waktu malam mengundang kemiskinan seseorang individu.

Melihatkan masih ramai yang mengamalkan kepercayaan karut seumpama itu, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tampil menjelaskannya.

Ia juga susulan pertanyaan salah seorang penduduk yang hadir pada majlis ceramahnya baru-baru ini: "Betulkah sapu sampah pada waktu malam, rezeki tak dapat?"

ARTIKEL BERKAITAN: Usah sibuk buang masa baca komen, Ustazah Asma’ Harun seru netizen hargai waktu... “Lama-lama jadi ketagih dan tabiat”

Ujar beliau yang popular dengan panggilan UAI, orang dahulu melarang menyapu pada waktu malam kerana keadaan pada masa itu gelap tanpa sebarang unsur pencahayaan.

"Yang dilarang menyapu malam itu kerana gelap. Apabila gelap, sapu tidak habis... jadi tidak selesai.

"Zaman sekarang ini, bila lampu sudah cerah dan terang benderang maka tidak ada larangan.

"Seperti menghantar mayat ke kubur pada waktu malam, kalau dahulunya dilarang kerana semasa pikul dibimbangi tersepak batu sehingga boleh memudaratkan," ujarnya.

Sapu sampah dilarang pada waktu malam kerana masyarakat dahulu bimbang ia tidak dapat dilakukan dengan bersih disebabkan kesuraman malam.

Sapu sampah dilarang pada waktu malam kerana masyarakat dahulu bimbang ia tidak dapat dilakukan dengan bersih disebabkan kesuraman malam.

Menurutnya, apabila zaman sudah berubah dan mempunyai sumber pencahayaan maka tidak ada makruh.

Berkenaan rezeki pula, jelasnya, ia sudah tertulis sejak seseorang itu berusia empat bulan di dalam kandungan ibunya.

Memetik perincian penjelasan tentang rezeki daripada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan, setiap kejadian manusia telah ditentukan amalannya, kadar rezeki mahupun ajal.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” [Riwayat Muslim (2643)]

Di akhir hadis tersebut ada diceritakan berkaitan qadar atau ketentuan manusia itu telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak di alam rahim lagi.

Akan tetapi, masalah qadar ini perlu difahami dengan sebaiknya supaya tidak terjadi seperti golongan al-Jabariyyah dan juga golongan al-Qadariyyah yang mana mereka memahami konsep qadar dengan pemahaman yang salah sehinggakan dua golongan ini dihukum terkeluar daripada ahli sunnah wa al-Jama’ah.

Secara zahirnya, seluruh kehidupan manusia ini telah ditentukan oleh Allah SWT seakan-akan tidak ada ruang untuk manusia membuat pilihan.

Mereka hanya menerima dan menjalankan sahaja secara bulat-bulat takdir yang telah ditetapkan, akan tetapi, Allah SWT bersifat maha adil iaitu dengan memberi pilihan kepada hamba-Nya untuk memilih jalan yang diingininya sama ada ke syurga atau ke neraka tetapi dalam masa yang sama Allah SWT mengetahui pilihan yang akan dibuat oleh manusia itu berdasarkan kepada sifat Maha Mengetahui Allah SWT. Hal ini dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Serta (Allah SWT) mengilhamkannya iaitu manusia (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.” [Surah al-Syams, ayat 8].

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan yang dikehendakinya.

Tambahan pula, antara bukti lain bahawa Allah SWT memberi pilihan kepada manusia dalam menentukan kehidupan mereka adalah berdasarkan suruhan (tuntutan) Allah SWT kepada manusia agar mereka beriman kepada Allah SWT serta mencegah mereka daripada melakukan syirik kepada-Nya.

Kesimpulannya, setiap yang telah berlaku adalah ketetapan daripada Allah SWT dan manusia wajib menerimanya dengan sabar atau syukur serta mencari hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

Dalam masa yang sama, manusia perlulah berusaha demi masa depannya dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang ditegah oleh syarak.

Justeru, kita dituntut untuk sentiasa melakukan amal soleh agar dengannya akan menyelamatkan kita daripada api neraka dan dunia ini merupakan tempat untuk mengumpul bekalan untuk dibawa ke hari akhirat berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” [Surah al-Syura, ayat 20]

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain