suria

Usah sibuk buang masa baca komen, Ustazah Asma’ Harun seru netizen hargai waktu... “Lama-lama jadi ketagih dan tabiat”

Mengelakkan diri daripada berbicara tentang manusia yang lain dapat membantu mendapatkan keberkatan waktu.

KEBERKATAN sering disebut dalam setiap perkara yang dilakukan, terutama berkaitan kerja dan rezeki yang diperoleh.

Apabila berhadapan dengan kesukaran atau kesempitan, akan ada individu yang menyatakan ia mungkin berpunca daripada rezeki yang dilakukan itu tidak mendapat keberkatan.

ARTIKEL BERKAITAN: NPD penyakit iblis, firaun... sukar dirawat, hanya pesakit boleh ubati diri sendiri!

Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan keberkatan dan adakah ujian yang diterima seseorang individu itu menandakan bahawa kehidupannya tidak berkat?

Para ulama hadis seperti Qadi 'Iyad, al-Nawawi dan Ibn Abi Jamrah mentafsirkan singkatnya waktu sebagai hilangnya keberkatan.

Pendapat tersebut dikuatkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari yang bermaksud "Allah s.w.t. mencabut semua keberkatan daripada segala sesuatu, termasuk keberkatan waktu. Dan ini merupakan salah satu tanda dekatnya kiamat."

Menyoroti perkongsian penceramah bebas Ustazah Asma' Harun di laman Facebooknya, keberkatan yang dijelaskan juga berkait rapat dengan 'kesenangan' dalam melakukan setiap urusan.

Ia berikutan terdapat beberapa individu bertanyakan tentang tip pengurusan masa supaya berkat dan banyak perkara boleh dibuat mahupun diselesaikan setiap hari.

Menjawab pertanyaan tersebut, beliau memaklumkan perkara utama yang perlu dilakukan adalah melakukan sesuatu perkara sehingga selesai.

Malah katanya tiada amalan khusus yang dilakukan untuk memperoleh setiap 'kemudahan' yang dirasai seperti andaian sesetengah pihak.

Pun begitu, beliau berkongsi beberapa amalan yang dilihat membantunya menyelesaikan masalah dengan mudah.

Pertama: Mengelak daripada bercakap tentang manusia lain walaupun individu tersebut melakukan kesilapan serta ia 'sedap' untuk dibicarakan.

Kedua: Elakkan berdebat dan masuk dalam perdebatan orang lain terutama sekali isu viral yang tidak berkesudahan, silih berganti sampai kiamat.

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. - Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47)

Dan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang meninggalkan perdebatan, sementara dia berada di atas kebatilan, maka Allah akan bangunkan sebuah rumah baginya di pinggiran Syurga. Dan barangsiapa yang meninggalkan perdebatan, padahal dia berada di atas kebenaran, maka Allah akan membangun sebuah rumah baginya di Syurga teratas." - HR Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Anas bin Malik.

Menurut Asma', dunia hari ini menyaksikan perdebatan di media sosial hingga membuatkan manusia banyak membuang masa berharga sehingga akhirnya emosi dan tindakannya pada hari tersebut terpengaruh dengan apa yang dibaca, lihat mahupun dengar.

Namun, jika perdebatan itu bermanfaat dan perlu, maka ia wajar diteruskan tanpa ada mana-mana pihak saling merendah, menghina, mencari aib tersembunyi atau memperlekehkan individu yang lain.

"Saya dapati ramai manusia yang sehariannya sangat produktif, mereka menyibukkan diri dengan membuat persiapan untuk bekal akhirat dan banyak kerja buat untuk keluarga dan agama.

"Kalau dah hari-hari suka baca komen sana komen sini, lagi-lagi isu yang menjadi pergaduhan warganet, walaupun hanya silent reader, lama-lama akan jadi ketagih dan tabiat.

"Bahaya sangat jika berterusan, ingatlah bahawa segala yang kita buat walaupun rasanya tidaklah sampai dosa besar, ia tetap dicatat," ujarnya tegas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain