SUASANA mendepani Pilihan Raya Umum (PRU15) semakin dirasai selepas gelanggangnya dibuka secara rasmi pada Sabtu lalu. Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama dua minggu sehingga 19 November ini bagi calon-calon yang bertanding meraih sokongan pengundi. Sebagai seorang Muslim yang mempercayai Islam sebagai suatu agama yang menyeluruh (syumul) merangkumi aspek politik, tentu sekali mempunyai aturan mahupun adab yang perlu dititik beratkan ketika berkempen. Aturan dan adab ini lebih menjurus kepada aspek akhlak dan juga moral yang perlu dipatuhi oleh calon dan juga pengikut serta penyokong calon bertanding. Antara adab dan juga aturan tersebut adalah seperti berikut: 1. Kejujuran Dalam tempoh berkempen, sudah pasti calon serta penyokongnya turut berkempen secara lisan di merata kawasan. Pelbagai ceramah, rapat umum, pertemuan dengan rakyat di premis perniagaan dan kediaman di kampung-kampung diadakan. Oleh itu, calon seharusnya mengamalkan kejujuran dalam berkempen dan menjauhi penipuan demi meraih undi yang banyak. Allah SWT berfirman: “Allah berfirman: "Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.” [Surah Al-Ma’idah: 119] Penyokong parti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen P.053 Balik Pulau bersorak bersama sebelum memasang bendera parti masing-masing di sekitar kawasan pekan Balik Pulau. Nabi SAW pula bersabda: “Kalian harus berlaku jujur, kerana kejujuran itu akan membimbing kepada kebaikan. Dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga. Seseorang yang senantiasa berlaku jujur dan memelihara kejujuran, maka ia akan dicatat sebagai orang yang jujur di sisi Allah. Dan hindarilah dusta, kerana kedustaan itu akan membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu akan menjerumuskan ke neraka. Seseorang yang senantiasa berdusta dan memelihara kedustaan, maka ia akan dicatat sebagai pendusta di sisi Allah.” [HR Muslim, 2607] 2. Menjaga tutur kata Selain aspek kejujuran dalam berkata-kata, seorang calon Muslim mesti memelihara setiap tutur katanya agar ia selari dengan agama Islam yang murni dan bebas dari keburukan. Penjagaan tutur kata termasuklah daripada mengelakkan cemuhan, cacian, melaknat, memfitnah, mengumpat dan mendedahkan aib peribadi pihak lawan. Nabi SAW mengingatkan: “Tidaklah termasuk hamba yang mukmin, iaitu mereka yang selalu mengungkap aib, gemar melaknat, berperangai buruk, dan suka menyakiti.” [HR al-Tirmizi, 1977 - Hasan Gharib] 3. Memelihara persaudaraan Islam Adakalanya dalam tempoh berkempen, ketaksuban yang melampau dalam kalangan penyokong tegar membuatkan mereka seolah sanggup memutuskan hubungan persaudaraan sesama Islam dek perbezaan pandangan dalam politik kepartian. Hal ini adalah suatu yang membimbangkan kerana Islam mempunyai asas persaudaraan sesama penganutnya tidak mengira latar belakang apa jua sekalipun. Masa untuk semua calon turun padang bertemu rakyat. Allah SWT menegaskan dalam Al-Quran: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Surah Al-Hujurat: 10] 4. Teguh dengan janji Tidak dapat tidak, unsur utama yang menjadi bahan kempen dalam ceramah politik adalah manifesto yang dijanjikan kepada rakyat. Manifesto itu akan dilaksanakan oleh calon sekiranya dipilih mewakili kawasan berkenaan. Namun, terdapat segelintir politikus menjadikan manifesto sekadar daya tarikan bagi meraih undi semata-mata. Kemudian setelah memenangi kawasan tersebut, manifesto hanya tinggal janji. Hal ini menjejaskan akhlak sebagai seorang Muslim yang sebenar, kerana Muslim yang sebenar adalah seorang yang teguh pada janji. Rasulullah SAW ketika menyebut salah satu sifat seorang Muslim dengan sabdaannya: “Kaum Muslimin dipegang pada janji-janjinya.” [HR Abu Daud, 3594] Tambahan pula, Allah SWT berfirman ketika menyifatkan orang yang beriman: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” [Surah Al-Mu’minun: 8] Justeru, seorang Muslim termasuklah calon yang bertanding dan juga penyokong mana-mana parti politik sekalipun hendaklah mengambil kira dan memelihara batas-batas syariat dalam tempoh berkempen. Perlu diingat, dalam kita berusaha mempromosi parti dan calon masing-masing, Muslim itu masih terikat dengan prinsip dan akhlak yang diajarkan oleh agama. Oleh itu, aturan dan batasan agama perlu dipelihara setiap masa dan di mana jua kita berada supaya seseorang itu sentiasa dalam jagaan-Nya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI