suria

Ustaz Azhar Idrus perjelas isu suami dayus biar doktor lelaki sambut bayi - “Bab berubat ini ada kadar-kadarnya”

Ustaz Azhar Idrus perjelas isu doktor lelaki sambut kelahiran.

LABEL 'lelaki dayus' menjadi trending di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas seorang penceramah bebas, Siti Afifah Shahbudin menyelar para suami yang membiarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi mereka.

Menyifatkan tindakan itu sebagai sengaja mendedahkan aurat isteri di hadapan lelaki lain, dia turut mempersoalkan tentang perasaan cemburu si suami apabila doktor lelaki melihat kemaluan isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bawah tempat rahsia suami saja tahu” - Pendakwah lantang pertahan ibu bersalin, label suami dayus biar doktor lelaki tengok aurat

ARTIKEL BERKAITAN: Suami ustazah viral pula bersuara! Gesa suami sediakan duit ‘saat tumpahkan air mani pada malam pertama’ demi aurat isteri masa bersalin

Kenyataannya itu kemudian mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju, sehingga beberapa pegawai perubatan tampil menjelaskan situasi dan realiti di bilik bersalin (labour room).

Terkini, seorang lelaki yang dipercayai suami kepada Siti Afifah turut 'menghukum' para suami kerana tidak membuat persediaan lebih awal berikutan mempunyai tempoh sembilan bulan untuk mengumpul wang bagi membolehkan doktor wanita menyambut kelahiran bayi mereka di hospital swasta.

Meskipun isu tersebut pernah dijelaskan sebelum ini, namun penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus sekali lagi memberi penjelasan selepas diajukan soalan sama semasa sesi ceramah di sebuah masjid pada Isnin.

Menerusi video yang dikongsikan di laman TikTok, dia menegaskan bahawa hukum bagi doktor lelaki menyambut kelahiran adalah harus kerana tiada pilihan lain yang boleh dibuat.

Menurutnya, hukum haram 'diangkat' apabila membabitkan isu perubatan dan persempadanan darurat.

"Hukum asal perempuan berubat dengan perempuan, lelaki dengan lelaki kerana masalah aurat. Sama-sama perempuan walaupun haram melihat, tapi lebih berat jika berlainan jantina.

Doktor lelaki yang menyambut kelahiran bayi tidak berdosa kerana hukumnya darurat.

Doktor lelaki yang menyambut kelahiran bayi tidak berdosa kerana hukumnya darurat.

"Jadi dalam bab berubat ini ada kadar-kadarnya... apabila masuk dalam sempadan darurat, apa yang haram diangkat hukumnya sekejap," jelasnya.

Dia turut memetik firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa yang masuk dalam situasi yang tidak boleh lagi membuat pilihan, bukan sengaja dan tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa".

Memperincikan penjelasannya, Ustaz Azhar Idrus mengambil contoh hukum makan babi mahupun bangkai dan darah yang ditetapkan syariat sebagai haram.

"Allah haramkan ke atas kamu makan khinzir, bangkai, darah... tapi di padang pasir kalau kelaparan, (tiba-tiba semasa) merangkak nampak bangkai, ada pilihan lain tak?

"Oleh itu, barang siapa yang masuk dalam lingkungan tidak boleh memilih, tiba-tiba bangkai saja yang ada itu darurat... kaedah yang kita amal, keadaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh," jelasnya.

Justeru, tegasnya, melahirkan bayi adalah situasi yang kritikal kerana melibatkan dua nyawa iaitu ibu dan anak dalam kandungan, maka tidak berdosa jika doktor lelaki yang menyambut kelahiran apabila ketiadaan pegawai perubatan perempuan.

Penceramah ini juga mempertikaikan kenyataan 'dayus' yang dilemparkan memandangkan hukum dalam keadaan darurat bagi situasi melahirkan bayi adalah tidak haram.

"Haram bila ada doktor perempuan tapi nak lelaki yang selak kain isteri," tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, mereka yang mempunyai sumber kewangan terbaik boleh mendapatkan doktor perempuan di hospital swasta kerana sekali kelahiran akan melibatkan belanja sekitar RM7,000 hingga RM8,000.

Bagaimanapun, bagi masyarakat sebaliknya dan bersalin di hospital kerajaan, mereka tidak mempunyai pilihan lain.

"Mereka yang ada duit, doktor swasta perempuan, sekali beranak RM7,000 ke RM8,000.

"Kalau kita begini, yang berniaga nak cari jumlah tu untuk bersalin? Pergi hospital kerajaan, kalau nasib baik dapat perempuan.... nasib tak baik lelaki. Tapi hukumnya harus kerana tidak ada pilihan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain