suria

Jangan main telan saja... sebelum ikut trend makan seafood mentah, semak dahulu hukumnya

Umat Islam harus memberi perhatian terhadap apa yang dimakan kerana makanan akhirnya akan menjadi darah daging.

SEJAK kebelakangan ini, trend dari Korea semakin tersebar luas di media sosial dan sering menjadi ikutan ramai.

Jika dahulu, ‘mukbang’ menjadi sesuatu yang aneh di mata masyarakat namun hari ini content berkaitan makanan tersebut mendapat tontonan tinggi di platform maya.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim kita tidak boleh mengikut sahaja semua trend, sebaliknya setiap satunya perlu diperhalusi mengikut panduan agama.

Ini kerana Islam menuntut penganutnya bukan sekadar makan makanan daripada sumber halal, tetapi juga yang baik dan bersih.

Menurut syarak, makanan halal adalah suci dari segi zat, sumber yang bersih, tidak memudaratkan tubuh serta memberi manfaat kepada kesihatan dan akal fikiran.

Makan makanan laut yang masih hidup seperti tiram, sotong kurita dan lain-lain adalah makruh. -Foto Cameron's Seafood

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu,” [Surah al-Baqarah, ayat 168]

Terdapat beberapa perbahasan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada penganut agama Islam yang ingin turut sama mencuba trend-trend baharu yang muncul.

1. Makan makanan laut hidup

Haiwan laut halal dimakan secara umumnya kecuali yang memberi mudarat kepada manusia meskipun telah menjadi bangkai seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Al-Quran.

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut,” [Surah al-Maidah, ayat 96]

Hal tersebut juga disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya,” [HR Ahmad, 7233]

Manakala makan makanan laut yang masih hidup seperti tiram, sotong kurita dan lain-lain adalah makruh.

Sekiranya memberi kemudaratan makan sesuatu dalam keadaan hidup, maka haram hukumnya.

Rasulullah SAW menyarankan umatnya supaya berlaku ihsan kepada semua perkara termasuk kepada binatang.

Sekiranya haiwan tersebut memberi kemudaratan kepada mereka yang memakannya dalam keadaan hidup, maka haram untuk makan.

Sabda baginda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya,” [HR Muslim, 1955]

2. Makan daging mentah

Makan daging haiwan daratan perlulah memenuhi kriteria di bawah:

a. Haiwan yang halal dimakan.

b. Haiwan disembelih mengikut kaedah syarak.

Pakar perubatan menyarankan agar makanan mentah dimasak bagi mengelakkan keracunan.

Bagi penggemar daging, istilah stik mentah dan separa mentah menjadi pilihan utama bagi mendapatkan tekstur daging yang lembut dan lazat.

Imam Nawawi yang merupakan tokoh terkenal dalam mazhab Syafi'i menyebutkan hukum makan daging mentah adalah harus.

Pandangan ini juga disepakati oleh Mazhab Maliki dan Hambali. Sekalipun begitu, perkara ini juga perlu ditimbal balik dengan manfaat kesihatan.

Kebanyakan pakar perubatan juga menyarankan agar makanan mentah dimasak bagi mengelakkan keracunan makanan.

Hal ini berikutan zat bagi daging mentah itu sendiri mengandungi bakteria seperti Ecoli, Listeria monocytogenes dan Campylobacter yang memudaratkan kesihatan seseorang.

Kesimpulannya, menjamah haiwan laut secara hidup seperti sotong atau tiram adalah makruh selagi ia tidak memudaratkan kesihatan.

Menjamah haiwan laut secara hidup seperti sotong atau tiram adalah makruh.

Bahkan sebaiknya, utamakan kebersihan dalam pemilihan makanan kerana haiwan yang telah dimasak dan dibersihkan adalah lebih terjamin kualitinya.

Dalam pada itu, setiap makanan yang dijamah akan menjadi darah daging yang akhirnya membentuk keperibadian seseorang.

Justeru, pilihlah makanan yang bukan sekadar halal tetapi juga bersih, suci dan memberi khasiat pada tubuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Artikel Lain