suria

Sana sini ‘usung’ cik tunang naik motor, bagi alasan kerja cari duit kahwin... Ustaz tegur, jangan tolak tepi hukum Islam

Umat Islam perlu menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.

ALLAH SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan. Bahkan Islam tidak menyekat seseorang untuk bergaul dengan berlainan jantina.

Tetapi ianya mestilah didasari dengan beberapa etika supaya dapat menegah perkara-perkara yang akhirnya meruntuhkan keperibadian seorang muslim.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya” [HR Muslim, 1341]

Seakan menjadi budaya, golongan muda dilihat sering berdua-duaan bermotosikal sebagai penghantar makanan demi mencari wang untuk mendirikan rumah tangga.

Matlamatnya sangat bagus dan jelas. Kedua-dua pihak saling bantu membantu ke arah perkahwinan.

Bak kata pepatah, ‘susah dan senang bersama’. Tetapi, perlu diingat bahawa cara dan usaha ke arah matlamat perlu tepat dan selari dengan ajaran agama.

Islam melarang pasangan bukan muhrim berdua-duaan bermotosikal walaupun atas alasan kerja.

Perlu difahami bahawa, status tunangan tidak menjadi lesen untuk bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.

Walaupun kenderaan yang ditunggang bersifat lebih terbuka tetapi terdapat sisi yang masih tidak menjamin penjagaan kehormatan antara kedua-dua jantina.

Misalnya perihal aurat, pemakaian, percakapan dan pergaulan.

Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa: “Seorang perempuan menumpang (di belakang) seorang lelaki yang ajnabi, dan seorang lelaki menumpang di belakang seorang perempuan yang ajnabiyyah, maka ia adalah dilarang mengikut konsep sad al-zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada keharaman serta suatu langkah berjaga-jaga dari syahwat yang diharamkan. [Rujuk, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil. 3, hlm. 91]

Oleh itu, terdapat beberapa etika yang boleh dijadikan panduan sepanjang berurusan dengan berlainan jantina, antaranya:

1. Menundukkan pandangan dan menutup aurat.

Menundukkan pandangan adalah langkah terbaik dalam bermuamalat dengan berlainan jantina.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa bermaksud: “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat,” [Surah al-Nisa, ayat 30]

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, mensyarahkan ayat ini dengan menyatakan bahawa perintah ini bukan sekadar menuntut lelaki dan wanita beriman agar menjaga pandangan serta kemaluan daripada perbuatan dilarang Allah, tetapi juga sebagai perintah untuk menjaga aurat dan berpakaian dengan sopan.

Terdapat larangan ke atas umat Islam terhadap perbuatan berkhalwat atau berdua-duaan.

2. Tidak berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan.

Terdapat larangan ke atas umat Islam terhadap perbuatan berkhalwat atau berdua-duaan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan,” [HR Tirmizi, 2165]

3. Tidak melunakkan suara.

Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran: Maksudnya: “Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam berbicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik,” [Surah al-Ahzab, ayat 32]

4. Tidak menyentuh kulit berlainan jantina.

Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti saat berjanji setia dan lain-lainnya. Perkara ini direkodkan oleh Aisyah RA dalam sebuah hadis: Maksudnya: “Demi Allah, tangan Rasulullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekalipun dalam bai’ah (perjanjian, mereka hanya membai’ah dengan ucapan sahaja,” [HR al-Bukhari, 4891].

Penceramah bebas, Dr Hadi.

Seperti yang diketahui, ada kaedah menyebutkan matlamat tidak menghalalkan cara. Walaupun tujuan yang ingin dicapai itu murni, tetapi langkah yang diambil mestilah tidak melanggar hukum syarak.

Namun begitu, Islam tidak menyempitkan perhubungan antara tunangan kerana dalam tempoh itu, kedua-dua pihak dibenarkan untuk mengenali keperibadian masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Namun, perhubungan tersebut perlu dijaga dan dibatasi dengan hal-hal berkeperluan sahaja dan mengikut panduan yang disebutkan.

Kesimpulannya, kami nasihatkan supaya pasangan yang merancang untuk mendirikan rumah tangga menjaga perhubungan di awal perkenalan kerana keberkatan dalam urusan rumah tangga akan terlihat setelah setiap arahan agama diikuti semenjak awal perkenalan.

Kami doakan kemudahan kepada semua pasangan yang sedang berusaha ke arah perkahwinan dan memperolehi keberkatan sebagaimana doa Nabi SAW: “Semoga Allah memberkati kamu dan menyatukan kamu berdua dalam kebaikan,” [HR Ahmad, 8957]

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Artikel Lain