suria

Sengaja biar saf terputus, jemaah wanita selesa solat berkelompok gara-gara kipas dan aircond... Fahami adab dalam sembahyang

Menyempurnakan saf adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat.- Gambar hiasan Freepik

MENJELANG bulan Ramadan, surau dan masjid meriah dengan para jemaah yang tidak mahu ketinggalan menunaikan solat tarawih termasuklah golongan hawa.

Bagaimanapun baru-baru ini, hangat dibangkitkan di media sosial mengenai isu saf jemaah wanita yang dikatakan berkelompok walaupun berada dalam satu ruangan solat.

Ada yang memenuhi saf hadapan, ada pula sebahagian berada di sebelah kanan, dan berkelompok di beberapa bahagian lain.

"Isteri saya mengadu perkara yang sama. Ingatkan hanya berlaku di masjid kami. Kenapa perempuan bersolat jemaah begini?" demikian ciapan seorang individu di Twitter, di mana ciapannya meraih lebih daripada 6,000 ulang kicau.

Pada ruangan komen, warga maya turut mengutarakan perkara sama yang juga berlaku di surau ataupun masjid di kawasan masing-masing.

Menurut mereka, situasi berkenaan seolah-olah bukan isu besar kerana masing-masing tidak cuba membetulkan saf sebaliknya 'selesa' menunaikan solat tarawih berjemaah dalam keadaan berkelompok.

solat 1

Isu saf jemaah wanita hangat dibincangkan di media sosial baru-baru ini.

"Kebanyakan makcik-makcik, mereka tak nak anjak ke tepi. Hanya pandang dan tunggu orang lain yang baru sampai untuk penuhkan barisan.

"Mengikut pengalaman saya, salah satu puncanya adalah kipas dan aircond. Mereka memang nak conquer tempat ada kipas atau aircond. Bila nak rapatkan saf, tak nak gerak. Itu yang jadi lompong atau berkelompok.

ARTIKEL BERKAITAN: Korek hidung, derma darah batal puasa? Ini 5 perkara ramai orang salah faham setiap kali tibanya Ramadan

"Ini pemandangan biasa dalam kalangan saf perempuan. Geram je. Kadang-kadang dibiar putus saf tu. Padahal boleh je anjak.

"Tidak kira lelaki atau perempuan, usahalah untuk rapat dan luruskan saf kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan termasuk dalam kesempurnaan solat," demikian antara pandangan yang diutarakan warga maya.

Jadi apakah pandangan ulama berkaitan hal ini?

Memetik laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, meluruskan saf adalah termasuk di dalam adab-adab solat berjemaah.

"Disunatkan oleh imam untuk tidak memulakan solat sebelum saf diluruskan dan disunatkan juga mengarahkan makmum yang berada di belakangnya untuk meluruskan saf.

"Adapun, sekiranya masjid itu besar, maka disunatkan untuk melantik seseorang untuk memastikan agar saf-saf diluruskan dengan cara mengelilinginya atau dengan cara mengarahkan (dengan menggunakan suara).

"Disunatkan juga, bagi setiap yang hadir (di dalam saf) meminta agar disempurnakan saf jika terlihat terdapat kecacatan pada saf tersebut.

solat 2

Beberapa hadis turut menghuraikan kepentingan meluruskan saf ketika menunaikan solat berjemaah. Gambar hiasan

"Ini kerana, ia termasuk di dalam amar makruf dan juga tolong-menolong di dalam kebaikan serta ketaqwaan yang mana menyempurnakan saf adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat," demikian catatan pada laman berkenaan.

Ia juga turut menyenaraikan beberapa hadis yang menceritakan berkaitan kepentingan meluruskan saf dan sebab yang akan berlaku sekiranya diabaikan perkara ini.

Menurut laman web itu lagi, Imam al-Iraqi ada menukilkan pandangan para ulama dalam memahami makna meluruskan saf, iaitu:

1. Bagi mendapatkan istiqamah dan i'tidal pada zahir sebagaimana yang dituntut pada batin.

2. Supaya tidak diganggu syaitan dan ia akan merosakkan solat dengan waswas.

3. Supaya dapat diisi lebih ramai makmum sekiranya makmum terlalu ramai dan ia akan menjadi sempit jika tidak dirapatkan serta diluruskan saf.

4. Agar setiap makmum itu tidak disibukkan dengan melihat di antara satu sama lain akan perkara yang boleh menganggu mereka.

Dalam pada itu, laman tersebut turut menerangkan mengenai tempat paling afdal untuk wanita menunaikan solat tarawih.

"Tempat solat terbaik bagi wanita adalah di rumah, namun Islam tidak melarang mereka pergi ke masjid terutamanya untuk solat berjemaah pada bulan Ramadan. Namun keharusan ini terikat dengan syarat selamat daripada fitnah.

"Justeru, para wanita yang telah berkahwin perlu mendapat keizinan suami, tidak tabarruj dan sentiasa menjaga adab sebagai seorang Muslimah semasa pergi ke masjid," terangnya.

Semoga dengan pencerahan ini dapat merungkaikan persoalan yang dibangkitkan mengenai saf jemaah wanita. Selamat beramal!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain