suria

Cuba contohi Rasulullah, ulama buru Lailatul Qadar! Ketahui 2 gambaran suasana malam penuh keberkatan

Usah lepaskan peluang memburu Lailatul Qadar dengan memperbayakkan ibadah pada 10 malam terakhir. Gambar hiasan

TERASA begitu pantas Ramadan kali ini.

Sedar tak sedar, sudah puluhan tahun kita menyambut Ramadan dengan rutin yang sama.

Awalnya bersemangat memenuhi saf di masjid, pertengahannya semakin berkurang dan akhir Ramadan lebih ramai yang berbaris di bazar Aidilfitri berbanding beriktikaf di masjid.

Justeru, lakukanlah perubahan dengan menambah baik amalan kita terutamanya di 10 hari yang terakhir.

Rasulullah berqiamulail dan mengejutkan keluarga

Terdapat riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh dan menggunakan peluang di 10 malam terakhir Ramadan dengan sebaiknya. Dari Aisyah RA, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi SAW apabila masuknya 10 terakhir Ramadan, baginda akan mengetatkan kain (bersungguh-sungguh beribadah dan tidak melakukan hubungan suami isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut berqiam)" [HR al-Bukhari, 2024]

addin 2

Hidupkanlah malam 10 terakhir Ramadan dengan melakukan qiamullail. Gambar hiasan

Berdoa diterima amalan

Al-Hafiz Ibnu Rajab menyebutkan bahawa para ulama sentiasa berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipertemukan dengan bulan Ramadan.

Bahkan selepas berakhirnya bulan mulia ini mereka terus berdoa selama enam bulan agar Allah menerima amalan ibadah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamu orang berbuka, pahala menyamai orang berpuasa! Ini checklist 5 amalan menjelang 10 hari terakhir Ramadan

Jelaslah, para ulama begitu cinta akan bulan ini kerana mengetahui kelebihan satu malam yang terdapat padanya khusus di 10 hari terakhir iaitu malam al-Qadar.

Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Carilah malam al-Qadar di malam ganjil dari 10 malam terakhir di bulan Ramadan" [HR Bukhari, 2017]

Mencari malam al-Qadar

Malam al-Qadar menjadi rahsia Allah tentang waktu dan ketikanya.

Para malaikat turun membawa rahmat dengan perintah Allah untuk mereka yang menghidupkan malam al-Qadar.

Mereka ini dijanjikan Allah akan sentiasa berada dalam jagaan-Nya dan dilimpahi dengan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga terbit fajar.

Nabi SAW telah menggambarkan akan keadaan pada malam tersebut seperti yang diriwayatkan dalam beberapa hadis. Antaranya:

1) Matahari terbit tidak terlalu panas

Tanda-tanda hadirnya malam al-Qadar adalah matahari yang terbit di pagi hari, sinarnya tidak terlalu panas dan mendung. Langit menghampar putih tanpa disinggahi hujan dan petir namun suasananya tidak panas. Penduduk bumi merasakan keindahan hari tersebut dengan nyamannya cuaca, tenang dan sejuk. Perkara ini digambarkan dalam hadis Nabi SAW:

Maksudnya: "Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam ke-27 (dari bulan Ramadan). Dan tanda-tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa sinar yang memancar" [HR Muslim, 762]

addin 3

Tambahkan rutin harian melakukan solat fardu dengan diiringi solat-solat sunat. Gambar hiasan

2) Malamnya sunyi dan terang

Pada malam tersebut langit tidak pula berawan dan tidak hujan, bahkan bintang-bintang di langit tidak dapat disaksikan oleh penduduk bumi. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Sesungguhnya tanda malam al-Qadar adalah malam cerah, terang seolah ada bulan. Malam tersebut tenang dan tenteram tidak dingin tidak pula panas. Pada malam itu tidak adanya bintang sehingga pagi harinya. Dan sesungguhnya, tanda Lailatul Qadar adalah, matahari di pagi harinya terbit dengan indah, tidak bersinar kuat, seperti bulan purnama." [HR Ahmad, 22765]

Kesimpulannya, teruskan memburu malam al-Qadar dengan memperkemaskan ibadah rutin.

Misalnya, memastikan solat fardu didirikan dengan iringan sunat-sunat rawatib, membaca Al-Quran dengan makhraj, tajwid, tadabbur, menggandakan sedekah jariah, mendekati anak-anak yatim dan membantu fakir miskin pada 10 malam terakhir.

Hidupkanlah malam-malam terakhir Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT seperti mana yang dilakukan Rasulullah SAW dengan menghidupkan sepanjang malam serta mengejutkan seluruh isi rumah untuk menghidupkan malam ini.

Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat peluang beribadah di malam al-Qadar.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain