suria

Wanita uzur tetap boleh rebut pahala Ramadan dengan 7 amalan ini, nombor 2 paling mudah dilakukan

Wanita yang uzur tetap berpeluang meraih pahala Ramadan dengan melakukan amalan-amalan seperi berzikir dan sebagainya. Gambar hiasan

MEMASUKI fasa terakhir Ramadan, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang melipatgandakan ibadah bagi merebut pahala.

Namun begitu, ada segelintir wanita yang tertanya-tanya apakah mereka masih berpeluang meraih ganjaran dan bertemu malam Lailatul Qadar sekiranya sedang uzur ataupun haid.

Usah risau para wanita sekalian, anda masih berpeluang meraih pahala Ramadan meskipun sedang didatangi haid.

Sebagaimana perkongsian penceramah bebas, Ustazah Asma' Harun, golongan wanita yang sedang uzur tetap berpeluang merebut pahala di 10 terakhir Ramadan.

"Rasulullah SAW menenangkan hati Aisyah yang pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji.

"Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali tawaf di Kaabah." [HR Bukhari]

"Tidak boleh berpuasa bukanlah bermaksud semua ibadah semasa Ramadan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya, masih banyak amalan yang boleh diamalkan oleh para wanita yang didatangi haid dalam bulan Ramadan," demikian menurut Ustazah Asma'.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba contohi Rasulullah, ulama buru Lailatul Qadar! Ketahui 2 gambaran suasana malam penuh keberkatan

Berikut adalah amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang sedang didatangi haid ketika Ramadan sebagaimana perkongsian beliau:

wanita 2

Wanita uzur boleh membaca al-Quran untuk tujuan belajar dan mengajar. Gambar hiasan

1) Memperbanyakkan doa dan zikir

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur. [Surah al-Baqarah: 152]

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang. [Surah al-Ahzab: 41-42]

2) Mendengar alunan al-Quran

Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran. [HR Bukhari]

3) Membaca zikir harian, doa amalan dan surah lazim

- Ulama tidak melarang wanita dalam haid membaca zikir sama ada yang dipetik daripada sebahagian kecil ayat al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW seperti surah al-Fatihah, ayat kursi dan tiga Qul.

- Dibolehkan juga untuk membaca al-Quran bagi wanita yang menghafaz al-Quran sebagai kemudahan supaya tidak terlupa serta dibolehkan juga untuk tujuan belajar dan mengajar al-Quran.

- Antara contoh doa yang boleh diamalkan adalah doa kebaikan dunia dan akhirat (surah al-Baqarah: 201), doa memohon keampunan (surah al-A'raf: 23), doa agar diri dan keturunan menjaga solat (surah Ibrahim: 40)

- Antara contoh surah lazim adalah surah yang berada pada juzuk 30 bermula Surah Ad-Dhuha hingga al-Ikhlas misalnya Surah al-Insyirah, al-Kafirun, al-Kautsar, al-Masad, al-Falaq, an-Nas dan lain-lain.

WANITA 1

Memanjatkan doa kepada Allah juga membolehkan wanita uzur meraih pahala. Gambar hiasan

4) Memperbanyakkan selawat

Daripada Abdullah bin 'Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.

5) Mempelajari ilmu agama

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: "Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga." [HR Muslim]

6) Melazimi sedekah

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA:

Maksudnya: "Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka." [HR Muslim]

wanita 3

Mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa. Gambar hiasan

7) Memberi makan kepada orang yang berpuasa

Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA:

Maksudnya: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun." [HR Tirmizi, hadis sahih]

Sesungguhnya, wanita yang didatangi haid semasa Ramadan tidak terkecuali dalam merebut pahala.

Usahakan melazimi amalan-amalan yang disebutkan di atas supaya kita tidak terlepas daripada merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.

Kesimpulannya, apa jua kebaikan seperti melakukan tugas harian, menguruskan rumah tangga, bekerja mencari rezeki dan sebagainya yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dianggap sebagai satu ibadah.

Ibadah yang sempurna akan diberi ganjaran hikmah dan pahala. Insya-Allah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain