suria

Peniaga celup kepala dalam minuman tak habis ibarat hina rezeki, ketahuilah dalam Islam adab terhadap rezeki makanan sangat tinggi

Perbuatan yang dilakukan oleh peniaga berkenaan seolah-olah menghina makanan.

MAKANAN adalah antara rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada makhluk-Nya.

Ia merupakan nikmat yang perlu disyukuri dan dihargai oleh penerima.

Perbuatan mensia-siakan rezeki makanan adalah satu sifat keji dan buruk serta perlu ditinggalkan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video peniaga bazar Ramadan yang bertindak mencelup sebahagian badan dan kepala ke dalam balang air jualannya di bazar Ramadan sedangkan minuman tersebut masih lagi elok untuk diminum.

Perbuatan keji tersebut dibuat kerana minuman tersebut merupakan lebihan baki barang jualan yang tidak terjual.

Bahkan, ia dilakukan hanya sekadar untuk 'modal' bahan video untuk mendapat perhatian netizen.

Perbuatan mensia-siakan makanan ialah bertentangan dengan syariat Islam yang murni.

addin 3

Seorang muslim mesti mengetahui adab makan sesuai kehendak Islam.

Seorang pempengaruh (influencer) seharusnya membuat bahan media yang berfaedah dan bermanfaat buat masyarakat.

Oleh itu, adalah tidak sepatutnya jika video yang tular itu dijadikan bahan lawak dengan menghina makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba contohi Rasulullah, ulama buru Lailatul Qadar! Ketahui 2 gambaran suasana malam penuh keberkatan

Tambahan lagi, video berkenaan juga dianggap sebagai tidak menghormati bulan Ramadan yang mulia ini di mana seluruh umat Islam sedang berpuasa.

Antara tujuan disyariatkan berpuasa adalah supaya segolongan umat Islam dapat merasa keperitan dan penderitaan segolongan lain yang diuji dengan kekurangan makanan.

Lebih-lebih lagi betapa ramai golongan yang susah serta miskin di luar sana yang kelaparan dan menahan dahaga bukan hanya disebabkan puasa, namun kerana memang tiada kemampuan untuk membeli makanan.

Seharusnya, setiap umat Islam perlu menginsafi diri serta bersyukur atas nikmat rezeki kurniaan Allah SWT.

Disebutkan dalam hadis bahawa Rasulullah SAW mengarahkan sahabat untuk mengambil secebis makanan yang terjatuh ke tanah, membasuh dan memakannya supaya makanan tersebut tidak terbiar bersisa begitu sahaja.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Apabila ada sepotong makanan kalian yang jatuh, maka ambillah potongan makan yang jatuh itu kemudian bersihkan dan makanlah. Dan janganlah orang itu membiarkan makanan tersebut untuk syaitan. Dan jangan dia mengeringkan tangannya dengan sapu tangan (tisu atau kain) sehingga dia menjilat jari jemarinya. Kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui pada bahagian manakah dari makanan dia itu yang terdapat berkah." [HR Muslim, 2034]

Begitu tinggi adab terhadap rezeki makanan yang diajarkan oleh agama kepada kita. Pemberian rezeki dari Allah SWT perlu disyukuri kerana ia suatu nikmat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu." [Surah Ibrahim, ayat 7]

addin 2

Membaca doa sebelum makan adalah salah satu adab dengan makanan, bertujuan untuk mendapat keberkatan pada setiap rezeki yang dinikmati itu.

Amaran buat pempengaruh media sosial, sebarang teladan buruk jika dilakukan oleh pengikutnya, maka dia bakal turut menerima dosa orang yang mengikutinya!

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun." [HR Muslim, 1017]

Justeru, hendaklah seorang muslim memuliakan makanan pemberian Tuhan dan bersyukur dengannya agar rezeki semakin bertambah dan mengelakkan pembaziran kerana membazir itu adalah amalan syaitan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." [Surah al-Isra’, ayat 27]

Cadangan mengelakkan pembaziran:

1. Kerjasama dengan badan kebajikan dan masjid

Para peniaga juga disarankan agar bekerjasama dengan pihak badan kebajikan atau mana-mana masjid yang menguruskan program berbuka puasa di mana jika terdapat barang jualan yang tidak terjual, ia dapat disedekahkan buat mereka yang berbuka berbanding barangan jualan itu dibuang begitu sahaja. Para peniaga juga turut mendapat pahala yang amat besar dengan menaja makanan berbuka buat mereka yang berpuasa.

2. Penyediaan barangan jualan secara berperingkat

Selain itu, para peniaga bazar Ramadan juga dicadangkan agar tidak menyediakan barangan jualan makanan secara pukal dan banyak jika sekiranya didapati sambutan di tempat jualan kurang menggalakkan. Adalah lebih baik jika makanan itu disediakan secara berperingkat iaitu apabila makanan tersebut hendak habis terjual, dimasak sebahagian yang baru untuk dijual. Hal ini dapat meminimalkan pembaziran dalam jualan di bazar Ramadan.

3. Tidak terikut-ikut dengan peniaga lain untuk bersaing dalam menyediakan stok jualan

Lumrah dalam dunia berniaga, persaingan antara peniaga lain sangat hebat. Ada di kalangan peniaga yang terikut-ikut pesaing lain dalam menambah stok jualan, walhal keupayaan untuk menghabiskannya adalah rendah. Tidak salah untuk menambah jualan tetapi jangan sehingga berlaku pembaziran disebabkan menyediakan stok jualan yang terlampau. Dinasihatkan juga kepada peniaga supaya meletakkan anggaran yang munasabah kepada stok jualan bagi mengelak pembaziran jualan makanan.

Semoga kemuliaan bulan Ramadan yang kita lalui sekarang mendidik dan membentuk diri menjadi seorang yang menghargai kurniaan Allah SWT. Rasa keperitan lapar dan dahaga yang dilalui orang miskin dan fakir perlu kita hayati serta selami agar hidup sentiasa mensyukuri anugerah dan kuniaan dari-Nya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain